7/28/20

Sembang Gebang “Keluarga Iskandar The Movie” bersama Danial Aziz Ahmad

Salam Sembang Gebang!

Aidilfitri telah berlalu kini hampir tiba Aidiladha. Sempena Aidiladha ada satu cerita yang aku rasa sesuai ditonton seisi keluarga ataupun bila tonton rasa meriah seperti bersama keluarga. Tak lain tak bukan, jelas terpampang: "Keluarga Iskandar The Movie".

Too bad kalau kau sampai sini sebab cari link untuk tonton Keluarga Iskandar The Movie secara percuma tapi yang kau temukan adalah perbincangan. Jadilah seperti kami yang tonton di Astro First / Astro Go. But hey! This is a fun blog to read tau!

Walau bagaimanapun, amaran untuk yang belum dan merancang untuk menonton diingatkan perbincangan di bawah mengandungi SPOILER. 

Aku dah bagitahu, jadi segala risiko ditanggung sendiri.


***


Selalunya dalam Sembang Gebang aku yang akan tulis sinopsis filem/series yang dibincangkan tetapi episod kali ini tetamu kita, Danial Aziz Ahmad telah rajin menyediakan sinopsisnya. Mungkinkah kerana dia terlalu teruja dengan naskhah baru untuk Keluarga Iskandar ini?

Sama-sama ikuti perbincangan kami di bawah.


***


SINOPSIS

Keluarga Iskandar The Movie ditulis dan diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zainuddin. Kisah kekecohan keluarga ini bermula apabila Mak Jah (lakonan Kismah Johar) mendapat jemputan untuk menghadiri kenduri perkahwinan Faris (lakonan Taqim Zaki) – menantu favourite tak jadi Mak Jah. Mak Jah yang sememangnya gemarkan majlis perkahwinan itu mengajak seluruh ahli keluarganya untuk pergi ke majlis kenduri kahwin yang berlangsung di Pontian. Mereka telah sepakat untuk berkonvoi beramai-ramai pada hari tersebut. 

Sepanjang perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian, pelbagai peristiwa yang melucukan telah berlaku. Keadaan menjadi lebih kecoh apabila anak bongsu Abang Ngah (lakonan Sobri Anuar) dan Kak Teh (lakonan Anita Baharom) telah hilang ketika dalam perjalanan!


***


Pusingan 1


ULASAN INDIVIDU MENGENAI KELUARGA ISKANDAR THE MOVIE


DANIAL AZIZ AHMAD: Bila disebut tentang Keluarga Iskandar, benda pertama yang akan terlintas dalam kepala aku ialah bunyi ketawa Mak Jah dan taglinenya “Allah kan dah set from the top”. Sebagai salah seorang peminat drama Keluarga Iskandar dari musim pertama, sudah tentu aku sangat teruja apabila filemnya ditayangkan.

Drama bersiri Keluarga Iskandar musim pertama mula ditayangkan di Astro Prima pada 3 Julai 2012 hingga 9 Oktober 2012. Setelah mendapat respon positif daripada penonton, drama bersiri ini kemudiannya memasuki musim kedua dan ditayangkan di saluran Astro Warna pada 22 September 2014 sehingga 12 Januari 2015. 

Projek pembikinan filem Keluarga Iskandar The Movie ini sebenarnya dah lama, sejak penghujung tahun 2016. Pada tahun 2017, pihak KL Motion Pictures Sdn Bhd yang menerbitkan drama bersiri ini telah melancarkan satu kempen #SelamatkanKeluargaIskandar untuk mengajak para peminat bersama-sama membiayai pembikinan sebuah filem berjudul Keluarga Iskandar The Movie kerana drama bersiri itu dikhabarkan tidak akan disambung di stesen televisyen berbayar Astro. Kempen ini dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober 2017 dengan sasaran penjualan sebanyak 125,000 pakej. Pakej yang ditawarkan merangkumi penjualan barangan rasmi Keluarga Iskandar seperti tote bag, powerbank, USB pendrive dan pelbagai t-shirt dengan rekaan yang menarik. Pakej Premium dan Super Premium juga ditawarkan selain dibuka tawaran penajaan kepada badan-badan korporat untuk merealisasikan pembikinan filem bercorak komedi kekeluargaan ini. 

Walaupun pihak penerbit menghadapi pelbagai cabaran, Keluarga Iskandar The Movie akhirnya diumumkan penayangannya di saluran Astro First mulai 16 Julai 2020. Keluarga Iskandar The Movie meneruskan gaya mockumentary, sama seperti drama bersirinya sebelum ini dan membawakan kesinambungan kepada drama musim kedua yang tamat secara tergantung.

Sebagai penggemar filem komedi, aku sangat terhibur dengan jalan cerita Keluarga Iskandar The Movie ini. Walaupun lama aku menunggu filem ini keluar, ternyata penantian itu sangat berbaloi kerana aku telah menonton filem ini sebanyak 3 kali di Astro First. Punchline yang terdapat dalam filem ini kena pada masanya dan ia mengekalkan style komedi yang terdapat dalam dua musim siri sebelumnya. 

Walaupun aku dapat tangkap beberapa kesilapan kecil dalam filem ini, benda tu aku masih boleh maafkan sebab ia lebih kepada kesilapan teknikal sahaja. Sebagai contoh, dalam satu babak ketika Abang Teh (lakonan Azhar Sulaiman) sedang membuat sesi live di Instagram, telefon bimbitnya dalam kedudukan horizontal tapi video live itu dipaparkan dalam keadaan vertical. Dalam satu lagi babak yang berlainan, Mak Jah hendak tumpang solat Zuhur di rumah jiran lamanya. Kemudian babak selepas itu memaparkan jam di kereta Abang Long baru masuk pukul 12:40 tengah hari! Ada beberapa babak yang dibuat dubbing juga tidak dilakukan dengan baik dan membuatkan aku agak kekok bila mendengar hasilnya. Pada aku, kesilapan ini agak mengganggu konsentrasi aku sebagai penonton. Sekiranya dua kesilapan kecil ini tidak berlaku, aku rasa pengalaman menonton filem ini akan berlaku dengan lebih baik.

Benda-benda lain dalam filem ini pada aku okay saja. Aku harap filem ini akan dapat pulangan yang baik dan anugerah di masa akan datang kerana kisah Keluarga Iskandar The Movie ini digarap dengan baik, jujur dan sangat bersifat lokal. Kita semua boleh relate dengan setiap watak dalam Keluarga Iskandar ini.


AIMI ROSLI: Keluarga Iskandar The Movie dibawakan dalam bentuk road movie dengan mengekalkan ciri mockumentary sama seperti jalan ceritanya yang mempunyai cerita khas untuk filem tetapi dalam masa sama masih mengekalkan beberapa topik/konflik dari series. Apabila aku menonton cerita ini aku tidak terlalu memerhatikan sinematografi, teknikal dan sebagainya, I’m totally in for the story.

Apa yang aku suka mengenai Keluarga Iskandar adalah mereka mengekalkan pelakon yang sama dan sekiranya, pelakon itu tiada, watak itu tidak digantikan dengan pelakon lain tetapi akan diberikan alasan dalam jalan cerita kenapa watak itu tiada. Contohnya ketika Juwa/Kak Teh tiada dalam Season 2. Walau bagaimanapun, ketiadaan Kak Ngah tidak dijelaskan dalam cerita ini lalu memberikan kelompongan di situ.

Pihak Keluarga Iskandar lantas telah membuat video tambahan untuk mengisi kelompongan yang dirasai peminat.

Ada banyak benda aku suka mengenai premis Keluarga Iskandar. Pasal storytelling, style, character development, jokes tapi antara sebab utama adalah kerana pelakon kanak-kanak yang berlakon dalam siri mahupun filem semuanya jenis petah. Watak budak-budak nakal dan petah macam ni memang mudah memancing perhatian aku, sama macam series Geng Mengaji (juga terbitan KL Motion) dulu. 

Kalau dalam series watak Om dan Malin sangat menyerlah, kini dalam Keluarga Iskandar The Movie ada penambahan dua watak kanak-kanak yang baru iaitu Dardar (lakonan Mohamad Dhia Iskandar) dan Princess (lakonan Rania Humaira). Boleh dikatakan kebanyakan babak yang menghiburkan aku datang dari kegemaran Dardar. 

Secara keseluruhannya, aku menikmati dan terhibur menonton Keluarga Iskandar The Movie. 

Walau bagaimanapun, amat sukar untuk melihat Keluarga Iskandar The Movie dengan imej sebuah filem yang ditayangkan di pawagam dengan kutipan box-office. Aku lebih nampak Keluarga Iskandar The Movie ini sebagai sebuah telemovie yang fun dan worth the time khas untuk peminat series Keluarga Iskandar. 

Apa pun, aku ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga kerja dan juga kepada mereka yang telah terlibat dalam crowdfunding untuk menjadikan Keluarga Iskandar The Movie satu kenyataan. Kah kah! Aku terharu juga yang finally Keluarga Iskandar The Movie ni ditayangkan.


***


Pusingan 2: Aimi Rosli ➡ Danial Aziz Ahmad


AIMI ROSLI: Watak mana yang kau rasa relate dalam Keluarga Iskandar tu? Mungkin boleh share juga babak kegemaran.

DANIAL AZIZ AHMAD: Dalam siri Keluarga Iskandar ni aku ada dua watak favourite: Abang Ngah dan Alan. Abang Ngah ni dia seorang yang cool. Kalau ada apa-apa masalah dia tenang saja. Tapi aku rasa Alan lebih best dalam perkembangan wataknya sebab dari musim pertama sampailah ke filem watak Alan ni ada kepelbagaian berbanding Abang Ngah yang maintain dari drama sirinya. Babak kegemaran aku dalam filem ni bila Alan jumpa balik Ugly kucing kesayangannya yang hilang di rumah seorang awek. Satu babak yang simple tapi agak sweet lah bagi aku. Kahkahkah.


AIMI ROSLI: Sekiranya premis Keluarga Iskandar diteruskan, kau pilih dalam bentuk series/telemovie/movie?

DANIAL AZIZ AHMAD: Bagi aku Keluarga Iskandar ni kena teruskan premisnya dalam bentuk series. Banyak sikit cerita yang boleh dimuatkan sebab watak dalam Keluarga Iskandar ni pun dah semakin bertambah. Keluarga Iskandar season 3 please!


AIMI ROSLI: Adakah kau berpendapat Keluarga Iskandar The Movie mencapai standard dan akan berjaya sekiranya ditayangkan pawagam?

DANIAL AZIZ AHMAD: Secara amnya, Keluarga Iskandar The Movie ni dah mencapai standard sebagai sebuah filem. As a fan, aku memang nak tengok Keluarga Iskandar The Movie di pawagam sebab pada aku pengalaman menonton di pawagam lebih best berbanding menonton di kaca televisyen atau aplikasi penstriman. 

Tapi aku kena akur dengan kenyataan bahawa masih ramai orang di luar sana yang tak familiar dengan branding Keluarga Iskandar ni. Mungkin kerana Keluarga Iskandar The Series dulu ditayangkan di Astro dan tak semua orang melanggan Astro di rumah. 

Aku ada teori, tak tahulah betul ke tidak:
(i) Keluarga Iskandar musim pertama ditayangkan di saluran Astro Prima. Waktu tayangan sejam untuk satu episod. (ii) Keluarga Iskandar musim kedua pula ditayangkan di saluran Astro Warna dengan waktu tayangan 30 minit untuk satu episod. 
1. Di sini saja Keluarga Iskandar telah kehilangan penonton sebab Astro Warna tu termasuk dalam pakej tambahan berbayar di Astro dengan satu lagi channel: Astro Citra. Jadi, tak semua pelanggan Astro melanggan channel tu. Secara logiknya rating akan menurun. Sebab tu Astro tak berminat nak sambung tayangan Keluarga Iskandar musim seterusnya. 
2. Crowdfunding #SelamatkanKeluargaIskandar tu pun tak mencapai sasaran. Dalam erti kata yang lain, fans Keluarga Iskandar masih kurang berbanding siri drama tv yang lain. Walaupun mereka ada fanbase yang kuat (mungkin orang-orang Johor) tapi benda tu sebenarnya masih tak cukup. 
3. Kalau kita tengok Instagram @keluarga.iskandar, followers di akaun tu baru ada 6.7k dan akaun Facebook rasmi Keluarga Iskandar baru mencapai 13k likes dan 14k followers. Aku tak rasa filem ni akan mendapat pulangan yang baik kalau ditayangkan di pawagam. 
Bila filem ni ditayangkan di Astro First, ia merupakan satu keputusan yang sangat baik dari sudut bisnes. Astro tu ibarat ‘rumah’ Keluarga Iskandar. Aku tak sabar nak tahu berapa kutipan filem Keluarga Iskandar The Movie.


AIMI ROSLI: Apa pendapat kau mengenai pengakhiran yang tidak bertempat di majlis perkahwinan Faris?

DANIAL AZIZ AHMAD: Aku tiada masalah dengan pengakhiran filem ni. Walaupun dari mula Mak Jah sekeluarga nak hadir ke majlis perkahwinan Faris tapi end up mereka enjoy di Legoland. Memanglah sebab Legoland menjadi salah satu penaja dan penerbit kena buat promosi dalam filem. Satu hal lagi pada aku Keluarga Iskandar The Movie ni patut diakhiri dengan ‘keluarga’ mereka sendiri. Yelah, si Faris tu tak ada kena mengena pun dengan Mak Jah sekeluarga. Dia bukanlah a part of the family tapi at the end of the story Mak Jah dapat berbaik semula dengan anaknya Uda yang selama ini menghilangkan diri ke London. 

Keluarga Iskandar mengajar kita tentang walau apa pun yang terjadi, family always come first. Air kalau dicincang memang tak akan putus. Itu simboliknya babak akhir dalam Keluarga Iskandar The Movie yang aku nampak.

Pada aku, cerita itu lebih penting berbanding mereka sampai ke kenduri kahwin Faris.


***

Pusingan 3: Danial Aziz Ahmad ➡ Aimi Rosli


DANIAL AZIZ AHMAD: Kalau premis Keluarga Iskandar disambung, kisah siapa yang paling kau looking forward nak tahu?

AIMI ROSLI: Sibling rivalry Om-Princess. Aku nak ada Dardar walaupun tak tahu apa konflik dia, Malin maybe dah jadi BFF dengan Mak Jah pasal Acu dah kahwin. Dalam otak aku juga imagine, Kamal cuba memberikan bimbingan kepada Mustaqim untuk jadi menantu kesayangan. Sebab Kamal ni watak dia macam selalu try hard untuk position dalam keluarga, so, dia mesti dia fikir something bila ada biras baru. Juga, penerimaan semua orang terhadap suami Uda memandangkan perkahwinannya ditentang dan berkonflik.

The beauty of cerita pasal keluarga ni, cerita takkan habis tapi stay relevant. Banyak topik boleh sentuh dan reka.

All in all, kita semua nak season 3!


DANIAL AZIZ AHMAD:  Sepanjang menonton Keluarga Iskandar The Movie ni, ada tak benda-benda yang pada kau rasa tak perlu ada dan perlu dibuat penambahbaikan?

AIMI ROSLI: Tak ada yang aku rasa tak perlu tapi benda yang menjadikan scene ending tu bukan scene pilihan aku adalah sebab wujud scene Mak Jah call Faris berdrama apa semua lepas tu eh macam tu je. Haha, at least ada after credit dia call Faris balik atau cakap pada penonton.

Dari segi keseluruhan pula, dua benda yang akan lebih melengkapkan movie tu untuk aku: (i) Malin cerita pasal dah move on dari ada crush pada Faris dan (ii) sebut mana Kak Ngah pergi.


DANIAL AZIZ AHMAD: Adakah Keluarga Iskandar The Movie masuk ke dalam salah satu filem Melayu kegemaran kau sepanjang zaman?

AIMI ROSLI: Filem ini tak masuk dalam filem kegemaran sepanjang zaman aku sebab penutup dia bukan penutup pilihan aku, tapi the whole premise memang masuk dalam list cerita Melayu yang aku gemari.

If the movie tayang time raya, aku akan ajak semua family tengok sekali sebab scene menyorok bila tetamu datang semua tu feel relatable dengan raya. Hahaha!


***


AIMI ROSLI: Okay, Danial sampai sini sahaja perbincangan kita. Sebagai penutup jemputlah berikan sedikit ucapan. 

DANIAL AZIZ AHMAD: Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih kepada Aimi yang jemput aku buat sesi Sembang Gebang kali ni. Kepada pengikut dan pembaca blog ni, terima kasih juga aku ucapkan. Semoga korang semua selamat daripada Covid-19 dan selamat menjalani kehidupan dengan norma baharu.

Aku sedang menyelenggarakan beberapa projek penerbitan buku berkaitan dengan filem. Harap semuanya berjalan dengan lancar. Nanti aku akan buat hebahan di Facebook Sinefilia Books dan Instagram/Twitter @sinefiliabooks. Jangan lupa untuk like dan follow!

Oh ya, cuti raya Haji nanti kalau tak buat apa-apa, bolehlah korang semua layan filem Keluarga Iskandar The Movie di Astro First. Memang berbaloi.


***
DANIAL AZIZ AHMAD merupakan penggemar filem-filem Melayu hitam putih terutamanya filem-filem arahan Hussain Haniff dan M. Amin. Beliau juga gemar membaca dan menulis artikel tentang sejarah perfileman tanah air. Pernah menulis di portal The Patriots, Repair Gambar Lama dan bergiat aktif dalam Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik sejak tahun 2016. Kini beliau dalam proses untuk menyiapkan penulisan biografi pengarah Hussain Haniff dan manuskrip Filem Melayu Yang Hilang.

***

Sampai berjumpa lagi semua! Also watch this space, cause I got two more exciting episodes of Sembang Gebang coming soon!