1/21/13

Perasaan yang lebih hancur dari keluar dewan ketika menjawab kertas Matematik Tambahan.

"Spot Q tu benda apa ?"

"Spot Questionlah!"
________________________________


   Aima merebahkan diri ke katil. Penat, pulang dari perpustakaan. Jam 10 malam baru sampai ke rumah. Sebenarnya, ke perpustakaan 2 hingga 6 sahaja. 8 hingga 10 tu pergi makan malam. Tidak sempat Aima melelapkan mata, ada yang mengetuk pintu bilik.

  "Ma! Ada benda hangat ni ! Cepatlah kita ke bilik We," ujar Aja sebaik sahaja pintu dibuka Aima. Tangan Aima ditarik.

  "Ada apa ? Macam hangat betul ni," Aima masuk ke bilik bersama Aja. 

  We, Azu dan Kiki sedang menghadap laptop dengan tekun. Tak ada apa yang pelik tentang situasi ini kerana mereka bertiga (berempat termasuk Aja) memang selalu berkumpul di hadapan laptop menonton drama-drama Korea terkini.

  "Duduk sini, Ma. Tengok apa yang budak kelas A bagi," Kiki menjemput duduk di sebelahnya.

   "Spot Q tu benda apa ?" dahi Aima berkerut. Sebaris ayat 'Spot Q Kertas Januari 2013' sebagai tajuk kepada perkara-perkara yang diterangkan di bawah. Melihat detail yang diberikan oleh PDF ada 3 muka surat semuanya.

  "Spot Question lah!" jawab We, Aja, Kiki dan Azu serentak. Mereka sudah rancak menyalin dan menanda muka surat yang perlu dibaca.

   "Ish, canggih sangat ni! Siap ada part A, B, C lagi," Aima separa berbisik.

   "Tahu tak apa," kata Azu sambil tersenyum.

   "Eleh, betul ke benda ni ? 'Spot Q' kedengaran mencurigakan," gurau Aima.

  ***

   "Kita tak tahulah kita excited sangat nak balik ke tak faham subjek ni ke apa benda tapi kita tak boleh fokus nak belajar dah ni, " kata Aima sambil merenung ke arah Kiki yang duduk di hadapannya. Kiki kekal tenang membaca nota.

    Mindanya sudah mula menerawang. Kertas akhir untuk semester ini, bakal berlangsung kira-kira 15 jam lagi. Dan dia baru selesai membaca 2 bab, itu pun tidak benar-benar fokus. Tapi, soalan semester-semester lepas sudah selesai di jawabnya. Namun, atas selidikannya juga, dia tahu bahawa soalan peperiksaan dari semester lepas tak akan keluar lagi pada semester ini. 

  Untuk membangkitkan semangatnya Aima bingkas bangun dari katil dan menyalin spot yang dilihatnya semalam. Entah kenapa semalam dia buat tak endah. 

   "Kita rasa ini spot yang salah lah," Aima bersuara dan memberi pandangannya pada Kiki. Aima tidak dapat mengawal mindanya dari meluahkan perasaan. 10 kali dia cuba kunci bibir, semakin jauh dia salin, semakin dia rasa itu bukan soalan yang akan berada di dalam kertas soalan keesokan harinya. 

   Semua terus-terusan belajar hingga ke 1 pagi. Selain daripada faktor masa, Aima juga tidak mahu menganggu rakan-rakan rumahya dengan bertanya di mana muka surat untuk istilah-istilah yang dia tidak pernah dengar ini. Separuh dari spot adalah istilah yang dia pernah lihat di dalam kertas peperiksaan lepas. Dengan naluri amat kuat dia yakin soalan itu tak akan ditanya. 

   Berbekalkan istilah yang Aima tidak jumpa di dalam buku teks dan separuh istilah yang pernah dilihat. Aima nekad tinggalkan spot dan baca 5 bab yang dia pilih dan begitu signifikan di dalam kelas.

Sepatutnya 6, tapi atas pengaruh apa. Dia pilih 5 sahaja.

*** 
  
   "Ya Tuhan! Soalan apa ni ? Semua aku tak pernah dengar!" mata Aima terbuntang. Terkebil-kebil melihat kertas soalan. Waktu peperiksaan belum bermula cuma seluruh dewan diberi kesempatan untuk menyemak bilangan muka surat, cukup atau tidak.

   Saat waktu peperiksaan bermula. Dia melihat kiri, kanan, depan, belakang, semuanya mula menulis. 

  'Kegilaan apakah ini ?' bisik hati Aima. Aima mula fikir bahawa seluruh spot masuk. Kerana semua rancak menulis dan membelek kertas. Itulah apa yang dia lihat dari tempat duduknya ketika itu.

  'Tapi kalau ini spot, kenapa satu pun aku tak tahu ?!' sebenarnya pelbagai lagi yang Aima bisikkan dalam hati. Iyalah, pilihan apa lagi yang ada waktu peperiksaan ini, kalau bukan bercakap dengan diri sendiri.

   Saat itu, Aima teringat pensyarahnya pernah bercerita bahawa dia mempunyai penyakit jantung yang mengakibatkan dia berhenti merokok. Saat itu juga, Aima berdoa agar jantung pensyarahnya baik-baik saja ketika menerima kertas jawapannya nanti.

   Semua istilah dia tidak pernah dengar. Kecuali di satu bahagian. Dan istilah itu datangnya dari bab ke-enam yang dia gugurkan dari bab pilihan untuk dia baca.

***

   Atmosfera 'gembira sesal' memenuhi ruang di luar dewan. Gembira kerana peperiksaan telah tamat, sesal kerana kertas terakhir tidak ditutup dengan baik. 

    Aima keluar dewan laju dan mendapatkan begnya. Rakan-rakan sekelas sudah berkumpul di satu tempat. Sebenarnya, ramai yang duduk dalam bulatan itu. Bukan rakan-rakan sekelas sahaja. 

   Selalunya, kalau berkumpul begini ada cerita hangat. Aima cuba memasukkan dirinya di dalam bulatan itu. Mujur ada Azu yang menarik tangannya masuk ke bulatan itu.

   "Kau tahu kertas soalan tu berubah sebab ada yang report, kertas tu ada spot. Dengki betullah dia tu! Kertas soalan dah diubah saat akhir. Sebab tu tak sama dengan spot," kata salah seorang individu di dalam bulatan itu. Di kiri kanan Aima, orang sudah mula bercakap sesama sendiri.

     Dialog-dialog seperti 'Kalau aku tahu siapa dia, aku cekik dia,' mula kedengaran.

   Dari situ tahulah Aima, bahawa bukan dia seorang tidak pernah melihat istilah yang ada di kertas soalan. Dalam hal ini, bukan soal spot untuk Aima. Ini soal, apa yang telah dia pelajari sepanjang semester. 

   Rasa kali ini tidak sama seperti keluar dewan zaman sekolah sebab tidak boleh menjawab kertas Matematik Tambahan. Sekurang-kurangnya dalam kertas Matematik Tambahan pun, soalan nombor satu, pasti boleh dijawab dengan yakin walaupun tidak dapat menjawab soalan lain. Lagipun, masuk ke kelas Sains bukan pilihannya tapi dia tak ada dan tidak minat pilihan lain. Ini universiti. Perasaannya lain. Dia yang pilih untuk mengambil bidang itu.

  Aima, We, Aja, Kiki dan Azu berjalan perlahan menunggu bas untuk pulang. Aima mula teringat dialog yang pernah dilafazkan watak Lynn di dalam Kami The Movie "Buat benda yang kita tak suka memanglah susah, tapi kadang-kadang buat benda yang kita suka pun susah juga." Dia mahu memotivasikan diri, takkanlah cuti semester ini mahu lemas dalam perasaan diri sahaja.

  Ketika di perhentian bas, secara kebetulan Morn datang. Morn juga salah seorang rakan sekelas Aima, We, Aja, Kiki dan Azu.

   "Macamana tadi ?" sapa Morn.
 
   "Kau tidur ke tadi ?" melihat semuanya bermuram durja, Morn menegur Aima.

  "Pfft, mana ada!" Aima ketawa.

  "Bohong. Ni Azu tweet!" Morn menunjukkan Blackberrynya. Aima menjeling Azu. Azu tersengih-sengih.

   "Kalau orang dah tweet, aku tak boleh buat apalah,"

  "Nampak sangat top student, mesti result flying colours, siap boleh bantai tidur lagi," usik Morn. Kemudian, dia sambung dengan cerita dia melihat beberapa orang yang keluar dewan menangis dan sebagainya.

   "Ahh! Ini situasi buruk. Situasi macam ini : ketawa atau menangis, dua-duanya tak ada sebab lain. Semuanya sebab, kasihankan diri-sendiri. Cara lain, tidur," balas Aima.

    Tapi ayatnya tidak habis di mulut, dalam hatinya disambung 'dengan harapan bila bangun kau boleh kata, ini semua hanyalah mimpi dan tidak berlaku.'

    Bas tiba setelah setengah jam mereka menunggu. Aima, We, Aja, Kiki, Azu dan Morn duduk di kerusi paling belakang dan tidur.