Now Playing: The List - Maisie Peters
Salam Sembang Gebang!
Tahun 2020 ini Sembang Gebang lambat membuka tirai. Sepanjang hiatus ini banyak yang telah terjadi, aku juga ada berfikir mengenai ingin meneruskan Sembang Gebang atau cipta kandungan yang berbeza pula.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aku terlibat menjayakan projek bernama "Super Heroin" bersama Siti Amanda dan Rodiahalim. Selain itu aku banyak ambil masa menjalani kehidupan santai tak perlu terburu-buru.
Satu hari, Jee Suhaimi muncul di WhatsApp dengan soalan-soalan mengenai percetakan buku. Dia akhirnya menamakan perbualan kami sebagai "Siri Jejak Bijak Buku". Aku sebenarnya tak pasti berapa peratus jawapan aku itu membantu dalam projek yang sedang diusahakan tetapi aku memberanikan diri untuk mencadangkan agar soal jawab Siri Jejak Bijak Buku dibalas dengan sesi Sembang Gebang (sistem barter).
Hasrat aku disambut baik. Aku berikan kebebasan kepada Jee untuk memilih sebarang drama, telemovie atau filem untuk dibincangkan. Jee mencadangkan 16 Puasa. Sesuai dengan mood bulan Ramadan. Tambahan pula, ketika kami berbincang memang pertengahan Ramadan.
Tanpa berlengah lagi, jemput baca!
***
Pusingan 1
SOALAN: PENDAPAT RINGKAS MENGENAI 16 PUASA DAN KARYA MAMAT KHALID.
JEE: Aku mula perasan cerita ni tular sebab ada beberapa page kat FB yang kongsi gambar Sabri Yunus, Aziz M. Osman, Bell Ngasri dan beberapa nama yang aku tak tahu (tapi muka kenal lah) dengan caption “Tahun ni kami janji puasa penuh”. Aku tak faham lagi. Cerita apa ni? Aziz M. Osman bukan selalu jadi pengarah ke? Kenapa berlakon dah sekarang? Haha. Aku biarkan je.
Pastu tagline “Yak Yak Yeah” dan “Geng Plastik Hitam” tular bikin aku rasa ingin tahu ni cerita apa ek? Rupanya ada 3 cerita pasal ni. Ada 15 Puasa, 16 Puasa dan yang terkini 17 Puasa. Tapi orang kata 16 Puasa paling menyengat.
Arahan Mamat Khalid rupanya. Dari Lang Buana, Man Laksa dan cerita Hantu Kak Limah, genre nya lebih kepada parodi. Maka, 16 Puasa ni pun ke arah itu. Cerita-cerita dia ada ala-ala arahan arwah Yasmin Ahmad punya cerita. Kalau shoot mesti lama-lama untuk satu babak. Kalau babak kau baring sambil termenung, boleh ambil masa 5 minit babak dia termenung je. Orang lain mungkin rasa bosan, tapi aku kalau babak camtu, suka tengok dan fikir kenapa babak tu lama. Huhu.
Sindiran Masyarakat dalam Dialog
Lakonan Sabri Yunus (Abe Li) tak payah nak pertikailah. "Pok Ya Cong Codei" ni memang menampilkan lakonan yang selamba untuk setiap lakonan dia. “Kecek kelate” itu mesti walaupun dalam pemerhatian aku, latar belakang dialek cerita ni lebih kepada dialek utara. Lakonan dia yang buat aku tertarik dalam cerita ni pada babak 1:07:02. Babak geng-geng tak puasa ni tengah tunggu makanan tepi sungai. Tugas untuk beli makanan "berbuka" diberikan kepada “Khuda” (nanti aku ulas). Abe Li ada cakap “Kalau setakat roti canai, karipap, telur ke, aku tak buka puasa. Buka (batal) puasa kena ada maruah lah sikit!”
Haa dialog tu buat aku berdekah sikit. Dah lah nak batalkan puasa, tapi makan nak demand kaw kaw. Siap cerita pasal maruah haha.
Watak Khuda dapat perhatian aku. Seorang yang nampak baik, tapi sama jelah tak puasa pun. Berjanggut panjang dan fizikal agak rendah. Babak 34:47 kita dapat tengok dia yang tengah makan siang hari kat tempat tersembunyi sikit. Dengan sorang lagi kawan, lupa aku nama dia. Kat situ ada anjing merayap pastu dia cakap, "Kalau pegang anjing, nanti kena samak. Kalau kena seluar, gunting seluar" sambil mulut mengunyah makanan dan sah sah tak puasa.
Satu lagi, babak 1:07:37, si Khuda ni bawak mee kari utk "buka puasa" ramai-ramai. Geng-geng lain sibuk tanya beli kat mana tapi Khuda macam mengelak. Rupanya dia beli kat kedai Ah Hock yang daging tu guna daging babi. Menyembur masing-masing mee kari tadi.
Untuk tiga babak ni, aku dapat tengok Mamat Khalid tunjuk bentuk sindiran kat masyarakat yang tahu benda tu haram tapi definisinya bergantung kepada kepala otak masing-masing.
AIMI: Aku bukanlah penonton karya Mamat Khalid yang tegar. Namun, Mamat Khalid mempunyai pengaruh tersendiri terhadap kawan-kawan di sekeliling aku yang secara tidak langsung memberikan aku pendedahan terhadap dirinya. Ketika zaman belajar berapa banyak kali aku dengar jenaka dari telemovie Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys dan Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel diulang-ulang oleh kawan-kawan.
Begitu juga dengan filem-filemnya: Man Laksa, Zombi Kg. Pisang dan Kala Malam Bulan Mengambang cukup popular dan menjadi sebutan. Aku sedikit terasing dalam kalangan kawan-kawan sebab dalam 3 filem itu aku hanya pernah menonton Zombi Kg. Pisang. Kebanyakan masa aku akan cakap filem Mamat Khalid kegemaran aku adalah Lang Buana. Benda ini memang betul sebab walaupun banyak kali tayang di TV3, setiap kali tayang aku masih suka menonton.
Baru-baru ini beberapa video ulasan di Youtube yang bercakap mengenai Rock 4: Rockers Never Dai dan Manap Karaoke mengatakan bahawa Mamat Khalid sudah kehilangan sentuhan magisnya. Video ulasan itu juga ada menyebut 16 Puasa antara karya yang menyerlah. Aku tidak dapat bersetuju mahupun menafikan mengenai sentuhan magis itu kerana aku tidak menonton kesemua karya Mamat Khalid tetapi aku boleh menulis mengenai pengalaman aku menonton 16 Puasa ini.
Ringkasnya setiap kali bulan Ramadan pasti ada yang bertanya pada aku, "Eh kau tengok tak 16 Puasa?"
Aku akan geleng.
Tahun ini akhirnya telah tonton. Selepas ini jika ada yang bertanya bolehlah aku mengangguk.
Secara personalnya, 16 Puasa bukanlah jenis telemovie pilihan aku. Walaupun begitu, tetap ada perkara yang boleh aku senaraikan sebagai perkara yang aku sukai.
Secara personalnya, 16 Puasa bukanlah jenis telemovie pilihan aku. Walaupun begitu, tetap ada perkara yang boleh aku senaraikan sebagai perkara yang aku sukai.
16 Puasa menurut aku adalah telemovie komedi ringan yang dicipta dengan 2 ciri utama Mamat Khalid: social critic and memorable trait to each character disertai dengan latar muzik yang menyeronokkan. Tak semua lagu yang digunakan familiar untuk aku, tapi aku amat menikmati perjalanan muzik cerita ini. Malah Mamat Khalid siap membawakan Ayawan untuk bermain seruling dalam satu babak (sebelum ini, aku beberapa kali menonton Ayawan di Avenue K).
Watak kegemaran aku adalah Tok Imam. Mungkin sebab ringtone dia merupakan lagu kegemaran aku - Uptown Girl nyanyian Westlife.
Antara babak Tok Imam yang mencuit hati aku adalah ketika dia dipapah untuk lari dari penjual air berparang.
Aspek yang aku rasakan menarik pada telemovie ini adalah watak-watak "nakal" ini bukanlah anak muda kampung (selalu drama ada remaja nakal lepak di tembok, kacau orang). 16 Puasa diterajui oleh mereka sudah taraf pak cik-pak cik dan bapa orang.
Perkara ini juga berkait dengan dunia sebenar, pekan kecil tidak ramai anak muda yang tinggal. Kebanyakannya berhijrah demi pekerjaan. Dalam telemovie ini ahli masyarakat kampung ditonjolkan pada babak barisan jemaah di surau ketika terawikh yang rata-ratanya: pak cik.
"Anak-anak muda kita banyak yang dah berpuasa, yang tak berpuasa ni orang-orang tua pulak." - Tok Imam
***
Pusingan 2: Aimi ➡ Jee
AIMI: Adakah setelah menonton telemovie ini kau memahami sebab telemovie ini menjadi tular?
JEE: Bila dah tengok cerita ni, aku faham kenapa dia tular. Pertama, sebab dia kena dengan situasi semasa iaitu bulan puasa. Aku faham, setiap kali Ramadan memang akan banyak cerita pasal puasa, tapi aku rasa 16 Puasa ni dekat dengan masyarakat. Isu pasal tak puasa, geng plastik hitam memang banyak je ulang tayang kat TV. Tapi cerita ni yang lagi dekat dan melekat dalam fikiran penonton dari aspek satira dan jalan cerita yang bersahaja.
Kedua pilihan pelakon yang mantap walaupun tak sepopular pelakon berwajah tampan. Sebab cerita ni kalau letak Syafiq Kyle ke Fattah Amin ke, tak ke haru cerita ni? Seakan tak kena. Watak-watak yang sedia ada memang dipilih kena dengan perwatakan yang Mamat Khalid inginkan.
AIMI: Ada tak watak yang membuat kau tertanya keperluan kewujudan wataknya?
JEE: Watak isteri lakonan Bell Ngasri yang ada sideburn. Dan aku tertanya kenapa Bell Ngasri kata dia sendiri yang suka perempuan yang ada sideburn. Haha. Cuma hemat aku, watak isteri dia tu wujud nak tunjukkan budaya suami yang terlalu takutkan isteri sedangkan isteri yang perlu taat pada suami. Alamak, nanti feminis kecam aku. Sekian.
AIMI: Adakah jika ditayangkan pawagam, cerita ini akan mendapat perhatian/populariti seperti ditayangkan di TV (Astro)?
JEE: Aku rasa ya. Macam filem Hantu Kak Limah tu, dia tular bukan sebab promosi dia yang gempak. Lebih kepada hasil "buah mulut" netizen SELEPAS menonton cerita itu. Sama kesnya dengan 16 Puasa. Tular pada awalnya bukan sebab orang "cakap-cakap" pasal cerita tu, tapi SELEPAS ditayangkan pada khalayak. Boleh pergi jauh cerita ni sebab dekat dengan situasi masyarakat Malaysia.
***
Pusingan 3: Jee ➡ Aimi
JEE: Muzik latar yang terdapat dalam cerita 16 Puasa ni memang bukan genre muzik-muzik zaman kita. Tapi bila tertayangnya cerita ni, lagu-lagu ni mendapat perhatian walaupun kita tak faham pun maksudnya. Pendapat kau, lagu-lagu yang tak dikenali ni, macamana boleh diterima tiba-tiba disebabkan cerita tu popular?
AIMI: Kaedah pengulangan digunakan dengan baik. Lagu yang sama diulang beberapa kali dalam telemovie ini menjadikan irama tersebut melekat pada otak penonton selepas menamatkan tontonan. Kelebihan menggunakan lagu yang tidak biasa digunakan di dalam drama atau filem lain adalah apabila lagu itu boleh menjadi trademark kepada karya tersebut walaupun ianya bukanlah OST khas yang dicipta untuk cerita tersebut. Contohnya sekarang bila kita dengar Ievan Polkka otak kita akan segera memainkan imej dari 16 Puasa.
Ini memberikan pengalaman berbeza berbanding bila kita menonton drama yang menggunakan lagu Afgan - PadaMu Ku Bersujud (salah satu contoh) sebagai muzik latar drama kerana tak terkira drama-drama lain menggunakan lagu yang sama.
JEE: Filem satira Malaysia seakan arahan Mamat Khalid ni boleh diketengahkan sampai jadi pemenang anugerah berprestij ke?
AIMI: Setiap filem yang digarap dengan baik berpeluang untuk diangkat dalam mana-mana anugerah yang berprestij. Penganugerahan tidak hanya tertumpu kepada genre filem sahaja. Mamat Khalid pernah memenangi Pengarah Filem Terbaik melalui Kala Malam Bulan Mengambang (yang juga memenangi Filem Terbaik) pada FFM 21. Pada FFM 27, filem Mamat Khalid berjudul Amir & Loqman Pergi Ke Laut turut tercalon untuk kategori Filem Terbaik namun tewas kepada filem satira berjudul Lelaki Harapan Dunia karya Liew Seng Tat.
JEE: Difahamkan filem/drama/cerekarama berfungsi mendedahkan sisi sebenar sesebuah masyarakat. Kiranya watak Tok Imam 16 Puasa ni memang tipikal Tok Imam kat Malaysia ke? Hee.
AIMI: Aku tak kenal ramai Tok Imam untuk mengatakan Tok Imam yang ditonjolkan tipikal atau tidak di Malaysia. Hahaha!
Salah satu babak yang aku rasa menjadi cermin masyarakat adalah ketika Abe Li (Sabri Yunus) ingin bertemu Yeh (Rab Khalid), dalam babak itu penonton diperdengarkan perbualan isteri Yeh dengan maknya yang bercakap dengan kehidupan orang itu sudah senang, orang ini sudah senang. Perbualan jenis "the grass is always greener on the other side" ni memang susah nak dielakkan dalam kehidupan kita. Cara berbual mungkin berbeza tapi "genre" perbualan tu sama.
***
Lepas ni, Sembang Gebang Reunion Raya pulak. Amacam?
No comments:
Post a Comment