4/11/20

Super Heroin: Bab 2

“Apa ni Manda?” terjah aku di Whatsapp group kami. Aku sertakan sekali fail Super Heroin.

Dalam group ini ada aku, Manda dan Diah. Selalunya pada waktu pagi hanya aku dan Manda yang akan berbual. Diah akan sertai pada waktu makan tengah hari atau bila sudah tamat waktu bekerja.

“Inilah novel yang aku berkobar-kobar nak buat hari tu,” balas Manda.

Di dalam group ini semua perkara bebas dibicarakan. Tidak perlu kisah akan dibalas atau tidak dibalas, dilayan atau tidak dilayan, teori perasan mahupun segala jenis overthinking. Hantar saja.

“Okay, tapi kenapa 1 bab je? Aku cakap at least 3 kan.” Aku mahu penjelasan lebih lagi.

“Rasa nak muntah pulak, baca tulisan aku sendiri.”

“Aku ada cara macamana teruskan idea kau ni …”

“Macamana?”

Aimi is typing … Aimi is typing … Aimi is typing …

Aku taip padam taip padam mengenai bagaimana cerita ini boleh disiapkan oleh kami bertiga tapi aku risau juga pelawaan itu akan ditolak oleh Diah memandangkan dia pernah menolak pelawaan Sembang Gebang sebelum ini.

Tiba-tiba Diah masuk, "Nak join tulis jugeee.”

Pucuk dicita ulam mendatang. 

Manda balas, “Jom lerrr.” 

Aku padam semua yang aku taip dan balas, “Cantik!” 

“Bincang malam ah. Aku nak buat kerja ni.” tambah Diah lagi. 

-----

Dengan itu terimalah, Super Heroin: Bab 2 oleh Rodiahalim

-----

BAB 2
(D)

Sepanjang perjalanan ke McD, D lebih banyak mendiamkan diri. Seakan ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Mungkin rasa tidak senang dengan keputusan Mulan yang membuang sahaja bangkai itu.  Tiada sifat hormat ditunjukkan kepada arwah. Bercanggah dengan prinsip cintakan haiwan mereka. Tapi apakan daya, D juga tidak tahu di mana dia boleh kebumikan bangkai itu dengan tertib. Atau mungkin D cuma kelaparan.

Amy dan Mulan sedang rancak berbual di hadapan. Perbualan mereka diselangi dengan nyanyian yang disambung dari radio seakan rancangan Carpool Karaoke. Walaupun nyanyian mereka sering tersasar ke laut dalam, kadang terlalu flat, ada masanya terlalu bingit, tetapi yakin diri mereka tinggi. Terlalu tinggi hingga D terfikir, mereka berbakat menyertai rancangan tipu suara di TV3. Pernah beberapa kejadian, hampir saja Mulan melanggar bumper kereta di hadapan akibat terlalu asyik menarik lagu Madah Berhelah dari Ziana Zain. Apabila kejadian seperti tu terjadi, rancangan Carpool Karaoke ditunda buat seketika.

D sudah sedia maklum bahawa Amy dan Mulan adalah peminat rancangan itu. Mereka bahkan menekan butang notification bagi tujuan memaklumkan kepada mereka jika episod baharu sudah dimuat naik. Ada ketikanya, sengaja Amy memasang kamera di hadapan kereta dan melakonkan semula seolah mereka sedang dalam rakaman rancangan tersebut. Seakan radio box, nyanyian itu tidak henti sehinggalah tiba ke destinasi.

‘Donde, donde, donde, ta da da~’ siaran radio memutarkan lagu yang seakan bunyi Sepanyol. D memanjangkan tangannya untuk menukar siaran. 

“Alaaa…” keluh Amy yang sedang asyik menyanyi. Wajahnya sugul tidak dapat menghabiskan lagu itu. Tarian Mulan termati secara tiba-tiba. Amy dan Mulan faham benar, jika D menukar siaran ertinya seakan memberi tanda ‘Dah la guys, penat aku dengar korang nyanyi.’ Jadi mereka membiarkan sahaja. Suasana tenang seketika. 

“Jauh lagi ke nak sampai? Lapar dah ni.” Soal D yang sudah tidak senang duduk di belakang. 

“Lagi dua lagu sampai la ni.” Balas Amy cuba untuk menyambung nyanyiannya.

“Tenang aja guys. Ayam gorengnya pasti akan menjadi milik kalian. Nyanyi dulu yuk!” Mulan cuba berjenaka dalam Bahasa Indonesia. D tersengih. Masa awal berjumpa Mulan, dia fikir bahawa Mulan sebenarnya berasal daripada Indonesia. Kerana perkara pertama yang terlintas di kepalanya saat mendengar nama Mulan itu adalah penyanyi dari Negara Garuda itu, Mulan Jameela. Sungguh tak terbayang bahawa nama Mulan itu terinspirasi dari karakter berketurunan Cina.

Amy mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia seolah-olah menelefon seseorang “Hey man, I know you’re in town but is there any way that you can help me get to work?” 

Mulan menukar semula siaran radio dan menguatkannya volume-nya. “Donde, donde, donde, oh na na~” Rancangan Carpool Karaoke bersiaran semula.

***

Suasana tengah hari tu tenang. Cuaca mendung tapi tak hujan. Cuaca yang sangat seronok untuk berselubung dalam selimut. Kipas di ruang tamu berpusing perlahan. Langsir sliding door ditutup rapat menjadikan ruang tamu itu dalam keadaan yang gelap. TV menayangkan filem dari Korea Selatan yang dibintangi pelakon terkenal Gong Yoo. Handsome. Jika bahasa internetnya; helok. D hanya berbaring di sofa berselubung dengan selimut sambil melayan telefon bimbitnya. Tak diendahkan Gong Yoo yang sedari tadi asyik bersedih. 

Rancak pula bebenang di Twitter ni! Ada satu tweet yang menarik perhatian D. “Marriage is not a life goal” D tekan butang love tanda setuju. “Urghh kahwin, kahwin, kahwin. Bosan aku,” dengus D tanda tidak setuju. 

Sedang dia aysik membaca bebenang di aplikasi itu, Amy keluar dari bilik dan terus membuka langsir seluasnya. “Gelapnya.” Tegas suara Amy. D berkerut. Cahaya yang datang masuk secara tiba-tiba memeningkan kepalanya. 

“Cerita apa ni, kau tak tengok pun.” sambung bebelan Amy sambil menukar siaran TV yang sedang menayangkan kemuncak filem. Amy sememangnya seorang yang tegas. Dan perkara paling pantang buatnya adalah pembaziran. Amy tidak sukakan pembaziran. Setiap perbelanjaan isi rumah dicatat buat rujukan masa hadapan. Mungkin kerana latar belakang Amy yang sering dilantik menjadi bendahari atau ketua kelas ketika di universiti menjadikan dirinya begitu. D membiarkan sahaja. 

Kebiasaannya pada hujung minggu D lebih gemar berehat di rumah dan menonton filem atau membaca buku. D betul-betul mempraktikkan kata-kata ‘rumahku, syurgaku’. Aktiviti luar memenatkan dirinya dan setelah lima hari bekerja sebagai ketua pemasaran di sebuah syarikat konglomerat, dia lebih gemar bersantai pada hujung minggu.

Tinggal bersama Amy dan Mulan pada mulanya bukanlah satu keputusan yang senang untuk dibuat oleh D. Dek kerana sudah terlalu selesa hidup di bawah tanggungan ayahnya. D merasakan yang ini adalah keputusan yang perlu dibuat olehnya. Tiba masanya untuk dia berdikari. Lagi pula, sejak keluarganya berhijrah ke Australia, D menganggap Amy dan Mulanlah keluarganya di sini. 

“Kamu betul yakin tak nak ikut ni, Dsandra?” Soal ayahnya. D mengangguk. Wajahnya kelihatan annoyed dengan soalan yang sama ditanya berulang kali dan dipanggil dengan nama penuh. D cukup benci dengan namanya. Dia merasakan namanya terlalu ‘novel’ untuk seseorang yang berdarah pure Melayu. Kerana itu bila ditanya orang, dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai D. 

D, Amy dan Mulan tinggal bersama hampir 10 tahun. Tiada apa yang tidak diketahui antara mereka. Jika ada salah faham, perkara akan diselesaikan di meja makan. Mereka mengklasifikasikan diri mereka sebagai orang-orang yang realistik. Terbuka membicarakan tentang apa-apa perkara. Meraikan perbezaan pendapat, seakan begitulah hubungan mereka.

“Amy, kau baca tak thread kat Twitter pasal this girl lepas beranak kena postpartum depression?”

“Ada kot. Tak ingatlah. Kenapa?”

“Yang kesiannya dia caught husband dia cheating dengan officemate dia.”

“Ohh… ada baca. Drama jugak kisah dia. Yang tak faham tu husband dia tak rasa apa dia buat tu salah pun!” Jawab Amy berang sambil menghirup secawan kopi sambil mencari-cari saluran TV untuk ditonton. 

“Kan? What a jerk!” D bangun dan menarik selimutnya memberi ruang untuk Amy duduk dengan selesa. Haruman kopi dari cawan Amy bagaikan aromaterapi. Sesekali D menarik nafas dalam-dalam agar aroma itu masuk ke dalam paru-parunya. Berdasarkan carian di Internet, manusia cenderung untuk mencintai bau kopi kerana ia mengaktifkan banyak reseptor bau. Entah betul atau tidak. 

*Pling~ Masuk satu Whatsapp dari Mulan. 

“Eh Mulan kat mana? Bukan dalam bilik ke?” Soal Amy.

“Tulah ingat senyap dalam bilik, main TikTok.” Seloroh D. Amy ketawa kecil. 

Seloroh D tu bukanlah tidak berasas. Mulan gemar melayani aplikasi TikTok semenjak satu daripada videonya yang menjadi viral. Semenjak dari itu, dia cuba lagi menghasilkan video-video berunsur jenaka. Ada yang mengena. Ada yang view-nya sekadar ada saja. 

Pernah sekali, videonya mendapat pujian ramai. Kata-katanya menjadi hashtag di media sosial selama berbulan-bulan. Mulan umpama influencer bagi anak-anak muda. Gayanya yang bersahaja dianggap kelakar oleh para penonton aplikasi itu. 

Dari situ juga, D mengambil langkah opurtunis dengan menjadikan Mulan sebagai duta bagi mempromosikan produk baru dari syarikatnya. Penerimaan orang awam begitu baik lalu menaikkan imej syarikatnya menjadi lebih positif. Graf jualan juga kian meningkat. Lantas D dinaikkan pangkat menjadi General Manager pada usianya 29 tahun. 

“Tak ingat pulak dia balik ke tak malam tadi.” Sambung D. Walaupun tinggal serumah, ada tikanya saat mereka terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga hanya berjumpa pada hujung minggu sahaja. 

Cuma mesej yang diterima mereka kali ini agak mengelirukan. Mulan menghantar gambar seseorang yang tidak dikenali tanpa sebarang pencerahan. Satu potong ayat dihantar lalu dipadamnya dan tidak sempat D atau Amy membacanya. Bila ditanya, Mulan sekadar ‘read’.


-----

Bersambung ...


Super Heroin: Bab 3 - Yours Truly - Akan Datang

No comments: