10/1/19

#SembangSorang: Suatu Ketika - Suatu Keindahan Visual

Now Playing: Debu Bercahaya - Noh Salleh

a)

Filem: Suatu Ketika
Tarikh: 17 September 2019
Waktu Tayangan: 7:30 PM
Lokasi: Hall 8, TGV KLCC
Cuaca: Jerebu

Hari ini berkali-kali aku buka aplikasi TGV untuk semak tiket tayangan Suatu Ketika. Selain dari hari ini, sudah tidak ada waktu tayangan yang sesuai untuk aku tonton lagi. Aku semak 2-3 lokasi yang bersesuaian. Kebanyakannya tayang pada waktu pejabat atau terlalu lewat untuk aku (9:00 malam dikira lewat). Aku ingin tonton tetapi aku tak pasti aku boleh sampai KLCC sebelum 7:30 malam atau tidak. Makanya, aku letakkan had masa untuk setiap langkah aku:
1. Aku perlu sampai KLCC jam 6:40 petang.
2. Aku mesti siap makan jam 7:00 malam.
3. Kemudian aku pergi beli tiket wayang di mesin.
4. 7:20 malam aku mesti di surau.
Semuanya rencana aku berjalan lancar. 7:40 malam aku tenang duduk di kerusi J8. 

Di belakangku, barisan hujung ada pasangan ayah dan anak. Selang dua baris dariku pula, duduk seorang gadis sedang makan spageti. Tepat di hadapanku, ada seorang lelaki, selang satu darinya seorang lagi lelaki. Di hadapan mereka, ada seorang lagi lelaki. 

Filem bermula.

***

b)

Menurut pendapat aku, Suatu Ketika adalah filem yang ringkas dari segi jalan cerita, cantik dari sudut visual. Aku akan perincikan hal ini dalam bentuk "Kelebihan" (apa yang aku suka) dan "Kekurangan" (yang boleh digarap dengan lebih kemas lagi):


Kelebihan

1. Pembukaan (Opening)

Filem dibuka dengan perlawanan bola sepak, kemudian watak Panjang mula menjadi narator. Keluar visual wajah 12 kanak-kanak lelaki yang membentuk pasukan bola Sekolah Ujong Pasir. Setelah itu, penonton dibawa mengelilingi Kampung Ujong Pasir melalui kampung, estet seterusnya sekolah. Sungguh cantik sekali pengenalan diberikan. Semua elemen yang membentuk filem ini diperkenalkan dengan teratur.


2. Tenang

Dalam filem ini tiada drama menjerit-jerit yang keterlaluan sehingga telinga menjadi bingit. Apabila si ayah marah, dia hanya bersikap dingin dan meluahkan melalui riak wajah. Begitu juga si ibu, tenang menjadi orang tengah antara kerisauan ayah dan keinginan anak. Mereka hanya mempamerkan melalui senyuman dan mata.

Malah, walaupun terdapat ketidaksefahaman di dalam pasukan bola sepak tersebut namun tingkah mereka tidak melemaskan. Boleh lihat contoh, bagaimana lembutnya rajuk kerana jawatan kapten pasukan terjadi.

Wajar menjadi tontonan untuk mood santai-santai.


3. Muzik

Satu lagi perkara yang menaikkan mood santai filem Suatu Ketika adalah muziknya. Dua OST filem ini; Ayuhlah dan Senja melengkapi visual yang diberikan.


Kekurangan

1. Cikgu Sulaiman dan Cikgu Rokiah

Watak Cikgu Sulaiman terlihat terlalu mendatar. Sehingga saat dia perlu mengetuai pasukan Sekolah Ujong Pasir, momen itu tidak terlihat mengharukan kerana ikatan antara watak Cikgu Sulaiman dan 12 kanak-kanak tadi longgar.

Watak itu terlihat sekadar ada tanpa fungsi yang cukup kuat. Sama seperti Cikgu Rokiah.

Ada baiknya, perhatian diberikan kepada ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir.


2. Pembinaan Karakter

Walaupun filem ini dibuka dengan baik dalam memperkenalkan watak-wataknya namun saat dipertengahan cerita ada watak yang tidak mendapat perhatian. Begini, biar aku catatkan watak yang aku ingat dan tidak.

Karakter yang diingati: Syukri, Panjang, Dol, Suresh, Kudin, Husin, Atan, Husin, Lee Meng, Guna.

Karakter yang kurang diingati: Tuah, Usop, Bakri.

Ada watak yang diingati kerana mempunyai karakteristik yang istimewa (contoh: Dol, Lee Meng) dan ada juga yang diingati kerana mempunyai screen time yang lebih serta pembinaan karakter yang lengkap (contoh: watak Syukri).

Perkara ini menjadi penting kerana ada susulan dari kisah mereka di zaman kanak-kanak ini. Ketika hal ini terjadi, kita berharap untuk lebih kenal dengan karakter semua ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir ini.


3. Promosi

Aku sempat mengikuti dua temu bual filem ini melalui Meletop dan Melodi, setelah selesai menonton filem ini, aku rasakan yang patut mendapat spotlight / wakil diajak ke temu bual adalah 12 pelakon yang telah menjayakan watak ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir. Aku juga merasakan yang sepatutnya gambar mereka patut besar lagi di poster di sisi Pak Ad.

Sebenarnya, aku rasa macam dah lama juga tak ada filem yang fun-to-watch di mana kanak-kanak yang menjadi teraju utama. Jika aku diberikan pop kuiz untuk menyatakan filem Melayu yang menampilkan sekumpulan kanak-kanak sebagai bintang utama; pastinya aku akan menjawab Tentang Bulan (mungkin nanti aku akan teringat filem lain tetapi ketika itu pop kuiz telah pun tamat). Kini, aku tahu aku ada dua jawapan.

Kesimpulannya, Suatu Ketika adalah karya yang cantik tetapi tidak sempurna namun mempunyai banyak sinar potensi.

Untuk semua tenaga kerja Suatu Ketika, selamat maju jaya dalam karya akan datang!

***

c)

Dalam perjalanan pulang menaiki LRT aku sempat skrol Facebook. Ada luahan hati Prakash Murugiah (pengarah Suatu Ketika) mengenai waktu tayangan filemnya terhad di pawagam. 

d)

Keesokan harinya pula, disusuli dengan tawaran tiket percuma oleh pelakonnya, Farah Ahmad. Aku rasa Farah Ahmad selalu effort dalam hal-hal macam ni sebab seingat aku masa filem Jibam dulu pun dia ada buat benda sama.

No comments: