BAB 3
(AMY)
Amy berpuas hati dengan hidangan yang dinikmatinya tadi. Mengimbau kembali detik ketika beratur di kaunter McD, mindanya berperang. Set ayam goreng sederhana, salted caramel and chocolate pie sudah berada dalam senarai wajib pesan. Tambahan pula, salted caramel and chocolate pie dijual dalam masa yang terhad. 'Aduh, nak tambah bubur dengan Sundae chocolate ke tak ni? Aku macam lapar gila tapi nanti macam tamak sangat pula. Tambah ke tak, tambah ke tak?'
Akhirnya Amy memilih untuk memesan semua yang diinginkan. Kini, dia tersandar kekenyangan di tepi katilnya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
“Masuklah!” laung Amy.
D memulas tombol pintu. Separuh badannya dimasukkan di celah pintu. Separuh lagi di luar.
“Amy, esok work from home ke ada meeting kat luar?”
“Esok? Hmm,” Amy menjeling jadual kerjanya dicatat pada sebuah papan putih. “Esok ada kat rumah. Haa, ada barang apa pula kau order?”
D tersengih-sengih, “Esok abang Pos Laju datang kau ambil tau!”
“Hmm, yelaaa.”
“Ada dua parcel tau. Thanks!” ujar D sampai menutup pintu perlahan-lahan.
Amy menggelengkan kepala.
D dan pembelian dalam talian berpisah tiada. Lagi-lagi kalau ada jualan murah, D memang tak boleh. Tak boleh tak beli. Sebut apa sahaja nama aplikasi pembelian dalam talian, semuanya ada dalam telefon. Hasil pembelian dapat dilihat melalui jumlah parcel yang perlu Amy terima pada hari bekerja.
Penghasut terbesar D merupakan thread di Twitter yang mencadangkan itu ini.
“Mulan, tengok fruit blender ni. Amazingkan?” D menunjukkan video yang ditemuinya pada Mulan.
“Power. Power.” Mulan acuh tak acuh. Dia sedang sibuk memotong buah jambu batu untuk dibuat snek.
“Bukan dah beli ke fruit blender bulan lepas? Dalam kotak lagikan kat dapur tu?” Amy kehairanan.
D tersengih-sengih.
“Usha je.”
Amy berhenti mengelamun. Dia bingkas mencapai tuala dan meneruskan niatnya untuk mandi sebelum tidur. Malam ini dia mahu tidur dengan aman kerana tidur yang nyaman akan mempengaruhi permulaan hari. Dan hari esok perlu bermula dengan baik!
***
Tidak sempat jam locengnya berbunyi Amy sudah terjaga. Hari ini dia ada misi penting. Amy menggeliat kemudian bangun menuju ke papan putih yang mencatat jadual kerjanya. Walaupun sebenarnya dia sudah hafal semua tarikh akhir kerjanya, tetapi dia tetap akan melihat papan itu setiap pagi supaya matlamat hariannya lebih fokus.
Pagi ini dia akan menyemak semula bahan-bahan untuk pembentangan projek bukunya esok, di sebelah petang pula dia perlu menyelesaikan kerja ghost writernya bagi sebuah buku biografi.
Tahun ketiga bekerja sendiri Amy mula mendapat rentak kerja. Malah dia juga telah menyiapkan satu ruang khas di biliknya. Ruang itu dibuat di bahagian yang bertentangan dengan katilnya. Bahagian kanan bilik adalah tempat berehat, bahagian kiri bilik dijadikan ruang untuk bekerja. Bahagian kerja ini dihadang oleh rak buku yang dipasang khas hingga ke siling.
Imbas kembali tiga tahun lalu, dia hanya membuat kerja di atas meja lipat dan bersila di lantai. Sekiranya dia memerlukan meja dia akan menggunakan meja makan. Namun selepas dua tiga kerja yang diterima, Amy mula mempertimbangkan untuk menyediakan ruang kerjanya sendiri di bilik.
“Aku nak buat ruang kerja dalam bilik aku lah,” Amy berkongsi hasratnya pada Mulan dan D.
“Kau nak buat macamana? Tengoklah Pinterest weh. Situ inspiration best kot,” cadang D. D memang teruja bila melibatkan hal-hal dekorasi.
“Aku tak nak serabut sangat. I still want to maitain my room theme colour which is …”
“Putih,” sambung Mulan.
“Exactly! Aku nak semua putih. Haa, tenang dan lapang mata aku ni memandang.”
D menunjukkan hasil cariannya di Pinterest.
“Menarik! Tapi aduh, malasnya nak cari barang-barang ni semua,” survey adalah aktiviti yang kurang digemari Amy.
“Lazada, Shopeelah,” cadang D seperti yang dapat diduga semua.
“Atau kalau kau nak tengok-tengok kita boleh pergi Ikea,” sampuk Mulan.
“Ah yes! Let’s go to Ikea. Lepas tu, kita boleh makan Meatball,” tambah Amy. Jarang dia melupakan acara makan bila sudah merencana keluar rumah. Kadang-kadang acara makan mengaburi matlamat utama.
Maka, dengan bantuan Mulan dan D ruang kerja di biliknya tersedia rapi seperti yang ada kini.
“Kau betul ke nak freelance je?” soal D.
“Betullah. Setakat ni resume yang aku hantar tak dapat respons pun. Kalau ada offer pun macam tak berbaloilah weh,” Amy memberikan sedikit bayangan mengenai perkara yang mempengaruhi keputusannya.
Berkerut-kerut muka D dan Mulan mendengar kisah syarikat yang Amy bekerja ingin membuat pengecilan operasi dan Amy antara yang tidak dapat diselamatkan.
“Tapi jangan risau. Duit pampasan untuk survive 6 bulan cukup. Aku dah kira,” tambah Amy.
“Aku sokong Amy freelance. Artikel dia meletop apa,” sampuk Mulan.
“Ahh yelah, kau meletop,” balas Amy.
“Kalau ada job yang sesuai, aku akan sub dekat kau,” respons D.
“Okay, thanks. But don’t force it, though. Let me figure it out by myself,” Amy bersyukur kerana dihadirkan kawan-kawan yang sentiasa ada untuk membantu.
Malah tanpa Mulan dan D sedari, tindakan mereka yang membawa Amy sebagai teman ke majlis mereka perlu hadiri juga banyak membantu Amy dalam membina rangkaian kerjanya hari ini.
Melalui D, Amy mendapat pas wayang percuma. Dari situ, dia mula menulis ulasan filem di blognya. D layak untuk tiket tersebut kerana dia berjaya mengusahakan kerjasama antara syarikatnya dan sebuah syarikat pawagam. Setelah tulisan di blog Amy membuahkan hasil, barulah Amy mula menerima jemputan ke tayangan perdana. Kejayaan ini disifatkan agak ajaib kerana dunia blog telah lama sepi kerana sekarang adalah zaman vlog. Amy ketika ditemu ramah oleh sebuah majalah tempatan juga tidak dapat memberikan formula perhatian yang diterimanya untuk dikongsikan bersama.
Mulan sebagai bintang TikTok sesekali perlu menghadiri acara pelancaran jenama terkenal, produk tempatan dan pelbagai majlis sosial yang Amy tidak tahu kewujudannya. Kebanyakan masa di majlis ini, Amy akan berkenalan dengan tetamu yang hadir. Secara halus dia akan memasukkan jarum menyatakan menarik sekiranya mereka mempunyai memoir atau buku petikan kata-kata. Perbualan itu akan diakhiri dengan Amy menghulurkan kadnya atau bertukar Instagram.
Trangggggggg!
Amy tersentak. Ada sesuatu yang terjatuh di hadapan pintu biliknya.
Perlahan-lahan pintu biliknya dibuka. Kelihatan Mulan terbongkok-bongkok di hadapan pintu biliknya.
“Lah kau rupanya,” Amy menghela nafas lega.
Mulan menoleh. Mulutnya sedang menggigit roti empat segi. Tangan kirinya membetulkan beg silangnya sementara tangan kanannya mendapatkan botol air di atas lantai.
“Aku dah lambat ni. Ada project collab special!” Mulan membalas setelah dia berdiri tegak dan menggigit sedikit rotinya tadi.
“Pagi-pagi dah TikTok,” balas Amy.
Mulan tersengih dan menjongketkan bahunya, “Ok, bye!”
Sepantas itu, Mulan hilang dari hadapannya menuju ke pintu utama.
Amy berjalan santai menuju ke treadmill yang terletak di ruang tamu. Memang permintaannya pada Mulan dan D agar treadmill itu diletakkan di kawasan yang sama dengan televisyen supaya dia boleh menonton Selamat Pagi Malaysia atau Malaysia Hari ini sambil berlari. Rutin paginya akan dimulakan dengan bersenam, bersarapan kemudian baru bekerja.
Oleh kerana moodnya baik, Amy memilih mood larian yang agak pantas. Amy teruja dengan sesi pembentangan yang akan dibuat kepada penerbit esok. Dia optimis dengan projek ini malah bahan juga telah disediakan. Pesta Buku dua tahun lalu penerbit tersebut telah menerbitkan himpunan tulisan mengenai filem di blognya ke dalam bentuk buku. Berikutan sambutan yang menggalakkan tahun lalu, El selaku editornya ada bertanya sekiranya Amy mempunyai bahan baru untuk diterbitkan.
Namun Amy menolak kerana sedang fokus untuk melebarkan sayapnya ke dalam bidang terjemahan. Beberapa bengkel dan kursus dihadirinya untuk mengasah kemahiran dan mendapatkan sijil pengiktirafan. Untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya, Amy menerima kerja untuk menterjemah sebuah novel dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.
Ternyata tugasan itu bukan sesuatu yang mudah. Amy mengambil masa agak lama sehingga dia tidak dapat memberikan fokus untuk menulis. Pengalaman menterjemah amat berbeza dengan menulis karya sendiri. Amy agak bergelut.
Tahun ini Amy sudah bersedia dengan idea baru.
***
Amy bingung melihat Whatsapp yang dihantar Mulan.
Amy merenung D, “Eh Mulan kat mana? Bukan dalam bilik ke?”
“Tulah ingat senyap dalam bilik, main TikTok,” seloroh D. Amy ketawa kecil.
Amy menyifatkan Mulan sebagai seorang tidak dapat diduga. Banyak kali dia menyatakan hal ini ketika mereka bertiga berbual, “Mulan, kau orang paling sukar nak dijangka. 99.9% tindakan random. Aku 40% random tapi D lain, haa dia memang rasional.”
D sudah membalas Whatsapp Mulan tetapi hanya bluetick yang diterima.
Satu jam sudah berlalu. Drama di TV sudah habis, sisa kopi di tepi cawan juga sudah mulai kering. Amy berlalu ke dapur membasuh cawannya. Kembali ke ruang tamu, dia membelek telefon pintarnya yang masih tiada notifikasi.
“Mulan ni tak reply lagi ek dari tadi?” Amy menyuarakan isi hatinya kepada D.
D yang sedang asyik membaca thread di Twitter menggelengkan kepala. Tiba-tiba D bangun dari sofa.
“Eh, nak pergi mana?”
“Nak baring dalam bilik pulak,” D menjawab sambil tertawa kecil.
Amy menggelengkan kepala. Lepas baring di ruang tamu, baring di bilik pula.
‘Yang Mulan ni mana? Dari tadi tak reply Whatsapp. Aku call lah,’ Amy mula membuat panggilan.
“Hello, Mulan. Kau kat mana?”
“Aku …”
-----
Bersambung …
Super Heroin: Bab 1 - Siti Amanda
Super Heroin: Bab 2 - Rodiahalim