Now Playing: Pulang - Insomniacks
Salam Sembang Gebang!
Ikutkan thumbnail pada iFlix, memang aku ingat A Taxi Driver ini kisah harian 4 pemandu teksi. Situasi berubah bila aku tengok trailer. Kemudian, sinopsis aku baca sepintas.
Terus aku buat keputusan untuk tengok. Masa itu juga, aku dah tau siapa aku nak jemput untuk Sembang Gebang.
Terimalah, satu lagi episod bersama Farhan Ramli a.k.a Paan!
***
A Taxi Driver (2017) mengisahkan mengenai Man-Seob, seorang pemandu teksi yang tersepit dengan hutang sewa rumah yang tinggi. Terdengarkan ganjaran yang lumayan, dia bertindak untuk "mencuri pelanggan" dari syarikat teksi. Tanpa disedarinya pelanggan tersebut ialah Jürgen "Peter" Hinzpeter, seorang wartawan Jerman yang berniat melaporkan kemelut yang berlangsung di Gwangju. Satu malam mereka di Gwangju, merubah segalanya.
***
Sesi 1: Aimi ➡ Paan
AIMI: Bila dinyatakan "Berdasarkan Kisah Benar", apa aspek yang kau lihat dalam menilai filem tersebut?
PAAN: Pertama sekali aku akan lihat berapa besar kisah benar yang dinyatakan itu mempengaruhi filem tersebut. Ianya tidak perlu 100% tepat tapi perlu memberi kesan secukupnya kepada penceritaan. Aku cukup kecewa dengan sebuah filem tempatan baru-baru ini yang beriya-iya menggembar-gemburkan kisah benar yang nak diangkat dalam filem itu sehinggakan semasa promosi di tv yang kebiasaan mereka paparkan 30 minit pertama filem tetapi kali ini melakukan kelainan dengan menunjukkan hanya 10 minit terawal filem dan selebihnya dokumentari mengenai peristiwa sebenar itu. Tetapi bila menonton filemnya, peristiwa sebenar itu cumalah sekadar 1-3% daripada keseluruhan cerita. Patutlah dia tak tunjuk penuh 30 minit terawal filem.
Kedua aku akan lihat bagaimana peristiwa sebenar (kisah benar) itu dilayarkan bagi memenuhi ruang penceritaan. Sama ada diisi dengan baik ataupun tidak.
AIMI: Adakah dengan hanya menonton filem ini penonton dapat memahami sejarah Gwangju Uprising?
PAAN: Apabila menonton filem ini penonton akan mendapat tahu mengenai Gwangju Uprising tetapi untuk memahami sejarahnya dan kesan terhadap negara Korea Selatan mereka perlu bekerja keras sedikit untuk melakukan kajian lebih lanjut. Seperti apa yang aku alami. Terus terang sebelum menonton filem ini, aku tak pernah tahu pun mengenai Gwangju Uprising ini dan betapa besarnya impak peristiwa itu kepada negara Korea Selatan sekarang.
AIMI: Jika berdasarkan poster filem sahaja, dapat tak kau agak kisah yang dipaparkan dalam A Taxi Driver ini?
PAAN: Tidak. Apabila melihat poster filem aku ingatkan cerita komedi.
AIMI: Apa impak filem ini kepada kau?
PAAN: A Taxi Driver merupakan antara salah satu pengalaman terbaik aku menonton filem. Aku menonton filem ini tanpa mengambil tahu apa isi kandungannya. Aku sekadar tahu filem ini menang anugerah filem terbaik Korea Selatan tahun 2017. Beberapa kali juga aku batalkan hasrat nak menonton kerana menyangkakan filem ini tak best. Aku pernah jumpa sebuah filem Iran bertajuk Taxi di mana pengarahnya jadi pemandu teksi dan kamera dibiarkan terpasang sepanjang dia mengambil dan menurunkan penumpang. Aku tak suka. Jadi, aku takut filem A Taxi Driver ini akan jadi seperti filem Iran tersebut.
Ternyata sangkaan aku meleset. Dua perkara yang aku suka mengenai filem ialah Drama dan Sejarah. Bayangkanlah dua benda yang aku suka ini ada dalam filem A Taxi Driver ini tanpa aku mengetahui. Perasaan bila kau dikejutkan dengan betapa bagusnya filem ini tanpa mengetahui sehinggakan aku menangis kerana terlalu sukakan filem ini HAHA. Meremang weh aku tengok filem ini. Selepas menonton filem ini membuatkan aku berminat (taasub) untuk lebih mengambil tahu dan memahami sejarah Gwangju Uprising dan apa yang berlaku sepanjang era 80-an di Korea Selatan.
Filem ini juga membawa aku kepada filem-filem Korea Selatan lain yang juga mengangkat kisah kebangkitan rakyat Korea Selatan terutama Mahasiswa ketika era itu. Aku syorkan filem 1987: When the Day Comes kalau anda nak tonton lagi filem mengangkat kisah benar yang sama. Filem ini juga buatkan aku nak sangat ada filem Malaysia yang mengangkat kisah perjuangan Mahasiswa ITM untuk menuntut ITM dijadikan sebuah Universiti dan watak utamanya adalah Ibrahim Ali.
AIMI: Mengapa filem ini perlu ditonton?
PAAN: Kalau anda mencari filem Korea Selatan yang bagus, A Taxi Driver adalah salah satunya. Filem ini digarap dengan cukup baik. Tak terlalu berat dan tak terlalu ringan. Anda akan merasai pengalaman emosi yang pelbagai semasa menonton. Sebuah filem yang lengkap.
Sesi 2: Paan ➡ Aimi
PAAN: Apa yang buat kau teruskan menonton filem ini hingga habis walaupun tak familiar dengan cerita ini?
AIMI: Satu; mood cerita. Cerita dimulakan dengan amat ceria. Hari yang terang, lagu latar pun bukan main rancak. Aku suka persembahan mood filem ni.
Dua; masa Peter dapat surat khabar Gwangju. Satu halaman semua sudah ditapis. Menunjukkan sesuatu yang amat tak kena. Jadi, aku perlu melalui kembara ini sehingga tamat bersama Peter dan Man-Seob. Aku nak tahu macamana pemandu teksi memainkan peranan dalam kisah ni.
PAAN: Filem ini mendatangkan minat kau terhadap sejarah era 80-an Korea Selatan tak?
AIMI: Ya sebab cerita ini bagi visual kejadian Gwangju Uprising tetapi bukan kepada permulaan semua protes ini. Masa Peter bersembang dengan contact Korea dia pun, sebut nama Kim Dae Jung, Kim Jae-gyu bukanlah aku terus kenal dorang ni.
Nak pula masa awal filem, tak ada ayat-ayat bagi klu sikit mengenai Gwangju Uprising ni. Aku sepanjang filem berfikir, "macamana Gwangju ni boleh jadi macam ni?", "kenapa Gwangju?"
Masa Peter tanya pemandu teksi pasal banner yang tergantung tu pula dia cuma jawab, "Hope! Hope! 80 ... ahhh you don't understand!".
Jadi perlulah aku menggunakan khidmat Google untuk menjawab semua persoalan ini sebab pengetahuan aku mengenai sejarah Korea amatlah terhad.
PAAN: Kau rasa filem ini layak tak untuk memenangi filem terbaik Korea Selatan? Kalau ya, kenapa eh?
AIMI: Memandangkan aku tak tahu anugerah mana satu yang kau sebutkan ini, sekali lagi aku menggunakan Google. Aku jumpa ada 34 acara anugerah dekat Korea. Haha, aku pun tak tahu mana nak mula. Jadi, aku tukar cara mencari. Benda ni bukan apa sebab aku nak tengok siapa pesaing-pesaing A Taxi Driver ni.
Dari pencarian aku, A Taxi Driver 4 kali memang Best Film iaitu di 54th Grand Bell Awards, 26th Buil Film Awards, 38th Blue Dragon Film Awards dan 25th Korea Culture & Entertainment Awards. Tak ada maklumat terperinci mengenai 25th Korea Culture & Entertainment Awards tapi untuk 3 anugerah lagi pesaing terdekat A Taxi Driver adalah Anarchist from Colony.
Lepas aku tengok trailer pesaing-pesaing A Taxi Driver ini, aku yakin dengan filem ini menang kerana simplicity yang diberikan kepada jalan cerita walaupun sebenarnya membawakan kejadian sejarah yang sangat besar. Dalam simple tu masih membentangkan emosi yang pelbagai untuk dirasai penonton.
PAAN: Aku rasa filem ini sangat besar walaupun latarnya cuma berlangsung 2 hari sahaja. Kau rasa kenapa?
AIMI: Kau yang rasa filem ini sangat besar, kenapa aku yang kena jawab? Hahaha!
Aku harap pembaca tak tergamam.
K, serius. Sebab masa singkatlah benda tu nampak besar. Kita nampak kejadian tu terlalu impactful sebab setiap watak pun terkesan dengan apa yang terjadi. Lagi-lagi dua watak utama.
Sekelip mata kau yang cuma nak buat benda untuk keperluan diri kau kena fikir pasal kesetiaan kepada negara, sifat kemanusiaan, amanah.
PAAN: Kau nak tak mengajak kawan-kawan menonton filem ini? Bagaimana cara kau nak menyakinkan mereka untuk menonton filem ini?
AIMI: Aku akan cadangkan kepada kawan-kawan yang minat filem perjuangan, sejarah dan drama. Yang suka filem macam Gie.
Bukan kawan tapi aku rasa pemandu teksi dan Grab pun kena tengok ni.
Cara? Review kat Sembang Gebang atau post link trailer kat Whatsapp dengan pesanan, "Weh tengoklah cerita ni!" ... Haha!
***
AIMI: Paan, jenis filem yang bagaimana kau harap dapat dibikin oleh pengkarya tempatan dalam tahun 2019 ini? Di kesempatan ini juga, bagilah ucapan tahun baharu untuk semua pembaca Sembang Gebang.
PAAN: Aku mengharapkan tahun 2019 ini filem-filem tempatan yang akan dihasilkan, lebih jujur dan ikhlas dalam penceritaan dan tidak terlalu keras mencuba (poyo). HAHA.
Kesempatan ini aku nak ucapkan Selamat Tahun Baharu buat semua pembaca Sembang Gebang dan semoga tahun ini baik-baik sahaja untuk anda. Tak payahlah fikir sangat pasal azam tahun baru tu, buat stress je. Haha.
***
The more you learn the less you know.
No comments:
Post a Comment