11/2/19

Sembang Gebang: Pengulas Filem = Penyelamat Duit Masyarakat? (BAHAGIAN 1)

Salam Sembang Gebang!

Klisenya pembukaan setiap episod aku akan tulis "istimewa episod kali ini ..." tetapi kali ini benar-benar berbeza kerana Sembang Gebang tidak akan bersembang mengenai mana-mana filem yang sedang ditayangkan. Untuk episod ini, kita akan fokuskan kepada "pengulas filem".

Idea untuk episod ini aku dapat ketika sedang menonton sebuah video ulasan filem di Youtube, video ini aku tonton secara rawak setelah menonton beberapa trailer dan temu bual berkenaan filem. Bila aku skrol ruangan komen video tu aku terperasan komen-komen berbunyi seperti "terima kasih weh review kau, selamat duit ktorang", "fuh nasib baik tak tengok kat wayang", "aku dah agak tak best nasib tengok review kau dulu". 

Aku macam, 'Fulamak, begini sekali ke impak ulasan filem sekarang?'. 

Ada banyak lagilah yang fikir pasal komen-komen tu dan dunia ulasan filem. Yang akhirnya telah membawa kepada aku ingin mengetengahkan topik "penyelamat duit" ni. Walau bagaimanapun, topik ni macam tak sedap sembang berdua je. Maka, aku befikir untuk ajak lebih ramai orang, hmm mungkin aku patut temu bual 20 orang. 

Tinggi semacam pula cita-cita tu. 

Setelah aku buat reality check (haha!) dan memberanikan diri menghantar DM, aku dapat respons positif dari 10 orang yang bersetuju untuk menjayakan topik ini. 

Inilah yang dikatakan aim for the stars, if you fail, you'll land on the moon. 

Ketika proses suntingan, aku rasa membahagikan temu bual ini kepada 2 bahagian adalah pilihan yang terbaik supaya kita tak tenggelam dalam terlalu banyak perkataan dan pemikiran yang akhirnya menjadikan kita terlupa apa yang kita sedang baca sebenarnya. Oleh itu, setiap bahagian akan menampilkan 5 tetamu. 


***

Tanpa berlengah lagi, kita mulakan Bahagian 1 ini dengan pengenalan diri oleh tetamu jemputan:

MARWAN ZAHARUDIN ialah seorang yang kukuh memegang citra anak muda, menghargai budaya pop, alternatif dan seni sebagai landasan utama sesuatu tamadun.  
MUHAMAD EZHAM merupakan seorang penonton filem yang bercita-cita mahu menjadi pembikin filem. Menetap di Langkawi dan bekerja di sebuah syarikat pengiklanan digital sebagai video editor. 
FARHAN RAMLI ialah seorang penonton yang adakalanya menonton untuk suka-suka dan adakalanya menonton untuk serius. Bergantung kepada filem apa yang ditonton. 
IKI.ALI ialah seorang jejaka yang mengidolakan Thor Boroi. Beliau pembikin sari kata untuk iFlix dan seorang pengulas/pembekal info filem untuk Movie Addict Malaysia
SITI AMANDA ialah penggemar halia, bawang putih dan sos tiram.

***


SOALAN 1: Menurut anda, apakah peranan seorang pengulas filem?

MARWAN ZAHARUDIN: Memberitahu dan menjelaskan keseluruhan filem. Paling utama daripada aspek cerita, persembahan para pemain, teknikal dan bahasa filem - Kandungan filem yang memerlukan ilmu filem untuk memahami sesuatu subjek atau penceritaan. 

MUHAMAD EZHAM: Peranan seorang pengulas filem sudah tentulah mengulas filem. Tidak kira bagus atau tidak sesebuah filem tu, pengulas haruslah menggunakan pertimbangan yang baik dan tidak terlalu personal. Yang paling penting, sebelum mengulas tontonlah dulu. Anyway, kritikan dan ulasan dua perkara yang berbeza ya. Jadi, kalau setakat mengulas, jangan claim diri pengkritik.

FARHAN RAMLI: Pengulas filem ada dua jenis. Pertama, jenis tonton filem kemudian terus capai laptop menulis ulasan atau capai kamera buat video ulasan. Kedua, jenis yang lebih teliti. Masa menonton ambil nota. Balik buat kajian menyeluruh dua tiga hari kemudian baru ulas. Kedua-dua jenis ini berilmu tapi tahap ketinggian ilmu itu bergantung. Ada banyak ada sikit. Faham banyak, faham sikit. Aku rasa peranan diorang paling utama adalah memperkenalkan atau memberitahu kepada orang ramai mengenai sesebuah filem. Kemudian yang membezakan adalah cara mereka memberi penjelasan mengenai filem tersebut.

IKI ALI: Pengulas filem ni kerja diorang ialah menolong pertimbangan penonton nak tengok satu-satu filem tu dengan beri penjelasan kukuh dan jelas kenapa sekian-sekian filem ni dapat markah kurang memuaskan atau sebaliknya. Bagi akulah.

SITI AMANDA: Peranan seorang pengulas filem hendaklah memberikan ulasan filem yang baik tanpa berat sebelah. Jika baik kata baik jika buruk kata buruk. Pengulas atau pengkritik sama sahaja. Tanggungjawabnya adalah untuk menjelaskan beberapa metafora yg terdapat di dalam filem tersebut. Hal ini kerana, kebanyakan pengarah tidak menjelaskan erti filem mereka supaya ia bebas menakluki apa jua bentuk pemahaman penonton. 


SOALAN 2: Adakah anda bersetuju/tidak dengan pernyataan "pengulas filem penyelamat duit masyarakat" dan kenapa?

MARWAN ZAHARUDIN: Tidak. Jika pengulas filem penyelamat duit masyarakat maka "Munafik 2" tidak akan duduk di carta nombor 1 kutipan filem paling tinggi di Malaysia.

MUHAMAD EZHAM: Payah juga aku nak bersetuju. Sebabnya, kerja menyelamatkan duit masyarakat ni kerja berat. Mungkin juga aku silap dan sebenarnya pengulas filem dah menyelamatkan berjuta RM masyarakat Malaysia.

FARHAN RAMLI: Kalau saya pakai kasut penonton saya akan bersetuju. Tapi kalau saya pakai kasut pembikin saya tidak bersetuju. Tapi untuk bertindak neutral saya akan pakai selipar dan berpendapat zaman sekarang pengulas adalah penghubung antara penonton kepada filem. Walaupun pemasaran dan promosi filem adalah yang paling penting untuk menarik penonton ke pawagam tapi kita tak dapat nafikan peranan pengulas dalam mengajak penonton juga. Tapi sebagai pengulas filem yang berkredibiliti, sepatutnya harus membiarkan penonton membuat keputusan sendiri sama ada mahu pergi menonton atau tidak. Kata-kata seperti "jangan pergi tengok, filem ini sampah" perlu dielakkan. Penonton pula janganlah buat penilaian semata-mata mengikut bulat-bulat kata pengulas. Ada yang berkata filem sekian sekian tak best, sampah tak payah tengok. Tapi bila ditanya dah tengok ke belum mereka jawab tak tengok tapi pengulas sekian sekian cakap camtu. Tak tengok tapi hasut orang lain jangan tengok pula. Rasai pengalaman menonton sendiri, kalau bukan di pawagam pun, tengok kat rumah dulu. Lepas tu nak hasut terpulanglah.

IKI ALI: Pernyataan ni bagi aku agak kurang asam. Tapi pada masa yang sama juga realiti yang sangat pahit untuk ditelan.

In a way, aku setuju. Sebagai penonton kasual/pencandu filem, menonton filem di pawagam mahupun melanggan servis penstriman tier premium secara bulanan ni bukanlah murah. Jadi mereka yang jenis ni ada hak untuk memilih nak tengok filem apa berdasarkan ulasan yang dibaca. Tapi kalau jenis yang tengok pirate tu nak berterima kasih kat pengulas sebab tolong jimatkan duit diorang tu... elok jangan membiaklah. Buat aku rasa bersalah je buat ulasan, tau.

SITI AMANDA: Saya tidak setuju. Manusia memang gemar meletakkan sesuatu beban ke atas orang lain misalnya, wang tiket. Setelah ulasan dibaca, ia adalah kehendak anda sendiri yang mendorong anda membeli tiket tersebut. Jika seseorang itu menganggap wang tiketnya terselamat setelah membaca/menonton beberapa ulasan maka anda tidak ada pendirian. Setakat mengikut orang. Trend. Menontonlah kerana keinginan sendiri dan bukan atas pengaruh orang lain.


SOALAN 3: Kongsikan laman web atau individu yang anda jadikan rujukan dalam membuat keputusan menonton sesebuah filem. Jika tiada, boleh kongsikan sebab anda yang tersendiri.

MARWAN ZAHARUDIN: Orang filem dan bekas editor di The Daily Seni, Al Jafree Md Yusop. Segmen At The Movies di Radio BFM. Kadangkala post dan thread random di Facebook dan Twitter.

MUHAMAD EZHAM: Tak ada spesifik web atau individu. Biasanya, ulasan ni kalau aku baca pun suggestion dari Facebook dan kalau aku tonton pun sebab suggestion dari Youtube. Lagi satu kalau aku rasa nak tonton filem tu, aku pergi je tak payah nak merujuk sesiapa.

FARHAN RAMLI: Saya tak ada laman web atau individu (chuckles) yang spesifik. Tapi apa saja posting yang melintas lalu di garis masa Facebook atau cadangan video di Youtube yang memperkenalkan atau memberitahu mengenai sesebuah filem yang membuatkan saya tertarik untuk menonton saya akan pergi menonton.

IKI ALI: Maaf kata, tapi susah nak jumpa pengulas yang ada kredibiliti (sorry, ulasan berbentuk makian atas lesen kejujuran tu bukan kredibiliti, ye) selain mungkin Amir Hafizi atau Fadli Al-Akiti (tapi diorang ni pun aku baca sekali dua je; tak ikut sangat).

Sejujurnya, aku tak ada rujukan sangat, tapi aku suka tonton ulasan oleh Chris Stuckmann, seorang pengkritik filem YouTube dari Amerika Syarikat. Korang tengoklah. Best!

SITI AMANDA: Sebelum menonton, saya mewajibkan diri sendiri untuk tidak membaca mana-mana ulasan atau trailer atau sinopsis. Hanya akan menonton/membaca kesemuanya setelah menonton filem tersebut. Antara blog yang saya suka adalah kakimuvee.net, amirhafizi.blogspot.com dan FB Hassan Muthalib


SOALAN 4: Apa nilai yang anda cari dalam sesebuah ulasan filem?

MARWAN ZAHARUDIN: Pendapat pengulas tentang keseluruhan cerita, bagaimana pengarah atau penulis bermain dengan struktur penceritaan, persembahan para pelakon dan rating (bonus, kalau takde pun takpe).

MUHAMAD EZHAM: Macam filem, ulasan pun boleh jadi hiburan. Mungkin hiburan kalau boleh jadi nilai, menghiburkanlah kot.

FARHAN RAMLI: Ada orang yang mencari ulasan filem sebenarnya sebab dia tak berapa faham bahagian-bahagian tertentu di dalam filem tersebut dan memerlukan penjelasan yang lebih melalui bantuan pengulas.

Ada orang cari pengulas sebab dia nak tahu, berbaloi ke tak nak bayar tiket untuk ke pawagam. 

Saya mencari ulasan filem yang lebih intelektual. Ulasan yang lebih terbuka dan meluas, bukannya memuja atau membenci semata-mata. Tapi saya tak nafikan kekadang saya termasuk dalam golongan yang disebut di atas.

IKI ALI: Dalam ulasan filem, yang penting bagi aku ialah merit filem tu kena sebut; apa yang baik dan apa yang buruk. Tak boleh berat sebelah je. Sebab ada orang cari benda lain dalam sesuatu filem tu. Benda ni subjektif, tapi baik dan buruk sesebuah filem tu kena sebut. Kalau tak, orang main redah je tak tahu apa yang bakal menanti. Tu yang keluar maki-hamunlah, main terjah masuk filem yang klasifikasi tak sesuailah apalah.

SITI AMANDA: Nilai manusiawi. Kemanusiaan yang dilakonkan oleh manusia. Adakah rasionalisme yang dicerminkan mampu berhubung dengan tindakan refleks penonton. Ibarat melihat keajaiban akal.


***

Amacam? Nak jawapan dari aku juga ke?

Jumpa di BAHAGIAN 2 bersama 5 lagi tetamu! Siapa? Jeng jeng jeng!

No comments: