10/21/19

Ehh Emel! #7: Subject: Filem “GERAN” & Band “THE RAIN”


Date: Oct 15, 2019, 8:31 AM
Subject: Gerangan
To: Aimi Rosli

Geran (2019) arahan Areel Abu Bakar dan penulis skripnya Hafiz Derani merupakan pejuang seni bela diri - Silat. Bagaimana aku tahu? Aku stalk FB diorang. Tanpa ragu, aku meneka ilham untuk menghasilkan filem yang mengangkat tema silat sudah ada dalam darah pahlawan yang mengalir dalam tubuh kedua-dua sutradara ini.

Hafiz Derani dilihat sebagai penulis senior yang banyak menulis telemovie sekitar tahun 2012 hingga kini. Areel Abu Bakar aku kurang pasti apa karyanya. Yang aku pasti MTV OST Geran: Menyemai Kemungkinan persembahan Salammusik adalah arahan beliau. Aku tak jumpa hasil kerja beliau di carian Google. Aku nak juga tahu mana dia cekau RM700K (menurut temu bual di MalaysiaKini) untuk filem ni.

"Bukan saya tak cari bantuan kewangan untuk filem ni, cuma orang tidak mahu cerita tentang silat" - juga temu bual di MalaysiaKini

Tak apa, untuk yang seterusnya diharap dapatlah bantuan dari SyaFinas.

Walaupun hasil filem Geran ini secara keseluruhan teknikalnya agak kurang memuaskan. Ia ditutup dengan keihklasan lontaran idea dan keluhuran jalan ceritanya.

Aku paling suka adegan minum kopi dan makan biskut. Tak pernah gagal berkumpul 3 orang ni. Pak Nayan, Ali dan Fatimah. Mat Arip hanya makan sekali untuk makan ubi kayu rebus dan kelapa, santai makan sama. Tidak ada aksi pergaduhan di meja makan. Menghormati rezeki.

Apa yang aku rasa selepas menonton adalah...

Aku rasa seronok lepas tengok Geran. Color dia cantik, old school. Aku puas hati. 

Tajuk dia Geran. Tapi filem ni tak dapat geran. Dia gerak dengan dana sendiri. 

Dengan rendah diri kata ini karya kerdil. Pepatah inggeris kata down to earth. Juga berkait dengan tanah. 

Babak awal main bola tak pakai kasut, kaki berpijak di tanah. Babak akhir Ali bersilat, berkaki ayam memijak tanah. Sucinya tanah ini ibarat asal usul manusia. Sertu dengan tanah. Pengakhiran juga dengan tanah. 

Suntingan babak jenis cut to yang buat aku hanyut dalam kebatilan akibat perebutan Geran. Suntingan ini juga yang membezakan sesebuah filem itu dibikin untuk tv atau layar lebar. 

Seronok gila Geran ni aku tak kisah langsung siapa nama-nama di sebalik tabirnya. Aku dapat rasa semangat brotherhood dalam filem ni. Semangat berkumpulan. 

Terima kasih dan syabas aku ucapkan kepada seluruh produksi filem Geran.

---


From: Aimi Rosli 
Date: Oct 21, 2019, 11:15 PM
Subject: #TheRainKeepers

Akhir-akhir ini hujan turun dengan lebat di Kuala Lumpur pada waktu petang. Aku tak dapat menghalang diri dari mengaitkan dengan visual anime Weathering With You. Malah ketika melihat air yang menuruni tingkap LRT/kereta lagu Is There Still Anything That Love Can Do? dendangan RADWIMPS untuk filem tersebut akan automatik bermain di minda aku.

Bercakap mengenai hujan lagi, aku ingin memperkenalkan band dari Yogyakarta bernama The Rain.

Perkenalan ini berlaku tanpa dirancang. 

Selepas menonton Korek Fizikal bersama Fourtwnty, aku jadi ingin dengar lagu-lagu Fourtwnty. Sehari sebelum episod Korek Fizikal ini dikeluarkan aku ada nampak IG Astro Gempak pos klip-klip dari konsert Fourtwnty tapi aku tak dig. Aku ada baca dekat kapsyen mereka ini penyanyi OST Filosofi Kopi. Aku familiar dengan judul ini kerana pernah menonton trailernya tetapi filem itu sendiri belum lagi.

Aku cuba mendengar album Lelaku oleh Fourtwnty. Aku Tenang sebagai opening track adalah langkah yang tepat. Aku tersangkut. 

Disebabkan tersangkut, aku naklah dengar ketika bersiap di waktu pagi, membuat kerja, dalam perjalanan ke pejabat dan sebagainya. Tetapi! ... Spotify di telefon aku tidaklah premium. Sebenarnya, ini pilihan aku juga. Sengaja aku biar akaun ini percuma sebab bila aku dalam bas/LRT aku suka explore muzik. Biar ada lagu rawak yang masuk antara lagu yang aku letak dalam playlists.

Salah satu penemuan aku adalah band yang sedang dibicarakan ini.

Dalam silih ganti pengumuman di dalam LRT dan muzik, aku dapat menangkap beberapa lirik. Mencuit hati. Liriknya berbunyi: 

Aku ... ... lupa
Saat pertama ... lara
Oleh ... yang pupus
Hingga hati cedera serius.

Aku macam 'Eh lagu apa ni?' kerana sesuatu mengenai bunyi lagu ini memberikan mood seperti Pemuja Rahasia - Sheila On 7. Skrin telefon yang padam, aku hidupkan. Terpampang: Terlatih Patah Hati - The Rain. Tajuk pun lucu. Cheeky!

Sekali lagi, aku bersifat ingin tahu. Lalu aku membuka Youtube untuk melihat band ini.

Maka, ini adalah 5 lagu The Rain pilihan aku:

1. Terlatih Patah Hati
Bertepuk sebelah tangan (sudah biasa)
Ditinggal tanpa alasan (sudah biasa) 
 Penuh luka itu pasti tapi aku tetap bernyanyi 
Everything about this song catchy! MV pun funny. Aku rasa ini adalah lagu yang baik untuk dibuat pengenalan kepada band ini. Hihi.
2. Upaya Maksimal 
Aku suka lagu ini sebab pembukaannya bercakap mengenai hal yang sangat semula jadi: 
Aku masih ingat beranikan diri menyapa
Percakapan singkat bermodalkan topik cuaca 
 Dan sebuah hari yang biasa saja
 Berubah menjadi istimewa. 
Semakin lagu ini bergerak, liriknya menjadi semakin menarik. Malah korusnya "upaya sudah maksimal, gagal pun tak jadi soal" boleh dijadikan kata-kata motivasi dalam mencuba sesuatu hal (tidak semestinya cinta doang). Seperti kata The Rain pada ruang deskripsi Youtube MV lagu ini, "namanya juga usahaaaa". 
3. Gagal Bersembunyi 
Lagu ini dimulakan dengan "Hey! Apa khabarmu jauh di sana?". Mestilah kau terkejut tetiba ada pula yang menyapa dan bertanya khabar! Haha! 
Ini rangkap kegemaran aku sebab sang pencerita mendedahkan rahsianya: 
Gagal 
 Kali ini gagal bersembunyi
 Di balik kata-kata bijak
 Yang selalu mampu
 Membuat aku terlihat tangguh. 
4. Jabat Erat
Lagu ni sesuai digunakan untuk jadi background music kepada video reunion, bergembira dengan kengkawan. Untuk bila kita tengok balik dan bernostalgia gituh! Jabat Erat! 
Di hari yang tepat nanti
Kita bertemu lagi. 
5. Hingga Detik Ini 
Berbeza dengan 4 lagu yang aku senaraikan di atas, kali ini melodi lagu ini yang menangkap telinga aku terlebih dahulu. Boleh dikatakan irama yang sedap dibuat carpool karaoke dengan kawan ketika terperangkap dalam jammed dan hujan tanpa berfikir liriknya tentang apa. Kah kah buat berangan berlakon MV sambil merenung luar tingkap pun boleh.


Aku juga suka yang dorang maintain elemen "hujan" ni dalam lirik, tajuk album (Hujan Kali Ini, Senandung Kala Hujan, Jingga Senja dan Deru Hujan), dalam album Jingga Senja dan Deru Hujan ada lagu bertajuk Perempuan Hujan malah nama label dorang pun Heavy Rain Records. Fans pula dipanggil #TheRainKeepers.

P/s: Dikhabarkan 1 November 2019 ini The Rain bakal release single baru. Wo!


Untuk The Rain,

10/12/19

Sembang Gebang “MOTIF” bersama Siti Amanda

PANDANGAN SECARA KESELURUHAN MENGENAI FILEM MOTIF

SITI AMANDA: Idea filem Motif (2019) ni mudah sahaja. Seorang inspektor bernama Dewi ditugaskan dari Bukit Aman ke Tanah Merah untuk membantu penyiasatan mengenai kes misteri kehilangan seorang remaja bernama Anna.

Di dalam sebuah temu bual Awani Pagi bersama barisan pelakon dan pengarahnya, idea filem ini datang setelah beliau banyak menonton drama bersiri, bergenre Nordic Noir. Nordic Noir ini asalnya dari Sweden. 

Aku gunakan ciri-ciri Nordic Noir menurut Glen Creeber ini sebagai framework untuk dipadankan dengan filem Motif. Setiap satu ciriya aku sertakan dengan satu contoh babak:

1. Bleak Naturalisme (Memaparkan peristiwa suram seadanya dan tidak dibuat-buat)
-- Ketika Inspektor Dewi menyegarkan diri, kelihatan lumut di penjuru bilik air. 
2.  Disconsolate Location (Latar tempat yang tidak menyenangkan)
-- Pencahayaan rumah tumpangan berwarna merah memberi refleksi Daerah Lampu Merah** di alam nyata (luar filem). 
3. Morose Detective (Perwatakan detektif yang tidak profesional seperti baran, tidak fokus dan tidak rasional)
-- Inspektor Rizal: misogynist**
-- Inspektor Dewi: frail (lemah, mudah dimanipulasi)

Sudah jelas bahawa framework genre yang digunakan berpadanan dengan landskap filem Motif ini. 

Tetapi, cukupkah sekadar menepati padanan genre maka naratifnya mampu bergerak sendiri? 

Tidak. Motif ibarat karipap angin. Luar nampak sedap terus beli, Bila makan, kosong. 

Menonton Motif ibarat memandu kereta di jalan yang banyak bonggol. Di bawah aku sertakan beberapa bonggol yang mengganggu konsentrasi pemanduanku.

Kelihatan jelas kereta milik Inspektor Dewi melepasi sebuah papan tanda tertulis Tanah Merah. Sebagai rakyat Malaysia, kita tahu Tanah Merah ini letaknya di Kelantan. Tetapi tidak ada seorang pun penduduk di sana bertutur dengan dialek Kelantan. Hal ini aku maafkan kerana di dalam filem ini tidak dinyatakan sama ada Tanah Merah ini letaknya di Kelantan. Mungkin sekadar ingin menunjukkan bahawa daerah ini namanya Tanah Merah kerana berlakunya pertumpahan darah dan pelacuran. 

Aku abaikan kejanggalan tersebut dan teruskan menonton. Temu bual di BFM menjelaskan bahawa Tanah Merah ini sekadar rekaan. Mungkin boleh tukar jadi Tanah Mera atau Bukit Merah atau Tanamera supaya audiens dapat lebih menghayati tanpa ada anasir-anasir luar menggugat konsentrasi.

Menurut temu bual tersebut, pemilihan pelakon juga atas dasar hebat semata-mata. Sehebat mana pun pelakon tersebut, jika watak yang diberikan tidak sesuai, maka lakonannya tidak akan menjadi. Aku kecewa dengan Rosyam Nor dan Sharifah Amani. Kali ni lakonan mereka kering. Aku tidak pasti di mana silapnya. Adakah arahan yang diberikan tidak difahami para pelakon atau para pelakon tidak digambarkan dengan frame yang sepatutnya.

Aku amati dialog mereka. Dialog antara watak tidak disambut dengan baik. Hanya satu sahaja yang aku ingat ketika seorang polis menghulurkan karipap yang bini dia masak kepada Inspektor Rizal yang pada waktu itu berasa buntu dengan kes kehilangan Anna yang tidak selesai.

"Makanlah karipap ni, bini saya yang masak."

Dan Inspektor Rizal menyambung secara bersahaja...

"Masak aku macam ni."

Ini sahaja dialog berkualiti yang aku jumpa. Yang lain semua teruk. Rasanya baca sari kata bahasa Inggeris lagi sedap. Antaranya lebih/kurang begini:

Dialog Inspektor Dewi,
"Aku nak pergi ke banglo terbengkalai tu, kau dengan aku tak?"

KAU DENGAN AKU TAK? ni diterjemah ke dalam bahasa Inggeris sebagai ARE YOU WITH ME? 

Tak kena pada aku. Tak semula jadi. 

Dialog Inspektor Dewi,
"KAU NI TAK ADA TULANG BELAKANG" diterjemah sebagai you have no balls.

Aku bagitahu kawan aku yang juga seorang penulis sari kata filem, kawan aku kata,
"Kenapa tak tulis 'you have no spine'. Much better. Kenapa tak kata 'kau pengecut' je? Penggunaan perkataan yang bombastik."

Tak perlu kot. Tak kena. 

Aku rasa skrip filem ini ditulis dalam bahasa Inggeris kemudian diterjemah kepada bahasa Melayu.
Menurut temu bual di Awani Pagi lagi, 50 skrip draf dibikin barulah disahkan sesuai untuk shoot dan hasilnya begini.

Setting cantik. Sinematografi taraf antarabangsa. Tetapi penceritaanya tidak dijahit dengan kemas. Bagus di atas kertas tidak semestinya cantik di atas skrin.

Baju sudah pakai. Wajah sudah rias. Bersiap cantik-cantik tapi tak tahu nak pergi mana. Itulah filem Motif.

**Daerah lampu merah merupakan sebahagian daripada sesebuah kawasan perbandaran di mana tertumpunya aktiviti pelacuran serta perniagaan berasaskan seks termasuklah kelab bogel, dan rumah urut. Istilah tersebut berasal daripada lampu merah yang digunakan untuk menandakan sesebuah rumah lacur

**a person who dislikes, despises or is strongly prejudiced against women


AIMI ROSLI: Aku mula mengenali sentuhan Nadiah Hamzah melalui filem pendeknya, Sub Rosa. Kemudian, di zaman tergila-gila dengan lakonan Beto Kusyairy aku menemui sebuah lagi filem pendek sentuhan Nadiah Hamzah, Hujan Panas. Malah CD Hujan Panas itu aku beli. Kemudian, muncul pula trailer Jupiter bikinannya.

Pada aku, trailer Jupiter sangat menarik! Aku ternanti-nanti kemunculan filem tersebut.

Selepas itu, nama Nadiah Hamzah sudah tidak lagi aku dengar sehinggalah beberapa minggu yang lalu.

Sebuah trailer berjudul Motif muncul!

Namun, trailer itu tidak cukup kuat untuk membuat aku ke pawagam. Tamat trailer aku terfikir, "Kenapa macam Misteri Dilaila tapi versi tak seram? Oh mungkin sebab Rosyam Nor."

Antara trailer Hujan Panas, Jupiter dan Motif, trailer Motif paling tidak memanggil sekali.

Namun aku berubah fikiran selepas melihat keyakinan tinggi team Motif menawarkan untuk membelanja tiket tayangan dan pelbagai peraduan. Mereka benar-benar yakin dengan produk mereka. Bagus!

Hari Rabu tiba. Waktu tayangan amat ngam dengan jadual aku ... Aku tidak keberatan untuk membeli tiket tayangan. 

Saat cerita dimulakan dengan imej seorang remaja perempuan yang basah kerana hujan dan percikan kilat terlihat di skrin, aku mulai cemas. Aku mulai berfikir, "Alamak aku dah salah wayang ke ni? Cerita 'Ikut Aku Ke Neraka!' ke ni?" 

Bukan apa sebab sebelum filem bermula, penonton dalam pawagam disajikan dengan trailer filem Indonesia berjudul Ghost Writer sebanyak dua kali.

Keluar pula di skrin: One Struck Media

"Aduh bukan Wayang Works ke?"

Kemudian muncul di skrin: One Struck Media & Wayang Works

Aku bernafas lega dan bersandar meneruskan tontonan.

***
Secara keseluruhannya, visual dan bunyi Motif memang dicipta untuk tontonan pawagam tetapi jalan ceritanya longgar. 

Selain dari jalan cerita, ini senarai hal-hal lain yang berlegar di fikiranku:

1. Konflik antara Inspektor Dewi dan Rizal melompat-lompat. Contoh: Dewi mula menyindir hubungan Rizal dengan Orang Kaya Tanah Merah namun tak sekali pun Dewi naik angin atau lapor pada ketua Bukit Aman bila dapat tahu Orang Kaya Tanah Merah ada hubungan dengan Rizal. 
Malah gabungan kuasa dua polis ini tidak cukup mantap untuk satu adegan akhir. Sebagai penonton, tiada adrenaline rush yang dirasakan. 
2. Aku agak terganggu dengan tagline "Lelaki Semua Sama" usai menonton Motif. Inspektor Dewi dilihat seakan tidak dapat menyeimbangkan masalah rumah tangga dengan kes yang ditangani. Beberapa kali Dewi bertindak menggunakan emosi dan bukan naluri kepolisian. Ini perkara yang tidak baik kerana memberi ruang tagline yang dibuat t-shirt ini di-backlash dengan "Perempuan Memang Macam Tu".  
3. Ada satu kematian berlaku, pada babak itu emosi yang disalurkan oleh Rosyam Nor kepada watak Hussein tidak sampai. Aku tidak dapat menghalang diri dari berfikir, memang beginikah rasa yang pengarah inginkan? 
4. Agak tercengang dengan slang "photo album" oleh salah satu watak yang muncul di skrin. Hatiku berteriak, "Mengapaaaaaaaaaa?"
***

Atas permintaan Manda, aku tonton temu bual Motif di Awani Pagi setelah selesai menonton filem tersebut. 

Dua perkara yang menangkap perhatian aku:
1. Rosyam Nor menerangkan watak dan perwatakan Hussein lebih baik dari Hussein yang muncul di skrin. 
2. Aku bersetuju dengan Nadiah Hamzah mengenai Motif cukup dalam 86 minit, tidak perlu masa yang lebih lagi.
Setelah difikir-fikir, sebenarnya Anna mengetahui tentang ayahnya berkahwin dua merupakan sebahagian dari perkara yang patut dirahsiakan dari penonton kerana ini juga perkara di bawah siasatan polis. Namun, disebabkan hal ini telah diperbincangkan secara besar-besaran malah menjadi salah satu perkara yang disebut untuk menceritakan sinopsis Motif maka misteri yang perlu diselesaikan di skrin hanya tinggal 1/3.



SESI 1: AIMI ROSLI ➡ SITI AMANDA


AIMI ROSLI: Adakah anda merasakan semangat women empowerment tersalur kepada anda melalui watak Inspektor Dewi?

SITI AMANDA: Hell no. Adakah Dewi dicipta untuk bawa semangat itu? Jika ya, jawapannya tidak. Jika tidak, jawapannya Alhamdulillah. Dewi orangnya cuai, terburu-buru dan tidak punya mata yang tajam. Wanita perkasa perlu punya naluri seorang ibu. Boleh jumpa barang yang hilang tanpa perlu mencari.

Menurut aku, Puan Suri lah yang paling perkasa. Dialog seperti ketua mafia Jepun (bak kata Aimi) ketika mengupah Kamal untuk lakukan sesuatu;

"Berapa Hussein bayar kau, gandakan dua. Aku boleh bayar. Ambil semua duit dalam peti simpanan. Aku tak nak dia ada satu sen pun."


AIMI ROSLI: Berikan pandangan anda mengenai kepentingan watak yang dibawa oleh Azhan Rani?

SITI AMANDA: Aku lupa apa nama karakter dia. Setelah di-google, Kamal. Perwatakannya sebagai Ah Long bagi pinjam wang. Kamal ni lucu, kerja sorang buat kecoh sorang. Dia tak ada kepentingan. Kalau aku nak kata Kamal sebagai bayangan Hussein pun boleh. Bagaimana jika sebenarnya Kamal dan Hussein adalah orang yang sama. Si baran Kamal dan si bacul Hussein. Itu plot twst aku (cliche lah). Character development tidak bagus. 


AIMI ROSLI: Kongsikan babak yang menimbulkan rasa "wow" atau paling diingati dari filem Motif.

SITI AMANDA: Tidak ada. "Wow" hanya daripada segi teknikal sahaja. Permukaannya sahaja. Apa yang hilang daripada filem ini adalah "rasa". Aku tak rasa teringin untuk tahu apa yang berlaku seterusnya. Satu hal belum siap, dia dah pergi tempat lain. Sampai ke sudah. Sesat.




SESI 2: SITI AMANDA ➡ AIMI ROSLI

SITI AMANDA: Berikan contoh satu babak untuk menyokong kenyataan "jalan cerita longgar" dan bagaimana kau kemaskan mengikut perspektif kau?

AIMI ROSLI: Kau tahu tak perasaan main badminton dengan orang yang tak habis-habis nak smash? Baru servis tetiba smash. Jadi kerja kau hanya kutip bulu tangkis dan servis. Awal-awal okaylah, lama-lama kita yang asyik kena mengutip bulu tangkis ini jadi bosan.

Begitulah perasaannya dengan jalan cerita filem Motif ini. Semua bulu tangkis di-smash dan penonton kena buat servis baru. Tak ada kesinambungan.

Contoh terbesar aku boleh bagi adalah bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian. Barang-barang Anna ditemui di sebuah banglo tetapi Anna tidak ada. Kita tidak dijelaskan, apa barang Anna yang ditemui di banglo tersebut. Sedangkan kita ada babak Inspektor Dewi berdiri di papan kes Anna.

Dalam cerita ini kita tidak diberitahu kadar jenayah Tanah Merah. Ada kes dadah ke, ada kes ragut atau kecurian ke. Baiklah, tidak mengapa. Mungkin memakan masa. Pengarah tidak mahu kita percaya perkara lain, selain Anna diculik dan semua ini angkara keluarganya sendiri.

Ayah Anna dikatakan orang kaya Tanah Merah, susah kita nak jelaskan sejauh mana kedudukan Ayah Anna sebab pak cik-pak cik warung kopi ini tidak bersembang pun pasal hal kehilangan Anna. Aku sebut ni sebab ada babak pak cik-pak cik bersembang tapi cuma untuk dialog, "Budak baru ni tak kenal siapa kita."

Hahaha ingatkan babak seterusnya aku akan kenal siapa pak cik-pak cik ni.

Penceritaan boleh terperinci lagi dengan menjelaskan: dompet mangsa ditemui dengan keadaan tidak berusik, telefon bimbit di mana dan sebagainya.

Di babak yang lain teman lelaki Anna, Azlan, tunjuk kepada Inspektor Dewi yang dia memiliki diari Anna. Di satu babak lagi, Anis (adik Anna) ternampak diari itu pada Dewi dan mengatakan, "Masa Kak Anna hidup dia tak bagi siapa pun pegang buku tu."

Samalah juga halnya dengan telefon bimbit. Jadi, telefon bimbit tidak ditemui di banglo, tidak ditemui bersama mangsa. Kawasan sekitar, dimatikan atau bagaimana. Tiba-tiba ada Anis, "tengok handphone kakak macam ni (online)." Tak diendahkan Inspektor Dewi.

Awal cerita ini, Inspektor Dewi kata pada Anis, "kalau ada apa-apa bagitau" tapi sepanjang cerita ini berlangsung semua yang keluar dari mulut Anis tidak diambil kira. Boleh dikatakan bukan klu untuk penonton ikut. Bukan maklumat berharga. Kalau Inspektor Dewi peduli, aku tak nampak ekspresi itu.

Untuk dikemaskan mengikut perspektif aku, aku akan buat polis Tanah Merah terangkan barang milik mangsa yang ditemui dan tidak ditemui, pada pertemuan pertama Anis beritahu Dewi bahawa Anna ada sebuah diari tetapi diari itu tidak ditemui di tempat kejadian. Diari itu juga tiada di bilik tidur mereka. Apakah rahsia dalam diari tersebut? Barulah terurus pemikiran kita untuk mengesyaki siapa atau motif. Kemudian, Dewi rasa perlu untuk mencari diari tersebut. Rupanya ... Ada pada Azlan ... Kisah diteruskan ...

Watak Azlan ni pun ada masalah juga ... Haha! Tapi satu contoh cukuplah.


SITI AMANDA: Okay, kau mengikuti Nadiah Hamzah sejak Sub Rosa. Kau tidak ada masalah dengan karya-karya beliau sebelum ini sehinggalah Motif keluar. Jadi kau rasa, kenapa Motif ni banyak masalah dan apa yang perlu beliau fokuskan jika ingin bikin filem pada masa akan datang. 

AIMI ROSLI: Eh, aku ada cakap banyak masalah ke? Haha! Susah ea soalan kau kali ni. Susah aku nak jawab pendek-pendek.

Dua filem pendeknya sebelum ini membawa cerita yang mudah. 8 mahupun 20 minit cukup untuk kita mengenali watak dan konfliknya.

Aku rasa Nadiah Hamzah telah mencabar diri sendiri untuk menampilkan genre crime thriller sebagai feature film pertamanya. Genre sebegini mempunyai penonton yang kebiasaannya teliti, ingin tahu serta sedia menghadam logik kejadian dalam ruang fiksyen yang dicipta. Jadi, apa yang pengarah dan penulis skrip ingin tonjolkan perlu kemas.

Aku setuju dengan kau berkenaan "penceritaan tidak dijahit dengan kemas". Jadi, aku harap hal inilah yang dia perlu perbaiki di masa akan datang. Well, kita pun tak pernah tengok script treatment Motif, jadi kita pun tak dapat pastikan macamana yang atas kertas. Memang plot holes pada skrip atau babak yang telah dibuang dalam proses suntingan.

Lagi satu, selepas membuat 50 draf, aku rasa Nadiah Hamzah perlu bezakan apa yang dia tahu dalam kepala dia mengenai karakter dalam filem Motif, dengan apa yang terpapar di layar.

Aku bagi contoh: Dalam temu bual Movie Addict bersama Nadiah Hamzah, dia kata, "kita akan find out kenapa dia (Inspektor Dewi) dihantar ke Tanah Merah."

Dalam Motif, tak ada pun tau hal ni.


SITI AMANDA: Kau kata hanya 1/3 misteri dirungkai adakah kau tahu baki 2/3 misteri yang tidak dipaparkan?

AIMI ROSLI: Misteri yang aku maksudkan di sini adalah perkara yang menjadi siasatan Inspektor Dewi dan Inspektor Rizal. Dan "1/3 misteri untuk diselesaikan" yang aku katakan bukan bermaksud 2/3 lagi tidak dipaparkan tetapi ... misteri itu telah pun dibocorkan melalui temu bual atau promosi. Di sini aku senaraikan perkara siasatan oleh inspektor Bukit Aman dan Tanah Merah:


1. Kehilangan Anna

Ini dapat dilihat melalui sinopsis dari laman web Wayang Works:
Inspektor Dewi (SHARIFAH AMANI) ditugaskan untuk menyiasat kes kehilangan seorang remaja perempuan, Anna (KHAYRANI KEMAL) di Tanah Merah, sebuah pekan terpencil. Kehadirannya tidak disenangi penduduk pekan, termasuklah rakan setugasnya Inspektor Rizal (TAQIM ZAKI), dan menerima tentangan hebat dari bapa remaja yang hilang itu, Hussein (DATUK ROSYAM NOR) yang juga merupakan orang kaya Tanah Merah, yang benar-benar tidak mempercayai kebolehan Dewi dalam menjalankan tugasnya.    
Ramai orang disyaki menjadi dalang sebalik kehilangan Anna - semua dengan motif mereka yang tersendiri.  Adakah ianya Kamal (AZHAN RANI) seorang ah long, atau bekas teman lelaki Anna, Azlan (FADHLI MASOOT)? Ataupun, adakah ibu Anna (SHERIE MERLIS) yang sanggup merancang menggadai nyawa anaknya sendiri? Dapatkah Dewi merungkai misteri kehilangan Anna apabila dia mula dihimpit dengan konflik dalaman yang semakin menghantui dirinya? Semuanya akan terjawab dalam MOTIF pada 26 September, di pawagam berdekatan anda.
Juga melalui trailer dan promo IG story "Anna Hilang Ke Mana"-- ini adalah misteri pertama dan akar cerita.


2. Punca Kehilangan Anna

Punca kehilangan Anna dikaitkan dengan perlakuan Hussein. Rupanya dalam filem ini kita tak tahu perlakuan sebenar Hussein tetapi bila tengok temu bual Meletop ingatkan perkara ini disebut macam memang sudah di-establish dari awal cerita.

Rupanya bila tonton, "Ehhh lahhhh ... rupanya Hussein kahwin dua ni hal dalam siasatan ..."


3. Pembunuh Anna

1/3 bahagian yang penonton perlu selesaikan tetapi perkongsian siasatan kes di skrin tidak cukup untuk mengajak penonton teruja menyiasat bersama. Kita hanya perlu tunggu menerima.

***

Filem Motif ni tak ada babak imbas kembali. Perasan tak? Eh sambung sembang sambil minum kopi lah jom!

10/3/19

Ehh Emel! #6: Subject: Boboiboy! Ikut Aku Ke Neraka

From: Aimi Rosli 
Date: Aug 31, 2019, 23:05 PM
Subject: Boy oh boy oh boy oh boy jangan mudah mengalah!
To: Siti Amanda

Now Playing: Berikan Nurbisa - M. Nasir

Assalamualaikum Manda!

Akhirnya aku merasakan ini adalah waktu yang tepat untuk aku menulis catatan aku mengenai filem animasi yang setiap hari mendaki carta pawagam. Tak lain tak bukan: Boboiboy Movie 2.

Aku sebenarnya menonton filem ini pada minggu pertama tayangan. Tak sangka aku dapat pergi menonton secepat itu. Haha!

Punyalah masa berlalu tanpaku menyedari, rupanya Boboiboy ni dah besar tau. Bukan sahaja dah besar malah, telah menjelajah galaksi. Bergerak dari satu planet ke satu planet. Kali terakhir aku tengok Boboiboy di televisyen semasa zaman #TeamBuBaDiBaKo (Buat Baik Dibalas Koko). Maksudnya, sudah sangatlah lama. Malah filem Boboiboy The Movie dulu pun aku tak tengok.

Jadi ketika masuk ke pawagam, aku agak berdebar-debar. Macam adakah aku akan dapat catch up kat mana tahap Boboiboy dan rakan-rakan berada sekarang?

Berdebar-debar aku ni, bercampur dengan teruja sebab temu bual Boboiboy, Probe, Adudu di Meletop amat membuat aku terhibur.

Pada aku, Boboiboy Movie 2 ni best lah. Walaupun sudah lama tidak mengikuti siri Boboiboy, jalan cerita filem ini mudah difahami dan tidak mengelirukan. Komedinya memang mencuit hati. Lukisan mengagumkan. Lagi-lagi bila long shot untuk pemandangan. Antara benda yang nampak terperinci ketika awal filem, dekat raksasa comel yang sedang kejar Boboiboy dan Gopal, kau boleh nampak tekstur kulit raksasa comel tu.

Entah kenapa perwatakan raksasa comel itu Bersama anaknya mengingatkan aku kepada makhluk Oopet dalam Geng: Pengembaraan Bermula.

Tapi perasaan aku tak capai 100% bila keluar dari pawagam. Kalau per 10 aku berikan 8. Aku rasa ada benda yang tak sampai pada aku. Salah satunya; perhubungan Boboiboy dan rakan-rakannya. Tak ada sangat.

Misalnya; Watak Yaya masa pertama kali keluar skrin penonton bersorak “Woah!” sebab sungguh bergaya sekali! Tetapi rupanya Yaya hanya beraksi sedikit sahaja.

Filem ini lebih menekankan kepada Boboiboy sebagai hero. Boboiboy meneroka cara menggunakan kuasa macam tu lah.

Baiknya bentuk promosi Boboiboy 2 ini, dari hari selesai menonton Boboiboy Movie 2 di pawagam hingga ke hari ini … aku terus mengikuti update dari Monsta. Antaranya klip eksklusif yang dimuat naik menggunakan system unlock, deleted scene, di sebalik tabir, kadang-kadang aku juga membaca catatan pengarahnya (Nizam Razak) di Facebook.

Seterusnya membawa aku kepada aku menonton Boboiboy The Movie. Dari sini, aku mengerti arah filem Boboiboy Movie 2. Kalau mereka guna formula persahabatan, pengembaraan bermakna mereka akan mengulang penceritaaan seperti Boboiboy The Movie. Dibandingkan dengan filem pertama, dalam filem kedua Boboiboy sudah semakin matang.

Tahniah dan terus maju jaya buat team Monsta!

***

Universe animasi Malaysia aku tidak lengkap kerana aku belum lagi dapat menonton Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. Yang aku dah tonton, versi 10 minit di Youtube Les Copaque aje.

Moving forward, aku tak sabar gila untuk tonton Ejen Ali The Movie. Dua musim siri Ejen Ali ni, jalan cerita memang gempak. 3 episod terakhir musim 2 kedua, fuh intense gila! Watak kegemaran aku; Alicia.

Yang gempaknya lagi adalah, siri Ejen Ali ni siap ada maklumat dekat WikiFandom weh! Fuh.

Hope to hear from you soon! Dengarnya dapat baucar percuma untuk menonton di MBO! Haha!


---


From: Siti Amanda
Date: Oct 1, 2019, 11:19 PM
Subject: "Aimi, Ikut Aku ke Neraka!"
To: Aimi Rosli


Waalaikumussalam Aimi! 

Ya aku derma darah hari tu jadi dapatlah 2 voucher percuma menonton wayang di MBO. Filem apa aku tak ingat dahhhh aaaa helllppp haha. 

Kecewa aku kerana tidak dapat menonton boy oh boy di pawagam kerana adik aku kena beguk. Kalau adik aku tak dapat tengok, aku juga tak nak lah tengok. Boboiboy yang pertama kami tengok bersama sebelum ni. Namun kekecewaan aku terubat selepas membaca e-mel dari kau. Rasanya lebih baik dari yang pertama tu.

Baiklah. Kita teruskan agenda kita pada kali ini dengan mengulas filem seram daripada Indonesia yang bertajuk IKUT AKU KE NERAKA! (tak tahulah kenapa setiap kali sebut tajuk ni aku rasa marah dengan suara yang keras.)

Aku ke panggung utk Ikut Aku ke Neraka ni TANPA menonton trailer, membaca sinopsis, menonton di sebalik tabir, membaca reviu dan sebagainya. Posternya menarik. Perempuan yang sedang diheret itu menghulurkan tangan meminta tolong aku untuk selamatkannya. Cepat² aku beli tiket. 

Simple je jalan cerita ni. Ia mengisahkan seorang wanita (Lita) sedang hamil kemudian diganggu hantu.

Mengapa? 
Lita telah melakukan sesuatu yang membangkitkan kemarahan hantu tersebut. 

Aku nak share, pengalaman aku. Sangat ketara nuansa filem ini sama seperti Pengabdi Setan (2017) dan Suzanna; Bernapas Dalam Kubur (2018).

Rupanya Ikut Aku ke Neraka datang dari produksi yang sama keluarkan Pengabdi Setan; Rapi Films. 

Selain Suzanna; Bernapas Dalam Kubur, Fajar Umbara juga menulis filem-filem seram lain seperti Mata Batin (2017) dan Mata Batin 2 (2019).

Karakter suami yang kuat bekerja, isteri hamil namun berumah di pinggir bandar sama seperti Suzanna: Bernapas Dalam Kubur (2018).

Kornea ceritanya mula berkembang setelah seorang bomoh dipanggil untuk menghilangkan gangguan hantu namun bomoh ini juga mati. Tidak ada karakter ustaz di dalam filem ini meskipun menamakan Qorin dan Khodam sebagai gangguan. 

Warna filem ni cantik. Shot yang menarik. Teknikalnya superb dengan asap melebih-lebih haha. Okaylah tak rasa macam teruk sangat. 

Aku tak dapat tolong kau Lita. Kalau aku jadi kau, gangguan pertama tu dah seram.  Aku terus pindah bandar. Haha.

10/1/19

#SembangSorang: Suatu Ketika - Suatu Keindahan Visual

Now Playing: Debu Bercahaya - Noh Salleh

a)

Filem: Suatu Ketika
Tarikh: 17 September 2019
Waktu Tayangan: 7:30 PM
Lokasi: Hall 8, TGV KLCC
Cuaca: Jerebu

Hari ini berkali-kali aku buka aplikasi TGV untuk semak tiket tayangan Suatu Ketika. Selain dari hari ini, sudah tidak ada waktu tayangan yang sesuai untuk aku tonton lagi. Aku semak 2-3 lokasi yang bersesuaian. Kebanyakannya tayang pada waktu pejabat atau terlalu lewat untuk aku (9:00 malam dikira lewat). Aku ingin tonton tetapi aku tak pasti aku boleh sampai KLCC sebelum 7:30 malam atau tidak. Makanya, aku letakkan had masa untuk setiap langkah aku:
1. Aku perlu sampai KLCC jam 6:40 petang.
2. Aku mesti siap makan jam 7:00 malam.
3. Kemudian aku pergi beli tiket wayang di mesin.
4. 7:20 malam aku mesti di surau.
Semuanya rencana aku berjalan lancar. 7:40 malam aku tenang duduk di kerusi J8. 

Di belakangku, barisan hujung ada pasangan ayah dan anak. Selang dua baris dariku pula, duduk seorang gadis sedang makan spageti. Tepat di hadapanku, ada seorang lelaki, selang satu darinya seorang lagi lelaki. Di hadapan mereka, ada seorang lagi lelaki. 

Filem bermula.

***

b)

Menurut pendapat aku, Suatu Ketika adalah filem yang ringkas dari segi jalan cerita, cantik dari sudut visual. Aku akan perincikan hal ini dalam bentuk "Kelebihan" (apa yang aku suka) dan "Kekurangan" (yang boleh digarap dengan lebih kemas lagi):


Kelebihan

1. Pembukaan (Opening)

Filem dibuka dengan perlawanan bola sepak, kemudian watak Panjang mula menjadi narator. Keluar visual wajah 12 kanak-kanak lelaki yang membentuk pasukan bola Sekolah Ujong Pasir. Setelah itu, penonton dibawa mengelilingi Kampung Ujong Pasir melalui kampung, estet seterusnya sekolah. Sungguh cantik sekali pengenalan diberikan. Semua elemen yang membentuk filem ini diperkenalkan dengan teratur.


2. Tenang

Dalam filem ini tiada drama menjerit-jerit yang keterlaluan sehingga telinga menjadi bingit. Apabila si ayah marah, dia hanya bersikap dingin dan meluahkan melalui riak wajah. Begitu juga si ibu, tenang menjadi orang tengah antara kerisauan ayah dan keinginan anak. Mereka hanya mempamerkan melalui senyuman dan mata.

Malah, walaupun terdapat ketidaksefahaman di dalam pasukan bola sepak tersebut namun tingkah mereka tidak melemaskan. Boleh lihat contoh, bagaimana lembutnya rajuk kerana jawatan kapten pasukan terjadi.

Wajar menjadi tontonan untuk mood santai-santai.


3. Muzik

Satu lagi perkara yang menaikkan mood santai filem Suatu Ketika adalah muziknya. Dua OST filem ini; Ayuhlah dan Senja melengkapi visual yang diberikan.


Kekurangan

1. Cikgu Sulaiman dan Cikgu Rokiah

Watak Cikgu Sulaiman terlihat terlalu mendatar. Sehingga saat dia perlu mengetuai pasukan Sekolah Ujong Pasir, momen itu tidak terlihat mengharukan kerana ikatan antara watak Cikgu Sulaiman dan 12 kanak-kanak tadi longgar.

Watak itu terlihat sekadar ada tanpa fungsi yang cukup kuat. Sama seperti Cikgu Rokiah.

Ada baiknya, perhatian diberikan kepada ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir.


2. Pembinaan Karakter

Walaupun filem ini dibuka dengan baik dalam memperkenalkan watak-wataknya namun saat dipertengahan cerita ada watak yang tidak mendapat perhatian. Begini, biar aku catatkan watak yang aku ingat dan tidak.

Karakter yang diingati: Syukri, Panjang, Dol, Suresh, Kudin, Husin, Atan, Husin, Lee Meng, Guna.

Karakter yang kurang diingati: Tuah, Usop, Bakri.

Ada watak yang diingati kerana mempunyai karakteristik yang istimewa (contoh: Dol, Lee Meng) dan ada juga yang diingati kerana mempunyai screen time yang lebih serta pembinaan karakter yang lengkap (contoh: watak Syukri).

Perkara ini menjadi penting kerana ada susulan dari kisah mereka di zaman kanak-kanak ini. Ketika hal ini terjadi, kita berharap untuk lebih kenal dengan karakter semua ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir ini.


3. Promosi

Aku sempat mengikuti dua temu bual filem ini melalui Meletop dan Melodi, setelah selesai menonton filem ini, aku rasakan yang patut mendapat spotlight / wakil diajak ke temu bual adalah 12 pelakon yang telah menjayakan watak ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir. Aku juga merasakan yang sepatutnya gambar mereka patut besar lagi di poster di sisi Pak Ad.

Sebenarnya, aku rasa macam dah lama juga tak ada filem yang fun-to-watch di mana kanak-kanak yang menjadi teraju utama. Jika aku diberikan pop kuiz untuk menyatakan filem Melayu yang menampilkan sekumpulan kanak-kanak sebagai bintang utama; pastinya aku akan menjawab Tentang Bulan (mungkin nanti aku akan teringat filem lain tetapi ketika itu pop kuiz telah pun tamat). Kini, aku tahu aku ada dua jawapan.

Kesimpulannya, Suatu Ketika adalah karya yang cantik tetapi tidak sempurna namun mempunyai banyak sinar potensi.

Untuk semua tenaga kerja Suatu Ketika, selamat maju jaya dalam karya akan datang!

***

c)

Dalam perjalanan pulang menaiki LRT aku sempat skrol Facebook. Ada luahan hati Prakash Murugiah (pengarah Suatu Ketika) mengenai waktu tayangan filemnya terhad di pawagam. 

d)

Keesokan harinya pula, disusuli dengan tawaran tiket percuma oleh pelakonnya, Farah Ahmad. Aku rasa Farah Ahmad selalu effort dalam hal-hal macam ni sebab seingat aku masa filem Jibam dulu pun dia ada buat benda sama.