5/4/14

Cuba teka siapa yang dah ada Twitter!

Now Playing: The Script - "The Script" Full Album

Lisa tenang membuat tugasan di bilik sebelum satu emel tiba-tiba masuk dan membuatnya menggelabah. Kedewasaan banyak mengikat dirinya dengan kuliah dan tugasan-tugasan. Lisa tidak banyak tugasan luar, kebanyakan kerjanya memerlukan komitmen tinggi menaip di komputer riba sahaja. Walaupun tinggal di rumah dengan keluarga, mereka jarang bertemu. Lisa banyak berkurung di dalam bilik. Lisa tidak mahu kehilangan kemahiran bersosial, jadi dia sangat aktif di Facebook dan Twitter.


Dan seperti remaja lain, Facebook adalah untuk keluarga. Twitter adalah untuk teman-teman.


Antara tweet-tweet Lisa yang boleh dibaca adalah:

"Saya berharap hari ini adalah hari yang baik. Sebagai petanda awal, ayah saya telah menghantarkan sarapan kepada saya."
"Cabaran tulis esei naik level. 3, 5 muka surat tu cuma permulaan. sekarang, level 10 - 20 muka surat pula. fuh!"
"Your storyline is too simple, pls redo and resend by tomorrow night," e-mail semalam. Idea blockbuster aku tak sampai lagi ni woi!"
"'Awak tulis apa dekat blog?,' soal pensyarah. 'Pengalaman, tips percutian.' Tips Percutian = 1pos." 
"Hari esok selalu penuh teka-teki. Contohnya, esok kelas mendeeee."

Nampak seperti semuanya adalah mengenai hari-hari di kampus atau tugasannya. Jadi, Lisa sendiri mulai tak pasti kenapa dia perlu begitu panik bila ternampak follower request dari ayahnya. 'Sudah kenapa pula tiba-tiba buat Twitter?'


Lisa pangkah tab Twitter dan sambung buat kerja.


Tapi fikirannya masih terfikir-fikir tentang follower request barunya. Bagaimana follower request ini lebih menganggu dari 30 follower requests yang lain?


Lisa buka kembali tab Twitter. Klik ... klik ... klik ... klik Following ayahnya. Hmm, Leman, adik lelaki Lisa sudah selamat di-follow ayahnya. Ahh, tapi Leman tak pernah private akaunnya! Tak boleh dijadikan panduan langsung.


Skrol bawa sikit (kerana Followingnya masih sikit) ada dua tiga artis Korea. Ahh, kacau! Ini mesti disiasat.


Lisa keluar dari bilik mendapatkan segelas jus oren di peti.


Dengan bunyi guruh, kilat yang memancar di dapur yang gelap pada petang itu, hampir berderai gelas jenama kesayangan ibunya bila adik bongsunya, Nurein tiba-tiba berdiri tegak di belakangnya.


"Akak, apa nama Twitter akak?" kepetahan Nurein yang berumur 11 tahun ini boleh dilihat seperti kanak-kanak di dalam Jodoh 2, Keluarga Iskandar dan Geng Mengaji.

"Aii, dah ada Twitter ke?"

""Tak lah. Ayah."

"Hmmm ... Tak on lagilah Twitter hari ni," jawab Lisa sambil berjalan masuk ke bilik.

Ada magnet menarik Lisa untuk menoleh ke belakang. Nurein sedang duduk di kusyen rancak menggodek tab milik ayahnya. Lisa pantas masuk ke bilik mencapai komputer ribanya.

'ACCEPT'

Lisa menaip:
"@twitayah Lain kali buat akaun, pakailah nama sendiri!"