10/3/19

Ehh Emel! #6: Subject: Boboiboy! Ikut Aku Ke Neraka

From: Aimi Rosli 
Date: Aug 31, 2019, 23:05 PM
Subject: Boy oh boy oh boy oh boy jangan mudah mengalah!
To: Siti Amanda

Now Playing: Berikan Nurbisa - M. Nasir

Assalamualaikum Manda!

Akhirnya aku merasakan ini adalah waktu yang tepat untuk aku menulis catatan aku mengenai filem animasi yang setiap hari mendaki carta pawagam. Tak lain tak bukan: Boboiboy Movie 2.

Aku sebenarnya menonton filem ini pada minggu pertama tayangan. Tak sangka aku dapat pergi menonton secepat itu. Haha!

Punyalah masa berlalu tanpaku menyedari, rupanya Boboiboy ni dah besar tau. Bukan sahaja dah besar malah, telah menjelajah galaksi. Bergerak dari satu planet ke satu planet. Kali terakhir aku tengok Boboiboy di televisyen semasa zaman #TeamBuBaDiBaKo (Buat Baik Dibalas Koko). Maksudnya, sudah sangatlah lama. Malah filem Boboiboy The Movie dulu pun aku tak tengok.

Jadi ketika masuk ke pawagam, aku agak berdebar-debar. Macam adakah aku akan dapat catch up kat mana tahap Boboiboy dan rakan-rakan berada sekarang?

Berdebar-debar aku ni, bercampur dengan teruja sebab temu bual Boboiboy, Probe, Adudu di Meletop amat membuat aku terhibur.

Pada aku, Boboiboy Movie 2 ni best lah. Walaupun sudah lama tidak mengikuti siri Boboiboy, jalan cerita filem ini mudah difahami dan tidak mengelirukan. Komedinya memang mencuit hati. Lukisan mengagumkan. Lagi-lagi bila long shot untuk pemandangan. Antara benda yang nampak terperinci ketika awal filem, dekat raksasa comel yang sedang kejar Boboiboy dan Gopal, kau boleh nampak tekstur kulit raksasa comel tu.

Entah kenapa perwatakan raksasa comel itu Bersama anaknya mengingatkan aku kepada makhluk Oopet dalam Geng: Pengembaraan Bermula.

Tapi perasaan aku tak capai 100% bila keluar dari pawagam. Kalau per 10 aku berikan 8. Aku rasa ada benda yang tak sampai pada aku. Salah satunya; perhubungan Boboiboy dan rakan-rakannya. Tak ada sangat.

Misalnya; Watak Yaya masa pertama kali keluar skrin penonton bersorak “Woah!” sebab sungguh bergaya sekali! Tetapi rupanya Yaya hanya beraksi sedikit sahaja.

Filem ini lebih menekankan kepada Boboiboy sebagai hero. Boboiboy meneroka cara menggunakan kuasa macam tu lah.

Baiknya bentuk promosi Boboiboy 2 ini, dari hari selesai menonton Boboiboy Movie 2 di pawagam hingga ke hari ini … aku terus mengikuti update dari Monsta. Antaranya klip eksklusif yang dimuat naik menggunakan system unlock, deleted scene, di sebalik tabir, kadang-kadang aku juga membaca catatan pengarahnya (Nizam Razak) di Facebook.

Seterusnya membawa aku kepada aku menonton Boboiboy The Movie. Dari sini, aku mengerti arah filem Boboiboy Movie 2. Kalau mereka guna formula persahabatan, pengembaraan bermakna mereka akan mengulang penceritaaan seperti Boboiboy The Movie. Dibandingkan dengan filem pertama, dalam filem kedua Boboiboy sudah semakin matang.

Tahniah dan terus maju jaya buat team Monsta!

***

Universe animasi Malaysia aku tidak lengkap kerana aku belum lagi dapat menonton Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal. Yang aku dah tonton, versi 10 minit di Youtube Les Copaque aje.

Moving forward, aku tak sabar gila untuk tonton Ejen Ali The Movie. Dua musim siri Ejen Ali ni, jalan cerita memang gempak. 3 episod terakhir musim 2 kedua, fuh intense gila! Watak kegemaran aku; Alicia.

Yang gempaknya lagi adalah, siri Ejen Ali ni siap ada maklumat dekat WikiFandom weh! Fuh.

Hope to hear from you soon! Dengarnya dapat baucar percuma untuk menonton di MBO! Haha!


---


From: Siti Amanda
Date: Oct 1, 2019, 11:19 PM
Subject: "Aimi, Ikut Aku ke Neraka!"
To: Aimi Rosli


Waalaikumussalam Aimi! 

Ya aku derma darah hari tu jadi dapatlah 2 voucher percuma menonton wayang di MBO. Filem apa aku tak ingat dahhhh aaaa helllppp haha. 

Kecewa aku kerana tidak dapat menonton boy oh boy di pawagam kerana adik aku kena beguk. Kalau adik aku tak dapat tengok, aku juga tak nak lah tengok. Boboiboy yang pertama kami tengok bersama sebelum ni. Namun kekecewaan aku terubat selepas membaca e-mel dari kau. Rasanya lebih baik dari yang pertama tu.

Baiklah. Kita teruskan agenda kita pada kali ini dengan mengulas filem seram daripada Indonesia yang bertajuk IKUT AKU KE NERAKA! (tak tahulah kenapa setiap kali sebut tajuk ni aku rasa marah dengan suara yang keras.)

Aku ke panggung utk Ikut Aku ke Neraka ni TANPA menonton trailer, membaca sinopsis, menonton di sebalik tabir, membaca reviu dan sebagainya. Posternya menarik. Perempuan yang sedang diheret itu menghulurkan tangan meminta tolong aku untuk selamatkannya. Cepat² aku beli tiket. 

Simple je jalan cerita ni. Ia mengisahkan seorang wanita (Lita) sedang hamil kemudian diganggu hantu.

Mengapa? 
Lita telah melakukan sesuatu yang membangkitkan kemarahan hantu tersebut. 

Aku nak share, pengalaman aku. Sangat ketara nuansa filem ini sama seperti Pengabdi Setan (2017) dan Suzanna; Bernapas Dalam Kubur (2018).

Rupanya Ikut Aku ke Neraka datang dari produksi yang sama keluarkan Pengabdi Setan; Rapi Films. 

Selain Suzanna; Bernapas Dalam Kubur, Fajar Umbara juga menulis filem-filem seram lain seperti Mata Batin (2017) dan Mata Batin 2 (2019).

Karakter suami yang kuat bekerja, isteri hamil namun berumah di pinggir bandar sama seperti Suzanna: Bernapas Dalam Kubur (2018).

Kornea ceritanya mula berkembang setelah seorang bomoh dipanggil untuk menghilangkan gangguan hantu namun bomoh ini juga mati. Tidak ada karakter ustaz di dalam filem ini meskipun menamakan Qorin dan Khodam sebagai gangguan. 

Warna filem ni cantik. Shot yang menarik. Teknikalnya superb dengan asap melebih-lebih haha. Okaylah tak rasa macam teruk sangat. 

Aku tak dapat tolong kau Lita. Kalau aku jadi kau, gangguan pertama tu dah seram.  Aku terus pindah bandar. Haha.

No comments: