9/14/19

Sembang Gebang “SANGKAR” bersama Farhan Ramli & Siti Amanda

Round 1


PANDANGAN/PENGALAMAN SINEMA KESELURUHAN ANDA MENONTON SANGKAR


PAAN: Semenjak filem Paskal aku dah tak percaya dengan promosi-promosi luar biasa yang kononnya filem ini mengangkat itu ini padahal yang diwarwarkan itu cuma tak sampai 20% daripada filem. Jadi untuk Sangkar ini aku dah tak nak terpedaya lagi jadi aku siapkan diri aku awal-awal dari ekspektasi yang terpesong disebabkan tipu daya promosi. Lagipun sebelum ke pawagam aku ada menonton beberapa review mengenai Sangkar di Youtube dan sempat jugalah aku tak suka seorang reviewer ini. 

Sangkar bagi aku umpama tidak diceritakan secara bersungguh-sungguh. Ceritanya tidak sampai kepada aku sepenuhnya. Aku tak ada masalah dengan genre drama bahkan aku sangat meminati genre tersebut. Lagipun filem ini genrenya Action Drama, jadi kau kenalah kenal genre dulu sebelum cakap pengarah memandai-mandai buat genre baru. Kalau nak aksi dua jam penuh pertarungan pergilah tengok MMA main event. Cuma untuk Sangkar, ada banyak kekurangan dari segi pembangunan ceritanya. Kabir seolah-olah tidak memberitahu kita apa yang sedang berlaku di dalam filem ini sepenuh hati dan hanya menyebut sahaja tanpa ada penjelasan dan penerangan. Kita cuma diberitahu itu ini tetapi tanpa dia menjelaskan. Umpama kita melihat persembahan magik. Tiba-tiba ada itu ini, tiba-tiba jadi macam itu macam ini. Walaupun kita tahu benda itu perlu ada, dan perkara itu perlu terjadi untuk membantu cerita tetapi adanya sesuatu itu secara ala kadar dan asal kena ada sahaja. Banyak hal yang berlaku di dalam filem ini membuatkan penonton termangu-mangu memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Paling tidak pun bagilah tahu kenapa Johan dihormati di tempatnya sehingga budak-budak panggilnya Bang Long siap datang minta maaf bersama mak. Takpun ceritalah sikit budak-budak rempit ni siapa dan kenapa kena serang dengan budak rempit lain.

Bagi lakonan pula aku puji Zul Ariffin. "Karakter ini memang kau yang punya Zul". Aku tak nampak orang lain yang boleh bawa watak ini selain kau. Pelakon-pelakon lain bagi aku okay je lakonan mereka. Cuma aku rasa lakonan mereka tidak dapat dibuat lebih lagi kerana faktor watak mereka yang tidak dikembangkan dengan baik. Watak tak berapa kuat. Tapi yelah kan, kalau pelakon itu bagus, keluar satu babak pun dah boleh bagi impak. Macam watak Pak Lang, Aman Graseka ada memberi kesan yang agak besar. Mira Filzah pun, tak baiklah korang kutuk dia macam berlakon drama melayu 7 petang. Kasi lah dia peluang, filem pertama dia berlakon. Tapi aku rasa taklah teruk sangat.

Babak-babak bromance antara Adam dan Johan aku suka. Mengingatkan aku kepada filem kegemaran aku dari Perancis bertajuk Intouchables. Aku yakinlah Kabir mesti rujuk filem ini untuk bahagian bromance dalam Sangkar. Korang tengoklah filem Perancis itu, korang akan faham maksud aku.

Kesimpulannya Sangkar tidaklah seteruk yang disangka kalau korang salurkan ekspektasi korang ke dalam saluran yang betul. Salah pihak filem ialah apabila mereka menggunakan promosi mengatakan ini adalah filem pertama MMA Malaysia dan pertarungan epik antara Zul Ariffin dan Remy Ishak. Sedangkan filem ini adalah drama dan perkara yang digembar-gemburkan itu tak sampai 20% pun di dalam filem.


MANDA: Panggung aku di GSC AEON Bandaraya Melaka. Ruang kaki yang selesa. 2 baris kerusi penuh dihuni muslimah. Alhamdulillah audiens tidak menjengkelkan dan pengalaman sinematik aku lancar.

Jangkaan aku pada Sangkar setelah menonton trailer menerbitkan perasaan 'Wow' namun ia bukan faktor dominan aku pergi menontonnya di pawagam. Aku pergi kerana kakak ipar sudi payung. Aku rasa malas nak tengok kerana cemburukan Mira Filzah berlakon di samping Remy Ishak. Ternyata, hubungan mereka adalah adik-beradik meredakan cemburu dihatiku.


AIMI: Untuk menonton Sangkar ini, aku elakkan untuk membaca atau menonton ulasan dari mana-mana medium. Aku mahu tontonan yang murni. Tontonan yang tidak menentang mana-mana pengulas filem online mahupun tercari-cari titik kesalahan atau babak filem yang disebutkan di dalam ulasan. Benda-benda macam ini bukan sahaja penilaian aku malah cara otak aku bekerja ketika sedang menonton. 

Jadi, aku pun segera ke pawagam berpaksikan trailer, TMO, OST serta promosi di media sosial memandangkan circle aku semua dah tonton filem ni. 

Untuk OST yang bertajuk FIGHTER (Aman RA) ni aku tak berapa berkenan sangat. Aku lagi suka lagu yang terpasang masa habis TMO Sangkar. Bunyinya macam ni, “pukul aku, pukul aku lagi …” 


Masa awal trailer ni muncul, aku terbeli bila melihat logo 4 penerbit; Primeworks, Astro Shaw, infinitus dan mm2 bekerja untuk satu filem. Aku terfikir besar ke MMA ni sehingga semua nak jadi penerbit. Aku bukan tahu sangat pasal MMA ni, tapi sempatlah buat homework sikit sebelum pergi wayang tu. Tapi yang lebih penting, aku jadi ingin tahu jenis idea macamana yang boleh mewujudkan kerjasama ini. 

Lagi-lagi bila nampak Primeworks dan Astro Shaw, aku tahu aku akan nampak iklan Sangkar di mana-mana.

Setelah menonton: secara keseluruhannya, aku suka filem ini. Masa keluar dari sinema aku tak dapat fikirkan nilai berapa bintang untuk aku bagi, aku juga tak tahu perasaan untuk filem ini ada di mana. Hanya ada rasa suka. Adakah sebab aku memang suka Remy Ishak? Hahaha!

Setelah bertenang, barulah aku dapat senaraikan kelebihan dan kelemahan filem ini. Dan ianya, debatable. Kita akan berbincang lebih lanjut. 

Salah satu perkara yang aku nampak debatable di online adalah Mira Filzah. Aku ada ternampak orang komen lakonan kayu apalah. Aku rasa okay sahaja. Just okay. Entah kenapa dengan tudung awning keras tu, aku nampak Ummi Nazeera pada Mira Filzah. 

Apa yang lebih aku nak sentuh adalah, watak Lea (Mira Filzah) ni buat aku debar. Benda ini berkait juga dengan hal bagaimana watak wanita digunakan dalam filem aksi atau filem yang didominasi oleh watak-watak lelaki. Kalau perasan dalam kebanyakan filem begini, watak wanita sering dijadikan watak yang buat “spoil” sesuatu keadaan ataupun dijadikan tebusan. 

Susah nak nampak yang watak wanita tu, bergerak cool sekali dengan watak lelaki-lelaki dalam filem tu. Aku sendiri tertanya mengapaaaaa. Adakah aku terlalu feminis untuk berharap semua ini terjadi? Aku rasa watak Raline Shah dalam Polis Evo 2 tu okaylah. Tapi time tulis ni, aku lupa pula apa pengakhiran watak Raline Shah.

Untuk filem Sangkar ini jelas watak Lea (Mira Filzah) ini akan mewujudkan elemen drama. Dalam trailer pun bila dengar suara Mira Filzah, “Semua terjadi adalah qada dan qadar Allah” jelas menunjukkan elemen drama yang bakal muncul di skrin. Dalam situasi ni, boleh dikategorikan watak Lea adalah watak yang akan “spoil” kan keadaan. Tetapi untuk Sangkar, aku rasa karakter Lea tak overdone. Aku rasa okay. Just okay. Dah tak debar.

Kredit untuk Sangkar, sebab awal filem mereka tunjukkan MMA fighter wanita. Jadi kau tahu, wanita ni ada juga dalam gelanggang bukan yang duk berbisik-bisik menggoda kat tepi telinga fighter, bookie je.

Untuk yang belum tengok dan perlukan bantuan untuk buat keputusan nak tengok Sangkar atau tak, sesuai ke tak dengan kau. Tengoklah dulu apa yang Kabir Bhatia dan 4 wakil penerbit cakap dalam TMO. Aku petik sikit apa Kabir cakap pasal filem ini dalam TMO ea, “I see this film as a bromance and then surrounded by the action.”

***

Round 2


AIMI: ASPEK/PLOT YANG ANDA HARAP DAPAT DIKETENGAHKAN DENGAN LEBIH BAIK LAGI DALAM FILEM INI.

PAAN: Aku mengharapkan kisah Adam dan Johan ini diceritakan lebih awal dari babak pertarungan di awal filem. Aku nak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara Adam dan Johan sampai mereka berseteru begitu hebat sekali. Kalau cerita mereka bermula awal, mungkin aku akan lebih kenal Johan. Aku nak sangat kenal dengan Johan sebelum dia bertarung dengan Adam.

MANDA: Babak hospital. Kalau Mira Filzah tak pandai jaga adik dan abang dia yang sakit, elok bagi pekerjaan tukang cuci ke, jual nasi lemak ke atau kerja 7-11.** 

Aku tak puas dengan watak Adi jahat tu. Carliff. Dia ada sesuatu yang durasi filem ni kekangkan. 

**(Maafkan penulis ni ada isu peribadi dengan lakonan Mira Filzah. Bukan Mira Filzah secara peribadi tetapi penulis ni yang ada isu peribadi. Mira Filzah tak kenal pun dia.)


PAAN: KAU NAK KENAL DENGAN LEBIH LANJUT TAK MENGENAI JOHAN? ATAU DIA DUDUK ATAS KERUSI RODA TU DAH CUKUP?

MANDA: Kenapa aku blushing ni dengan soalan ni? Aku rasa dah cukup. Johan ni baik, abang yang baik, kawan yang baik. Cukup dah. Lulus!

AIMI: Aku petik kelopak bunga "nak tahu ke tak, nak tahu ke tak".

Johan ni ringkas orangnya. Masa video intro MMA pun cakap sikit aje, "Tak yah cakap banyak. Tengok rekod 3-0."

Dia cukup hero masa babak, "Aku maafkan kau."

Jadi aku rasa cukuplah.

Cuma aku harap ada scene Adam dan Johan sembang pasal gelaran Jedi dan Ace. Aku cari maksud Jedi serta Ace dan dapat maknanya tapi itu yang aku tahu dari Google, aku nak versi yang dorang bagitahu aku. 


MANDA: KALAU KAU DIBERI PILIHAN UNTUK BUANG KARAKTER ANTARA LEA DAN REZA ATAU 2 KAWAN MMA FIGHTER ADAM TU, KAU NAK BUANG YANG MANA DAN KENAPA?

PAAN: Bagi aku setiap watak yang berada di keliling Adam dan Johan perlu ada kerana mereka membantu penceritaan. Tetapi kalau terpaksa pilih untuk dibuang aku akan pilih watak Lea. Kerana Lea di dalam filem ini tanggungjawabnya sebagai adik kepada Johan nampak terlalu lemah. Aku harapkan dia menjadi lebih lagi dan mungkin ada 'loveline' yang lebih ketara antara dia dan Adam. Tapi ianya tidak berlaku. Fungsi Lea sangatlah lemah. Lagipun kalau bayangkan jika Johan cuma ada adik kecil yang masih bersekolah, mempunyai sakit jantung pula dan terpaksa menjaga abang yang lumpuh seorang diri, itu lebih memberi kesan kepada penonton.

AIMI: Aku akan pilih untuk buang Lee. Sorry Lee. Sebenarnya, tak ada masalah pun dengan persembahan watak tu. Dia fun je. Cuma dari segi kepentingan dan fungsi, watak ini boleh je kalau digabungkan dengan watak Hafiz. Aku tak boleh nak buang dua-dua sebab Adam kenalah rakan industri walaupun dia suka describe dia tak ada sesiapa. 


AIMI: DARI SUDUT PROMOSI, SUDUT MANA YANG BOLEH BAHAGIAN PEMASARAN TONJOLKAN MENGENAI FILEM INI SEBAB SEKARANG TIMBUL ISU FRASA “FILEM MMA PERTAMA DI MALAYSIA” ADALAH SCAM.

PAAN: Apa yang pihak promosi buat dari sudut mengajak penonton ke pawagam dah berjaya. Aku tak rasa kalau dia buat selain ini, dan mengeluarkan terdahulu poster Adam dengan Johan dekat padang itu akan membuatkan filem ini jadi bualan orang kampung. Cuma dari sudut penonton, rasa tertipulah. Macam beli barang kat online pulak. Janji lain dapat tak setara dalam gambar. Manalah penonton tak tarik muka.

MANDA: Scam? Macam kena game? Aku tidak ada masalah dengam frasa "FILEM MMA PERTAMA DI MALAYSIA". Promosi dalam pengiklanan memang perlu scam. Cuma mereka tak panggil ia scam. Mereka panggil ni promosi. Haha. Boleh tanya budak advert kot.

Sangkar memang ada babak berlawan. Memang ada babak dia gelanggang, jurulatih dan ada cameo McSweeney. Suntikan genre drama memonopoli genre keseluruhan kerana ia genre popular. MMA PERTAMA adalah frasa promosi yang tepat dan gempak. Kalau kau nak tukar channel Astro terpampang juga penegasan menyuruh kau pergi menonton di wayang di ruang Info. Ia bukan scam pada aku. Mungkin yang kata frasa promosi ni scam adalah orang yang mudah koyak.


***


Salam Sembang Gebang!