3/28/20

Super Heroin: Bab 1

Hari ini aku sudah siap sedia untuk membaca kandungan fail Microsoft Word yang telah dikirimkan akaun MonK yang tidak aku kenali ke e-mel aku.

Untuk menghilangkan debaran di dada, aku buka lagu "Your Shampoo Scent In The Flowers" sebagai latar. Tanpa membuang masa marilah kita mula membacanya sekarang! 

-----

SUPER HEROIN

Bab 1
(MULAN)



“Apa kejadahnya benda ni?” tanya Mulan pada D dan Amy.

Mereka bertiga berdiri mengelilingi sekujur tubuh yang sudah kaku. Tubuh yang sedang dalam proses decomposition. Entah dari mana ia datang tanpa diundang. Bau bangkai yang hadir memaklumkan kedatangannya lantas merusuhkan suasana.


Mulan, D dan Amy masih berdiri. Amy cepat-cepat menyepit hidungnya dengan jari sekuat kepit ketam. Mata kecilnya buntang memberi isyarat do something pada Mulan dan D yang masih kaku dengan situasi terseput. Mulan ke dapur mencari surat khabar dan plastik. D menyarung sarung tangan plastik milik Mulan yang digunakannya untuk gaul kunyit buat ayam goreng. Mulan terlihat dan memegang tangan D. Matanya melorot ke tangan D yang siap tersarung plastik. D melepaskan genggaman tangan Mulan dan jari telunjuknya memberi isyarat ah nanti beli lain lah! Mulan mendengus tidak puas hati. Matanya melihat Amy yang hidungnya sudah merah. Semerah lipstik rouge Maybelline.

D mengangkat bangkai tersebut dengan penuh hati-hati. Masih panas di bahagian perut. Membaringkannya di atas bentangan surat khabar. Mulan pada membungkus dengan lembut.

“Oi cepatlah!” D mengambil alih tugas tersebut dan rakus membungkus seperti penjual nasi kerabu yang punya ramai pelanggan beratur di depan gerai. 

Amy membuat carian di internet tentang cara-cara pelupusan bangkai seekor haiwan yang berdarah panas dan berbulu. Dia menemukan hadis yang mengatakan haiwan ini pada akhirnya akan menjadi debu. Tidak ada panduan yang tertib dalam menguruskan bangkai ini. 

Bungkusan tersebut diisi ke dalam plastik tak berikat. D mencadangkan agar kita cari kawasan yang bertanah untuk kita tanam. Namun persekitaran mereka tidak membenarkan ritual semula jadi itu berlaku. Mereka tinggal di rumah tingkat 10. Kawasan bertanah di sekitar hanya ada padang bola milik Sekolah Kebangsaan Berkluster Tinggi.

Mulan mencadangkan kita campak sahaja plastik ini di dalam tong sampah besar di rumah sampah bawah blok. Cadangan ini dibantah sekeras-sekerasnya oleh ahli persatuan pencinta haiwan yang lain (Amy dan D sahaja ahlinya) kerana mereka beranggapan itu melawan hak asasi haiwan.

Mereka tidak punya masa. Mereka mula membayangkan apa akan berlaku sekiranya pengkebumian dilengah-lengahkan. Tubuhnya akan berulat. Membusuk. Haiwan-haiwan lain akan turun bersarang di tubuh mangsa bukan sahaja ulat. Boleh jadi ada lipas, tikus, lipan, katak, cicak, labah-labah, kala jengking atau rama-rama…

“Aku nak keluar makan McD. Siapa nak ikut, siap cepat.” Mulan yang sememang sudah siap hanya menggapai beg silang berisi data peribadi dan terus turun ke bawah sambil membimbit plastik bangkai tersebut turun lif.

D dan Amy yang memang pantang dengar McD terus bersetuju dan cepat bersiap. Mulan menunggu mereka di dalam kereta. Matanya terpandang rumah sampah betul-betul ada di hadapan keretanya. D dan Amy mula menghampiri kereta dan Mulan menghidupkan enjin. Keluar dari petak parkir, Amy bertanya “Mana kau buang bangkai tadi tu?”

“Kau pun tanya mana aku ‘buang’. Kau dah tahu jawapannya.”

Sebenarnya bukan mereka tidak bersetuju dengan cadangan Mulan untuk membuang sahaja bangkai tersebut. Namun mereka tidak mahu menanggung rasa bersalah dengan melakukan perbuatan itu. Jadi, sebagai manusia kita perlu ada dua pilihan dalam membuat kata putus. Setidak-tidaknya jika kita memilih untuk menyusur di jalan jahat, kita tahu ada jalan baik yang turut difikirkan dalam mengimbangi kognitif pemikiran. Disebabkan itu, dapatlah mereka tahu bahawasanya mereka masih waras dengan tidak mengadakan parti barbeque malam itu. Maklumlah rezeki jatuh dari langit.

Masing-masing merenung ke luar jendela memikirkan menu apa yang hendak dipesan setibanya di McD nanti. 

***

Mulan atau nama sebenarnya Nur Alisya Binti Mohd Sabri merupakan anak sulung dari 4 beradik. Ibu bapanya sewaktu awal perkahwinan tinggal bersama keluarga mertua. Jadi sebarang tindak-tanduknya diawasi oleh keluarga mertua sehinggalah nama cucu mereka turut dicampuri. Ibunya mahu menamakan anaknya Mulan kerana sengaja nak rebel. Sengaja mahu melihat orang berkata yang tidak-tidak dengan pilihan nama tersebut. Mulan hanya gelaran yang diberi oleh ibunya. Orang lain memanggilnya dengan nama Caca atau Ica.

“Punyalah berebut nak bagi nama Alisya, last-last yang dipanggilnya Caca. Apa kejadahnya.” Rungut hati ibu si Mulan yang sedikit sebanyak menurun ke anaknya.

Sesuai juga nama Mulan dengan keperibadian dan fizikalnya yang berkulit licin. Warna kulit bergantung pada aura dalaman. Jika stress, warna kulitnya menjadi gelap. Jika tidak stress warna kulitnya cerah bersinar memancar. Walaupun nama Mulan ini datang dari keturunan Disney berbangsa Cina, matanya tidak sepet. Matanya kuyu. Orang anggap dia mengantuk dan bosan sepanjang masa. Orang kata dia tak ada perasaan. 

“Ah Mu, main henset macamlah ada orang mesej dia. Padahal main lock screen.” Sindir Zack. Zack ni asal Kuantan. Nama Mulan dipendekkan jadi Mu. Mengikut dialek Kuantan, Mu ni bermaksud Kau. Mu ni juga boleh jadi pinjaman daripada dialek Terengganu. Orang Kuantan rata-rata kalau guna Mu, maksudnya mereka dipengaruhi orang Terengganu. Orang Kuantan kalau sebut kaw, dia jadi ka je. Ka. 

Contoh soalan: “Kereta kalau Bahasa Inggeris apa?”

Jawapan: “Ka”

Ini lawak bodoh Zack. Anggap jelah Zack ni dah mati dalam hidup Mulan.

***

“Aku pantang dapat ayam sejuk. Tapi aku makan je lah.” Rungut D yang pesan set Ayam Goreng McD dengan sampingan Kentang Goreng dan Coke saiz besar. 

“Krup…krup…krup...” D kunyah kulit Ayam Goreng McD yang rangup.

“Hufff…huff…” D kepedasan.

“Korang kerja okay?” Soal Mulan membuka diskusi meja makan. Topik hari ini, kerja.

“Aku okay. Baru ni aku dapat projek terjemahan laman web untuk sebuah syarikat terkenal.” Respon Amy. Amy bekerja sebagai seorang penulis bebas. Punya laman web sendiri yang menjana pendapatan melalu Nuffnang dan Google Ads.

“Tak payah terkenal sangatlah bagitahu je lah syarikat apa.” D menghirup Coke dari cawan kertas mengguna straw besi yang diperoleh percuma dari sebuah syarikat terkenal.

“Straw kau tu pun aku tanya dapat dari mana kau jawab ‘adalah dari sebuah syarikat terkenal’, lupa ke?” Amy bidas.

“Tak boleh sebut la isu hak cipta”. Balas D berseloroh.

“Kau ingat je benda-benda lepas ni eh. Power ah kau.” Sanjung Mulan.

“Takde ah. Aku tak boleh nak bagitahu korang ni syarikat apa selagi projek ni tak siap. Kontrak dia macam tu.”

“Weh, tah-tah ni scam?” D risau. 

Amy ni bukan tak pernah kena scam. Dah banyak kali. Kes nak beli motor dari Senang.My yang hangus dua ratus ringgit. Deposit dua ratus ringgit telah Amy transfer dan penjual meminta Amy datang sendiri mengambil motor tersebut di Gurun, Kedah. Sebaik sahaja dia tiba di terminal bas Gurun, nombor telefon penjual gagal dihubungi. Aplikasi mesej tiada respon. Amy pulang ke Kuala Lumpur, hampa. Seminggu Mulan dan D cuma mengenal pasti punca kemurungan Amy yang tidak riang seperti selalu. Akhirnya ketika makan malam, Mulan masak lauk kegemaran Amy, isi ayam masak halia. Amy tiba-tiba keluar dari biliknya dan duduk di meja makan. Kepalanya dihempas ke meja dan menjerit. Amy menceritakan pengalaman buruknya itu dan berjanji selepas ini dia akan sentiasa berkongsi apa sahaja perkara dengan D dan Mulan. 

Mulan membisu membiarkan D dan Amy bersembang. Mulan tidak bekerja. Dia mewarisi kekayaan datuk angkatnya yang berdarah jawa dari negara Indonesia. Sejak kecil dia mengimpikan sebuah keluarga yang lain daripada apa yang dia ada. Dia berharap kewujudannya di dalam keluarga yang kucar-kacir ini adalah sebuah kesilapan ghaib. Boleh jadi Mulan bukan anak kandung bapanya. Boleh jadi ibunya berenang di Laut China Selatan dan seekor sperma telah berenang masuk ke dalam sistem peranakan ibu maka terjadilah persenyawaan zuriat di dalam rahim. Mulan mengharapkan sperma itu datang dari golongan kaya-raya. 

Ternyata ia benar dan Mulan juga berjumpa dengan dua adiknya iaitu D dan Amy. Agak menjengkelkan wasiat yang ditulis. Syaratnya, “Kau perlu menjaga dua adik tirimu jika kau mahukan harta ini.” Suara bergema dari dalam peti surat rumahnya. Surat itu terbaca dengan sendirinya seperti filem Harry Potter: Batu Ajaib.

D menepuk meja lantas Mulan terkejut. 

D memandangnya dan berkata,“Kau berangan lagi kan?!”

“Zoned-out!” Mentang-mentanglah tengah buat projek menterjemah, kerja dia terjemah orang je si Amy ni.

Mulan menggaru kepalanya yang gatal. Beberapa helai rambut gugur ke lantai McD. Mulan nampak rambutnya gugur. Boleh jadi aku ada barah, detik hatinya.

“Woi! Kau kat mana ni? Kau dengar tak plan kitaorang ni tadi?” D menjerkahnya. Entah darah pahlawan mana mengalir dalam badan dia ni. Kerja nak jerkah orang je.

“Aku tak dengarlah. Apa dia?” Mulan pening-pening lalat akibat hentakan tangan D di meja tadi. 

“Aku ada gosip.” D memberi topik baru menggantikan topik kerja itu tadi.

Mulan menggapai ayam goreng McD dan menggigitnya.

“Kruppp… Kruppp… Kruppp…” Mengutip saki baki kulit rangup yang terburai di dulang McD.

“Mak aku dah tanya bila aku nak kahwin.” D mengecilkan matanya. Konon bertenang. Padahal dalam hatinya meronta-ronta. D pernah kata yang dia tak suka alam perkahwinan. Pengalamannya melihat manusia yang sudah berumah tangga ini merengsakan dirinya. D bukan tak sukakan perkahwinan. D cuma belum bersedia. D memegang teguh prinsip diri lebih penting dari "si dia". Ada patch terjahit di parka hijaunya persis parka kepunyaan Fahmi Reza.

“Banyak nak pakai duit tu.” Respon Mulan yang mengerutkan kening D.

“Bukan itu masalahnya. Masalahnya mak kau tak tahu ke kau ni paranoid dengan perkahwinan!” Amy mengekek ketawa. D juga mengekek ketawa hingga mengeluarkan air mata.


-----

Mulan?! Seriously, are you kidding me?

Mulan, MonK - M - Make sense. Aku dah tahu siapa hantar Bab 1 begini. 

Analisa ini tidak akan silap. Lepas dapat jawapan baru aku teringat, sebenarnya aku boleh sahaja pergi ke bahagian Properties fail dan semak bahagian Author.


Hah, semua orang tunggu sekejap! Aku nak bawa Bab 1 ini ke sebuah mesyuarat group Whatsapp. Aku akan kembali.

Bersambung ...

3/27/20

Super Heroin: Pengenalan

Hai! 

Lama kita tidak bersua. Pastinya telah banyak yang dikecapi dan jalani tanpa aku ketahui. Aku juga sudah lama tidak menulis perkara-perkara santai di sini. Harap semua berada dalam keadaan tenang menjalani tempoh ini.

Walaupun tidak bekerja, tabiat menyemak e-mel setiap hari jam 9:00 pagi masih tidak dapat aku singkirkan. Aku juga tidak pasti e-mel apa yang aku nantikan.

Mata aku bercahaya. Pagi ini berbeza kerana selain e-mel dari foodpanda, Zalora, Shopee, Naelofar, LinkedIn dan Jobstreet, ada satu e-mel yang memang asing masuk ke Inbox aku. 

Mungkin ini yang aku tunggu.

Aku lihat nama pengirim “MonK – yourmonk [at] gmail [dot] com”. Hmm, aneh.

Tiada sebarang catatan di dalam e-mel tersebut melainkan sebuah fail Microsoft Word bertajuk “Super Heroin”.

Aku ragu untuk muat turun. Dalam dunia internet ini, aku paling bimbang dengan virus yang boleh menyebabkan kita terlog keluar dari akaun sendiri dan mesej spam berpautan aneh akan masuk ke semua friend list.

Do or die. Aku muat turun. 

Word dibuka. Kandungannya begini:


Aku macam woah! Apa ni!

Dalam keadaan terkejut kebolehan untuk membaca hilang. Aku skrol sampai ke bawah. 

Word itu berakhir dengan:


Beberapa perkara muncul di minda aku: 
1. Adakah aku patut menghubungi kawan-kawan aku berkongsi mengenai e-mel ini? 
2. Adakah pemilik e-mel “MonK” ini ingin aku membuat semakan pruf ke atas tulisannya? Aku tak buat kerja membaca pruf dengan percuma. Proofread dengan aku perlulah mengikut syarat: font size 10/11 pt, spacing 1.5, 1 halaman RM 3.00.  
Tetapi sekiranya begitu, buat apa hantar Bab 1 sahaja. 
3. Aku perlu beri penilaian? Mustahil. Manuskrip novel untuk penilaian sekurang-kurangnya knae ada 3 bab pertama.

Penyelesaiannya adalah dengan membaca sahaja fail Microsoft Word ini. 

Baiklah, aku akan baca selepas aku ber-pilates dan menonton 1 episod drama Korea. Buat masa ini aku diamkan dulu mengenai e-mel dari semua kawan-kawan aku.

Tapi bila aku baca nanti, aku nak kau juga baca bersama e-mel ini!