10/1/19

#SembangSorang: Suatu Ketika - Suatu Keindahan Visual

Now Playing: Debu Bercahaya - Noh Salleh

a)

Filem: Suatu Ketika
Tarikh: 17 September 2019
Waktu Tayangan: 7:30 PM
Lokasi: Hall 8, TGV KLCC
Cuaca: Jerebu

Hari ini berkali-kali aku buka aplikasi TGV untuk semak tiket tayangan Suatu Ketika. Selain dari hari ini, sudah tidak ada waktu tayangan yang sesuai untuk aku tonton lagi. Aku semak 2-3 lokasi yang bersesuaian. Kebanyakannya tayang pada waktu pejabat atau terlalu lewat untuk aku (9:00 malam dikira lewat). Aku ingin tonton tetapi aku tak pasti aku boleh sampai KLCC sebelum 7:30 malam atau tidak. Makanya, aku letakkan had masa untuk setiap langkah aku:
1. Aku perlu sampai KLCC jam 6:40 petang.
2. Aku mesti siap makan jam 7:00 malam.
3. Kemudian aku pergi beli tiket wayang di mesin.
4. 7:20 malam aku mesti di surau.
Semuanya rencana aku berjalan lancar. 7:40 malam aku tenang duduk di kerusi J8. 

Di belakangku, barisan hujung ada pasangan ayah dan anak. Selang dua baris dariku pula, duduk seorang gadis sedang makan spageti. Tepat di hadapanku, ada seorang lelaki, selang satu darinya seorang lagi lelaki. Di hadapan mereka, ada seorang lagi lelaki. 

Filem bermula.

***

b)

Menurut pendapat aku, Suatu Ketika adalah filem yang ringkas dari segi jalan cerita, cantik dari sudut visual. Aku akan perincikan hal ini dalam bentuk "Kelebihan" (apa yang aku suka) dan "Kekurangan" (yang boleh digarap dengan lebih kemas lagi):


Kelebihan

1. Pembukaan (Opening)

Filem dibuka dengan perlawanan bola sepak, kemudian watak Panjang mula menjadi narator. Keluar visual wajah 12 kanak-kanak lelaki yang membentuk pasukan bola Sekolah Ujong Pasir. Setelah itu, penonton dibawa mengelilingi Kampung Ujong Pasir melalui kampung, estet seterusnya sekolah. Sungguh cantik sekali pengenalan diberikan. Semua elemen yang membentuk filem ini diperkenalkan dengan teratur.


2. Tenang

Dalam filem ini tiada drama menjerit-jerit yang keterlaluan sehingga telinga menjadi bingit. Apabila si ayah marah, dia hanya bersikap dingin dan meluahkan melalui riak wajah. Begitu juga si ibu, tenang menjadi orang tengah antara kerisauan ayah dan keinginan anak. Mereka hanya mempamerkan melalui senyuman dan mata.

Malah, walaupun terdapat ketidaksefahaman di dalam pasukan bola sepak tersebut namun tingkah mereka tidak melemaskan. Boleh lihat contoh, bagaimana lembutnya rajuk kerana jawatan kapten pasukan terjadi.

Wajar menjadi tontonan untuk mood santai-santai.


3. Muzik

Satu lagi perkara yang menaikkan mood santai filem Suatu Ketika adalah muziknya. Dua OST filem ini; Ayuhlah dan Senja melengkapi visual yang diberikan.


Kekurangan

1. Cikgu Sulaiman dan Cikgu Rokiah

Watak Cikgu Sulaiman terlihat terlalu mendatar. Sehingga saat dia perlu mengetuai pasukan Sekolah Ujong Pasir, momen itu tidak terlihat mengharukan kerana ikatan antara watak Cikgu Sulaiman dan 12 kanak-kanak tadi longgar.

Watak itu terlihat sekadar ada tanpa fungsi yang cukup kuat. Sama seperti Cikgu Rokiah.

Ada baiknya, perhatian diberikan kepada ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir.


2. Pembinaan Karakter

Walaupun filem ini dibuka dengan baik dalam memperkenalkan watak-wataknya namun saat dipertengahan cerita ada watak yang tidak mendapat perhatian. Begini, biar aku catatkan watak yang aku ingat dan tidak.

Karakter yang diingati: Syukri, Panjang, Dol, Suresh, Kudin, Husin, Atan, Husin, Lee Meng, Guna.

Karakter yang kurang diingati: Tuah, Usop, Bakri.

Ada watak yang diingati kerana mempunyai karakteristik yang istimewa (contoh: Dol, Lee Meng) dan ada juga yang diingati kerana mempunyai screen time yang lebih serta pembinaan karakter yang lengkap (contoh: watak Syukri).

Perkara ini menjadi penting kerana ada susulan dari kisah mereka di zaman kanak-kanak ini. Ketika hal ini terjadi, kita berharap untuk lebih kenal dengan karakter semua ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir ini.


3. Promosi

Aku sempat mengikuti dua temu bual filem ini melalui Meletop dan Melodi, setelah selesai menonton filem ini, aku rasakan yang patut mendapat spotlight / wakil diajak ke temu bual adalah 12 pelakon yang telah menjayakan watak ahli pasukan Sekolah Ujong Pasir. Aku juga merasakan yang sepatutnya gambar mereka patut besar lagi di poster di sisi Pak Ad.

Sebenarnya, aku rasa macam dah lama juga tak ada filem yang fun-to-watch di mana kanak-kanak yang menjadi teraju utama. Jika aku diberikan pop kuiz untuk menyatakan filem Melayu yang menampilkan sekumpulan kanak-kanak sebagai bintang utama; pastinya aku akan menjawab Tentang Bulan (mungkin nanti aku akan teringat filem lain tetapi ketika itu pop kuiz telah pun tamat). Kini, aku tahu aku ada dua jawapan.

Kesimpulannya, Suatu Ketika adalah karya yang cantik tetapi tidak sempurna namun mempunyai banyak sinar potensi.

Untuk semua tenaga kerja Suatu Ketika, selamat maju jaya dalam karya akan datang!

***

c)

Dalam perjalanan pulang menaiki LRT aku sempat skrol Facebook. Ada luahan hati Prakash Murugiah (pengarah Suatu Ketika) mengenai waktu tayangan filemnya terhad di pawagam. 

d)

Keesokan harinya pula, disusuli dengan tawaran tiket percuma oleh pelakonnya, Farah Ahmad. Aku rasa Farah Ahmad selalu effort dalam hal-hal macam ni sebab seingat aku masa filem Jibam dulu pun dia ada buat benda sama.

9/14/19

Sembang Gebang “SANGKAR” bersama Farhan Ramli & Siti Amanda

Round 1


PANDANGAN/PENGALAMAN SINEMA KESELURUHAN ANDA MENONTON SANGKAR


PAAN: Semenjak filem Paskal aku dah tak percaya dengan promosi-promosi luar biasa yang kononnya filem ini mengangkat itu ini padahal yang diwarwarkan itu cuma tak sampai 20% daripada filem. Jadi untuk Sangkar ini aku dah tak nak terpedaya lagi jadi aku siapkan diri aku awal-awal dari ekspektasi yang terpesong disebabkan tipu daya promosi. Lagipun sebelum ke pawagam aku ada menonton beberapa review mengenai Sangkar di Youtube dan sempat jugalah aku tak suka seorang reviewer ini. 

Sangkar bagi aku umpama tidak diceritakan secara bersungguh-sungguh. Ceritanya tidak sampai kepada aku sepenuhnya. Aku tak ada masalah dengan genre drama bahkan aku sangat meminati genre tersebut. Lagipun filem ini genrenya Action Drama, jadi kau kenalah kenal genre dulu sebelum cakap pengarah memandai-mandai buat genre baru. Kalau nak aksi dua jam penuh pertarungan pergilah tengok MMA main event. Cuma untuk Sangkar, ada banyak kekurangan dari segi pembangunan ceritanya. Kabir seolah-olah tidak memberitahu kita apa yang sedang berlaku di dalam filem ini sepenuh hati dan hanya menyebut sahaja tanpa ada penjelasan dan penerangan. Kita cuma diberitahu itu ini tetapi tanpa dia menjelaskan. Umpama kita melihat persembahan magik. Tiba-tiba ada itu ini, tiba-tiba jadi macam itu macam ini. Walaupun kita tahu benda itu perlu ada, dan perkara itu perlu terjadi untuk membantu cerita tetapi adanya sesuatu itu secara ala kadar dan asal kena ada sahaja. Banyak hal yang berlaku di dalam filem ini membuatkan penonton termangu-mangu memikirkan apa sebenarnya yang berlaku. Paling tidak pun bagilah tahu kenapa Johan dihormati di tempatnya sehingga budak-budak panggilnya Bang Long siap datang minta maaf bersama mak. Takpun ceritalah sikit budak-budak rempit ni siapa dan kenapa kena serang dengan budak rempit lain.

Bagi lakonan pula aku puji Zul Ariffin. "Karakter ini memang kau yang punya Zul". Aku tak nampak orang lain yang boleh bawa watak ini selain kau. Pelakon-pelakon lain bagi aku okay je lakonan mereka. Cuma aku rasa lakonan mereka tidak dapat dibuat lebih lagi kerana faktor watak mereka yang tidak dikembangkan dengan baik. Watak tak berapa kuat. Tapi yelah kan, kalau pelakon itu bagus, keluar satu babak pun dah boleh bagi impak. Macam watak Pak Lang, Aman Graseka ada memberi kesan yang agak besar. Mira Filzah pun, tak baiklah korang kutuk dia macam berlakon drama melayu 7 petang. Kasi lah dia peluang, filem pertama dia berlakon. Tapi aku rasa taklah teruk sangat.

Babak-babak bromance antara Adam dan Johan aku suka. Mengingatkan aku kepada filem kegemaran aku dari Perancis bertajuk Intouchables. Aku yakinlah Kabir mesti rujuk filem ini untuk bahagian bromance dalam Sangkar. Korang tengoklah filem Perancis itu, korang akan faham maksud aku.

Kesimpulannya Sangkar tidaklah seteruk yang disangka kalau korang salurkan ekspektasi korang ke dalam saluran yang betul. Salah pihak filem ialah apabila mereka menggunakan promosi mengatakan ini adalah filem pertama MMA Malaysia dan pertarungan epik antara Zul Ariffin dan Remy Ishak. Sedangkan filem ini adalah drama dan perkara yang digembar-gemburkan itu tak sampai 20% pun di dalam filem.


MANDA: Panggung aku di GSC AEON Bandaraya Melaka. Ruang kaki yang selesa. 2 baris kerusi penuh dihuni muslimah. Alhamdulillah audiens tidak menjengkelkan dan pengalaman sinematik aku lancar.

Jangkaan aku pada Sangkar setelah menonton trailer menerbitkan perasaan 'Wow' namun ia bukan faktor dominan aku pergi menontonnya di pawagam. Aku pergi kerana kakak ipar sudi payung. Aku rasa malas nak tengok kerana cemburukan Mira Filzah berlakon di samping Remy Ishak. Ternyata, hubungan mereka adalah adik-beradik meredakan cemburu dihatiku.


AIMI: Untuk menonton Sangkar ini, aku elakkan untuk membaca atau menonton ulasan dari mana-mana medium. Aku mahu tontonan yang murni. Tontonan yang tidak menentang mana-mana pengulas filem online mahupun tercari-cari titik kesalahan atau babak filem yang disebutkan di dalam ulasan. Benda-benda macam ini bukan sahaja penilaian aku malah cara otak aku bekerja ketika sedang menonton. 

Jadi, aku pun segera ke pawagam berpaksikan trailer, TMO, OST serta promosi di media sosial memandangkan circle aku semua dah tonton filem ni. 

Untuk OST yang bertajuk FIGHTER (Aman RA) ni aku tak berapa berkenan sangat. Aku lagi suka lagu yang terpasang masa habis TMO Sangkar. Bunyinya macam ni, “pukul aku, pukul aku lagi …” 


Masa awal trailer ni muncul, aku terbeli bila melihat logo 4 penerbit; Primeworks, Astro Shaw, infinitus dan mm2 bekerja untuk satu filem. Aku terfikir besar ke MMA ni sehingga semua nak jadi penerbit. Aku bukan tahu sangat pasal MMA ni, tapi sempatlah buat homework sikit sebelum pergi wayang tu. Tapi yang lebih penting, aku jadi ingin tahu jenis idea macamana yang boleh mewujudkan kerjasama ini. 

Lagi-lagi bila nampak Primeworks dan Astro Shaw, aku tahu aku akan nampak iklan Sangkar di mana-mana.

Setelah menonton: secara keseluruhannya, aku suka filem ini. Masa keluar dari sinema aku tak dapat fikirkan nilai berapa bintang untuk aku bagi, aku juga tak tahu perasaan untuk filem ini ada di mana. Hanya ada rasa suka. Adakah sebab aku memang suka Remy Ishak? Hahaha!

Setelah bertenang, barulah aku dapat senaraikan kelebihan dan kelemahan filem ini. Dan ianya, debatable. Kita akan berbincang lebih lanjut. 

Salah satu perkara yang aku nampak debatable di online adalah Mira Filzah. Aku ada ternampak orang komen lakonan kayu apalah. Aku rasa okay sahaja. Just okay. Entah kenapa dengan tudung awning keras tu, aku nampak Ummi Nazeera pada Mira Filzah. 

Apa yang lebih aku nak sentuh adalah, watak Lea (Mira Filzah) ni buat aku debar. Benda ini berkait juga dengan hal bagaimana watak wanita digunakan dalam filem aksi atau filem yang didominasi oleh watak-watak lelaki. Kalau perasan dalam kebanyakan filem begini, watak wanita sering dijadikan watak yang buat “spoil” sesuatu keadaan ataupun dijadikan tebusan. 

Susah nak nampak yang watak wanita tu, bergerak cool sekali dengan watak lelaki-lelaki dalam filem tu. Aku sendiri tertanya mengapaaaaa. Adakah aku terlalu feminis untuk berharap semua ini terjadi? Aku rasa watak Raline Shah dalam Polis Evo 2 tu okaylah. Tapi time tulis ni, aku lupa pula apa pengakhiran watak Raline Shah.

Untuk filem Sangkar ini jelas watak Lea (Mira Filzah) ini akan mewujudkan elemen drama. Dalam trailer pun bila dengar suara Mira Filzah, “Semua terjadi adalah qada dan qadar Allah” jelas menunjukkan elemen drama yang bakal muncul di skrin. Dalam situasi ni, boleh dikategorikan watak Lea adalah watak yang akan “spoil” kan keadaan. Tetapi untuk Sangkar, aku rasa karakter Lea tak overdone. Aku rasa okay. Just okay. Dah tak debar.

Kredit untuk Sangkar, sebab awal filem mereka tunjukkan MMA fighter wanita. Jadi kau tahu, wanita ni ada juga dalam gelanggang bukan yang duk berbisik-bisik menggoda kat tepi telinga fighter, bookie je.

Untuk yang belum tengok dan perlukan bantuan untuk buat keputusan nak tengok Sangkar atau tak, sesuai ke tak dengan kau. Tengoklah dulu apa yang Kabir Bhatia dan 4 wakil penerbit cakap dalam TMO. Aku petik sikit apa Kabir cakap pasal filem ini dalam TMO ea, “I see this film as a bromance and then surrounded by the action.”

***

Round 2


AIMI: ASPEK/PLOT YANG ANDA HARAP DAPAT DIKETENGAHKAN DENGAN LEBIH BAIK LAGI DALAM FILEM INI.

PAAN: Aku mengharapkan kisah Adam dan Johan ini diceritakan lebih awal dari babak pertarungan di awal filem. Aku nak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara Adam dan Johan sampai mereka berseteru begitu hebat sekali. Kalau cerita mereka bermula awal, mungkin aku akan lebih kenal Johan. Aku nak sangat kenal dengan Johan sebelum dia bertarung dengan Adam.

MANDA: Babak hospital. Kalau Mira Filzah tak pandai jaga adik dan abang dia yang sakit, elok bagi pekerjaan tukang cuci ke, jual nasi lemak ke atau kerja 7-11.** 

Aku tak puas dengan watak Adi jahat tu. Carliff. Dia ada sesuatu yang durasi filem ni kekangkan. 

**(Maafkan penulis ni ada isu peribadi dengan lakonan Mira Filzah. Bukan Mira Filzah secara peribadi tetapi penulis ni yang ada isu peribadi. Mira Filzah tak kenal pun dia.)


PAAN: KAU NAK KENAL DENGAN LEBIH LANJUT TAK MENGENAI JOHAN? ATAU DIA DUDUK ATAS KERUSI RODA TU DAH CUKUP?

MANDA: Kenapa aku blushing ni dengan soalan ni? Aku rasa dah cukup. Johan ni baik, abang yang baik, kawan yang baik. Cukup dah. Lulus!

AIMI: Aku petik kelopak bunga "nak tahu ke tak, nak tahu ke tak".

Johan ni ringkas orangnya. Masa video intro MMA pun cakap sikit aje, "Tak yah cakap banyak. Tengok rekod 3-0."

Dia cukup hero masa babak, "Aku maafkan kau."

Jadi aku rasa cukuplah.

Cuma aku harap ada scene Adam dan Johan sembang pasal gelaran Jedi dan Ace. Aku cari maksud Jedi serta Ace dan dapat maknanya tapi itu yang aku tahu dari Google, aku nak versi yang dorang bagitahu aku. 


MANDA: KALAU KAU DIBERI PILIHAN UNTUK BUANG KARAKTER ANTARA LEA DAN REZA ATAU 2 KAWAN MMA FIGHTER ADAM TU, KAU NAK BUANG YANG MANA DAN KENAPA?

PAAN: Bagi aku setiap watak yang berada di keliling Adam dan Johan perlu ada kerana mereka membantu penceritaan. Tetapi kalau terpaksa pilih untuk dibuang aku akan pilih watak Lea. Kerana Lea di dalam filem ini tanggungjawabnya sebagai adik kepada Johan nampak terlalu lemah. Aku harapkan dia menjadi lebih lagi dan mungkin ada 'loveline' yang lebih ketara antara dia dan Adam. Tapi ianya tidak berlaku. Fungsi Lea sangatlah lemah. Lagipun kalau bayangkan jika Johan cuma ada adik kecil yang masih bersekolah, mempunyai sakit jantung pula dan terpaksa menjaga abang yang lumpuh seorang diri, itu lebih memberi kesan kepada penonton.

AIMI: Aku akan pilih untuk buang Lee. Sorry Lee. Sebenarnya, tak ada masalah pun dengan persembahan watak tu. Dia fun je. Cuma dari segi kepentingan dan fungsi, watak ini boleh je kalau digabungkan dengan watak Hafiz. Aku tak boleh nak buang dua-dua sebab Adam kenalah rakan industri walaupun dia suka describe dia tak ada sesiapa. 


AIMI: DARI SUDUT PROMOSI, SUDUT MANA YANG BOLEH BAHAGIAN PEMASARAN TONJOLKAN MENGENAI FILEM INI SEBAB SEKARANG TIMBUL ISU FRASA “FILEM MMA PERTAMA DI MALAYSIA” ADALAH SCAM.

PAAN: Apa yang pihak promosi buat dari sudut mengajak penonton ke pawagam dah berjaya. Aku tak rasa kalau dia buat selain ini, dan mengeluarkan terdahulu poster Adam dengan Johan dekat padang itu akan membuatkan filem ini jadi bualan orang kampung. Cuma dari sudut penonton, rasa tertipulah. Macam beli barang kat online pulak. Janji lain dapat tak setara dalam gambar. Manalah penonton tak tarik muka.

MANDA: Scam? Macam kena game? Aku tidak ada masalah dengam frasa "FILEM MMA PERTAMA DI MALAYSIA". Promosi dalam pengiklanan memang perlu scam. Cuma mereka tak panggil ia scam. Mereka panggil ni promosi. Haha. Boleh tanya budak advert kot.

Sangkar memang ada babak berlawan. Memang ada babak dia gelanggang, jurulatih dan ada cameo McSweeney. Suntikan genre drama memonopoli genre keseluruhan kerana ia genre popular. MMA PERTAMA adalah frasa promosi yang tepat dan gempak. Kalau kau nak tukar channel Astro terpampang juga penegasan menyuruh kau pergi menonton di wayang di ruang Info. Ia bukan scam pada aku. Mungkin yang kata frasa promosi ni scam adalah orang yang mudah koyak.


***


Salam Sembang Gebang!

8/12/19

Ehh Emel! #5: Subject: How wonderful life is while you're in the world! All about Rocketman!

From: Siti Amanda
Date: Aug 1, 2019, 8:26 PM
Subject: Rocketman betul-betul me-rocket
To: Aimi Rosli  

Di hujung entri blog kau yang lepas disisipkan nota "Manda, are you planning to watch Rocketman?"

Oh yeah I have watched Rocketman! 

Setelah kejayaan Bohemian Rhapsody (2018), kini giliran Elton John pula mengeluarkan filem menggunakan salah satu judul lagu beliau iaitu Rocketman.

Aku rasa penerimaan Bohemian Rhapsody (2018) ni menjadi penanda aras untuk produksi Rocketman (2019) ni ikut serta menerbitkan filem mereka.

Walau bagaimanapun, menurut sumber internet Rocketman memulakan langkah pada tahun 2001 manakala penghasilan filem Bohemian Rhapsody (2018) ni bermula pada tahun 2010 dengan "Freddie" yang bukan Rami Malek tetapi Sacha Baron Cohen. Pengarah pun 2 kali tukar. Siapa cepat dia dapatlah. Aku dapat rasakan hype yang berbeza untuk kedua-dua filem ni. (Okay ni bias).

Persamaan antara Bohemian Rhapsody(2018) dan Rocketman(2019) ni banyak.

1)Pengarah sama
Dexter Fletcher. Tapi untuk Bohemian Rhapsody Dexter Fletcher ni dapat title executive producer. Director diberikan kepada Bryan Singer sebab tak menepati Director Guild of America. Padahal Bryan Singer ni dia tarik diri dan diganti oleh Dexter Fletcher. 

2)Sama gay
Eh dua je? Kihkihkih. 
Dalam filem ni juga, ada karakter John Reid. Karakter John Reid ni ada juga dalam filem Bohemian Rhapsody sebagai manager. John Reid jadi manager diorang ni sekitar 70-an tapi Freddie pecat dia awal. Elton masih simpan dia sampai 90-an. Aku tak pasti apa isu diorang dengan John Reid ni sampai digambarkan dengan begitu jahat sekali. Si John Reid ni masih hidup berusia 69 tahun dan openly gay di Australia. Kasanova betul.

Bayangkan zaman diorang dulu sekitar 70−80-an, LGBTQ ni memang kena kecam habis-habisan. Terma "closet" digunapakai bagi individu yang menyembunyikan sexual orientation mereka. Sekarang dah okaylah semua dah pelangi-pelangi gitu.


Apa yang aku tak puas hati tentang filem ni, dia tak ada sarikata untuk setiap lagu yang disampaikan.

Sebagai bukan penutur Inggeris, aku kurang faham lirik-lirik puitis yang dinyanyikan. Aku rasa terabai. Lagu-lagu yang dinyanyikan pada setiap babak tertentu sudah pasti ingin menunjukkan perasaan dan emosi. Jadi, aku tak berapa nak dapat reaksi tu. Acting wise agak kurenglah. Ceh ceh ceh!

Hanya 3 lagu yang aku tahu;

1) Sorry Seems To Be The Hardest Word - Ni pun sebab ada duet dengan boyband Blue yang nyanyi lagu All Rise. 

2) Your Song - Haha aku ingat lagu ni tajuk dia I hope you dont mind. Aku rasa aku tau lagu ni sebab dia ada dalam album kompilasi greatest love hit of all ke apa entah yang selalu keluar kat iklan tv dulu. 

3) Tiny Dancer - Sebab ada dalam filem Almost Famous(2000).

Lagu Rocketman aku tak pernah dengar. Tapi bila baru dengar ni macam ada bunyi Major Tom.

Lagu Major Tom lebih banyak digunapakai sebagai tribute dalam filem. Mungkin sebab David Bowie dah tak ada kot. You don’t know what you have until it's gone. 

Lirik dia semua ditulis oleh Bernie Taupin seawal usia 17++ tahun dan masih bekerjasama sampai sekarang.

Aku tak puas hatilah kenapa Bernie Taupin ni tak sepopular Elton John. Jadi aku pun dengar salah satu lagu yang ditulis Bernie Taupin tapi dinyanyikan oleh Alice Cooper. Tajuk dia From The Inside. Ha kau dengar sendiri lepas tu nilaikan. Pelik gila.

Elton John ni tangan dia memang power ah.

Filem ni muzikal biopik. Jadi jangan terkejut kalau tiba-tiba dia menyanyi macam cerita hindustan. Ala banyak je lagi kan filem muzikal macam tu. India lagi lah hampir semua filem dia muzikal. Aku cakap macam ni sebab aku terkejut. Aku tak biasa tengok filem muzikal ni. Rasa nak ketawa je.

Ada beberapa orang yang aku rasa suara dia tak sedap... Pada akulah.

Well, selepas Tiny Dancer, sekarang giliran Your Song untuk bertakhta dihatiku. How about you Aimi?

What is your next film?

Cewah!

P/s: Aku juga berharap nak pergi Jepun.



---


From: Aimi Rosli 
Date: Aug 12, 2019, 12:26 PM
Subject: Rocketman; Tari-tari Fantasi Visual
To: Siti Amanda

Awalnya, aku keliru antara menulis pengalaman aku menonton Rocketman atau baca e-mel kau terlebih dahulu. 

Sambil menunggu LRT, di kawasan yang line tak berapa baik ini. Aku memutuskan untuk menulis pengalamanku terlebih dahulu.

Pertama sekali, sepanjang cerita aku ternanti-nanti lagu I Guess That's Why They Call It the Blues dinyanyikan. Malang sekali tiada. Lagu ini telah dinyanyikan dengan baik sekali oleh Alessia Cara dalam album Revamp. Album ini menampilkan artis popular masa kini menyanyikan semula lagu-lagu Elton John.

Aku sebenarnya tidaklah begitu mengenali sosok yang bernama Elton John. Hanya bila Sorry Seems to Be the Hardest Word dinyanyikan bersama Blues, barulah dia "wujud" dalam kotak informasiku. Dan apabila releasenya album Revamp: Reimagining the Songs of Elton John & Bernie Taupin pada tahun 2018 barulah aku menyedari, oh, ada lagi lagu dia yang aku tahu.

Yang kedua, aku rasa lagi Your Song patut adalah versi grand sikit dalam filem ni. It's really a beautiful song tau!

Okay sekian bab lagu.

Aku lanjutkan kepada bab filemnya pula. Filem dibuka dengan imej Elton John yang sangat menyerlah. Baju oren siap lengkap dengan topi bertanduk macam Maleficent diiringi dengan muzik latar. Aku rasa sesuatu yang "besar" bakal dibawa oleh filem ini. Kemudian, bergerak pula pada babak di mana Elton budak dan Elton dewasa sahaja yang mempunyai warna menyerlah dalam babak itu. Aku sudah mulai suka "look" filem ini.

Cuma masa Elton dan Bernie bercakap-cakap atas bumbung rumah sewa aku macam dah down sikit sebab terfikir, aduh mudah sangat pula dorang ni. Rupanya, okay ... phew, selamat! Nota: Pemeran Bernie Taupin sedap mata memandang.

Aku sukalah presentation muzikal cerita ini. Aku sebenarnya tidak menjangka ini adalah dalam filem ini Elton benar-benar dilancarkan sebagai roket. Mungkin kerana dalam trailer elemen fantasi itu agak tersembunyi.

Di dalam LRT aku tonton semula trailer dan baru perasan pada sinopsisnya (di description box) ada tulis "epic musical fantasy". Sebelum ini, aku hanya tengok trailer sahaja. Dan memang aku hadkan diri aku dari membaca membaca mengenai Elton John dan filem ini, supaya aku bebas dari pengharapan atau pagar-pagar fakta. 

Aku beranggapan pagar-pagar fakta ini selalunya akan menghalang untuk melayan/menilai filem dengan terbuka kerana sibuk membandingkan dengan kejadian sebenar. Jadi aku tak benarkan hal ini terjadi kepadaku.

Antara babak aku gemari adalah persembahan muzikal saat Elton menelan berpuluh pil, kemudian ditolak atas katil beroda di atas lalu bersiap, terus muncul di pentas. 

Aku rasa remake MV I'm Still Standing ni saja-saja je, buat bahan semua krew filem bergembira. Tom Egerton HD semacam. Haha!

Okaylah, aku nak tengok Carpool Karaoke James Corden bersama Elton John yang mungkin sebelum ni telah aku abaikan episodnya.


- Aug 5, 2019, 11:36 PM

---

Melalui Whatsapp, tindakan aku untuk tidak membaca e-mel kau terlebih dahulu sebelum menonton dan membuat catatan bukanlah lagi rahsia. Jadi sempena cuti raya haji ini sambil menunggu Singgang Daging masak, aku duduk membaca dan membalas e-mel kau. 

Lepas tengok Carpool Karaoke hari tu, aku tak move on dengan fakta Bernie tulis lagu Your Song masa umur 18. Ahhhh, genius.

Anyway, I'm so glad that you wrote the similarities/comparison between Rocketman and Bohemian Rhapsody. Cause I didn't have a chance to watch Bohemian Rhapsody. Filem ini keluar dalam jarak masa agak dekat jadi macam agak sukar mengelak perbandingan. Nak pula, dua-dua jenis menceritakan lagenda muzik Barat. Bohemian Rhapsody pula dari satu sudut sangat memberi impak. Di mana-mana orang membincangkannya. Boleh jadi kerana terlalu suka atau tidak begitu suka dengan olahannya tetapi semua yang menonton pasti ada perkara ingin diperkatakan mengenainya.

Bercakap mengenai lagu yang menambat hati aku setelah menonton Rocketman, aku tertarik kepada lagu I Want Love. Aku suka lirik-lirik lagu ini dipecahkan kepada watak-watak mengikut keinginan mereka. Aku tak pernah dengar lagu I Want Love sebelum menonton filem ini. Jadi ini versi filem ini adalah versi yang aku cari untuk dengar semula. MV versi asal (Elton John), Ironman (Robert Downey Jr.) tau berlakon.

Aku dah tengok Boboiboy 2! Tapi aku akan hantarkan pandanganku dalam e-mel yang lain. Mungkin e-mel setelah menghirup kuah Singgang Daging. Haha! 

Next movie? Hmm, mungkin Sangkar, Ejen Ali.

Yang pasti Suatu Ketika! Dua OST filem ini yang aku dengar dari Instagram GSCMovies; Ayuhlah - Zainal Abidin, Senja - Viona telah membuat aku kunci filem ini dalam senarai "mesti tonton" aku. 

Selamat Hari Raya Aidil Adha! 

7/28/19

Ehh Emel! #4: Subject: Annabelle Comes Home, Happily Never After dan Tutorial “Edit Subject” di Gmail

From: Siti Amanda
Date: Jul 21, 2019, 2:20 AM
Subject: Annabelle is Coming Home
To: Aimi Rosli  

Yuna sekarang aku dengar album Decorate (2010). Sebab ada versi Decorate yang panjang. 

Aku masih agak canggung mendengar Rouge. Malah secara menyeluruh aku rasa agak sukar untuk aku menerima muzik baharu. Ia mengambil masa untuk aku hadam. Melainkan lagu Sumpah oleh Naim Daniel dan Kisah Cinta Kita oleh Hafiz Suip. Hihi.

Sebelum tu Aimi, aku nak tanya. Jack Malik yang kau maksudkan dalam artikel lepas tu, Jack Malik Ipoh yang persembah puisi persis Pak Agi ke? Atau ia hanya sebuah karakter dalam filem Yesterday?

Dan juga bagaimana ya aku nak tukar tajuk email aku ni sebab bila aku reply, aku tak jumpa mana nak edit subjek. Last-last aku edit dalam body email je lah.

Aku menonton Annabelle Comes Home dua kali. Satu orang belanja dan satu lagi aku tebus tiket hari jadi. Sebab selected movie untuk ditebus semua aku dah tengok. Pfftt. Boring July.

Aku tahu kau tak suka cerita seram tapi aku pasti kau tahu tentang Conjuring Universe ni. 

Baiklah. Annabelle Comes Home ni pada aku filem seram yang lucu dan melelahkan. Adakah lelah kerana faktor usia? Aku tak fahamlah umur lewat 30-an ni memang buat kita penat ke? Kita beza setahun je aku yakin kau boleh relate.

Biasalah dalam filem seram ni akan ada satu karakter yang buat penonton kata "JANGAN MASUK! JANGAN BUKA PINTU! JANGAN GEDIK BOLEH TAK?!"

Ya. Karakter tersebut ada dalam filem ni. Malah bagi aku tunjang utama bagi sesebuah filem seram bukanlah hantu atau penyelamat. Tunjang utama filem seram adalah PEMBAWA MASALAH. Filem ini tidak akan bergerak ke fasa konflik sekiranya PEMBAWA MASALAH ini tidak bertindak bodoh dengan menyatakan "Opss I did it again".

Aku tak nak sebut nama watak sekian-sekian. Nanti dah tak serramm.

Apa yang seronoknya, kau tak perlulah nak ingat filem-filem sebelumnya walaupun ia mempunyai kesinambungan terutamanya dari segi kemunculan epik hantu-hantu terdahulu. 

Dia jadi kucar-kacir bila banyak sangat hantu nak kena “suci”kan.

Okay tu je aku nak cakap.

Oh ya. Aku dah tengok juga treler Gundala. Babak kena petir tu aku teringat XX Ray 3. Hihihi.

Mulai hari ini, aku akan hantar e-mel kat kau setiap kali aku menonton wayang. Sesungguhnya penangguhan itu sesuatu yang merugikan. 

---

From: Aimi Rosli  
Date: Jul 28, 2019, 2:00 PM
Subject: Happily Never After

Aku mulakan pagi hujung minggu dengan santai. Membelek-belek buku Avon milik mak aku. Kemudian menonton Jalan-jalan Makan Angin di TV3. Ahh, aku juga berharap suatu hari aku dapat ke Jepun.

Seterusnya, aku meneruskan hari yang santai dengan menonton cerita light romantic bertajuk Happily Never After di iFlix.

Aku akan ceritakan nanti. 

Sebab aku tengah dalam mood untuk memberikan tutorial "Edit Subject" e-mel pada kau.

Oh, sebelum itu, bagi menjawab pertanyaan dalam e-mel kau yang lalu: Jack Malik adalah nama kepada karakter utama dalam filem Yesterday, tidak ada kena-mengena dengan mana-mana figura di Malaysia dalam konteks ini.

Dan aku juga tengok trailer Gundala kembali untuk lihat apa yang kau katakan! Hikhik, yang kena petir tengah jalan tu kan! Macam imej poster XX Ray 3.

Baiklah, kembali kepada objektif kita untuk "Edit Subject" e-mel. Perkara ini boleh dilakukan dengan 3 langkah mudah:



1. Skrol ke bahagian bawah e-mel, kemudian klik "Reply".


2. Kemudian, klik pada anak panah di sebelah nama penerima e-mel anda. Akan muncul drop-down menu. Pilih "Edit Subject".



3. E-mel anda akan muncul begini dan tadaaaa ... bolehlah Edit.


Kembali kepada cerita Happily Never After tadi ... Aku rasa ini adalah tv movie. Haha, jenis-jenis yang ditayangkan di DIVA. Mengisahkan Kate (penulis novel crime, "King of Crime") dan Josh (penulis buku kanak-kanak, "Jimmy Sweatsock")yang dahulunya merupakan pasangan kekasih dan pernah bersatu untuk menulis sebuah buku kanak-kanak bertajuk "Magic Cellar".

Setelah 4-5 tahun tidak berbicara atau cuba move on tiba-tiba Gene dari syarikat penerbitan, Roxbury Publishing menyatakan hasrat bahawa "Magic Cellar" memerlukan sekuel. Jeng jeng jeng! 

Dalam cerita ini bukanlah mengenai 2 orang ini sahaja. Ada lagi watak-watak lain. Pastinya, kawan Kate dan Josh. Antara isu yang diutarakan dalam cerita ini adalah:

1- Vic seorang polis yang mahu dilihat lebih dari seorang anggota beruniform dalam kehidupan harian.
2- Nate jatuh cinta tapi tak cakap.
3- Rob dan Cara yang cuba merencanakan kejutan sesama sendiri sempena ulang tahun perkahwinan pertama mereka.
4- Josh vs syarikat merchandising - Syarikat merchandising beli karakter dari buku "Jimmy Sweatsock" karya Josh tetapi mereka telah ubah karakter tu kepada jadi lain terus dari karakter sebenar.
5- Kate hilang spark dalam penulisannya jadi syarikat penerbitan tu macam tak nak terbitkan manuskrip dia.

Macam banyak pulak ek going on. Hahaha! Masa tengok rasa ringan je.

Anyway, glad to see watak penulis dalam cerita ni bukan yang mabuk, merokok, loner, hidup dalam timbunan kertas. Gaya hidup dorang agak sihat.

Manda, are you planning to watch Rocketman?

7/27/19

Sembang Gebang “The Negotiation” bersama Farhan Ramli

Now Playing: Best Part - Daniel Caesar ft H.E.R.


Salam Sembang Gebang!


Pelawaan aku untuk episod kali ini disambut baik oleh Farhan Ramli a.k.a Paan walaupun dia mungkin sedang sibuk dengan ruangan barunya #SeminitMasak

Jemput baca perbualan kami.

P/s: Ingat nak letak hashtag #SeminitBaca tapi aku rasa paling-paling 6 minit kot. Haha!

***

SINOPSIS THE NEGOTIATION: Akibat satu kes rundingan yang tidak berjaya, Inspektor Ha dari pasukan Perundingan Krisis Seoul nekad untuk meletakkan jawatannya. Tiba-tiba Pesuruhanjaya Keselamatan Negara memanggilnya kerana terdapat situasi tebusan rakyat Korea di Bangkok. Salah seorang yang dijadikan tebusan adalah ketuanya, Kapten Jung.

Inspektor Ha kini perlu berhadapan dengan Min Tae-gu untuk mengetahui tuntutan dan motif sebenarnya di sebalik situasi ini.

***

Sesi 1: Aimi ➡ Paan

AIMI: The Negotiation adalah sebuah filem yang ... 

PAAN: The Negotiation adalah sebuah filem yang menyeronokkan bagi orang yang nak tengok pihak atasan atau orang yang mempunyai autoriti tinggi dimalukan dan dikenakan cukup-cukup atas jenayah yang mereka lakukan selama ini yang boleh disembunyikan dan terdiam begitu sahaja kerana ada kuasa.


AIMI: Apa faktor anda menonton filem ini?

PAAN: Well, kau kenal aku kan. Aku memang minat filem Korea. Actually dah lama nak tengok tapi tak berkesempatan. Sejujurnya, aku dapat tengok akhirnya, kebetulan Astro bagi saluran percuma sementara dan cerita ini ada ditayangkan.


AIMI: Kongsikan pendapat anda mengenai watak Min Tae-gu.

PAAN: Aku suka giler kat watak Min Tae-gu. Bukan sebab dia jahat, berkarisma atau cool giler dia jadi jahat. Tapi aku suka villain yang mempunyai motif yang besar dan jelas kenapa dia membuat sesuatu perkara jahat. Kalau perasan motifnya sangat jelas dan sedikit pun tak lari dari awal sampai habis.


AIMI: Adakah dapat meneka situasi sebenar yang perlu ditangani oleh Inspektor Ha dengan mudah?

PAAN: Percayalah kalau korang selalu tengok filem Korea, a minute after you saw watak orang berjawatan tinggi kau boleh agak. Haha. Tapi tak adalah sederap terus dapat tangkap the whole situation tapi itulah yang bagus pasal filem ini, kau akan dapat maklumat sedikit demi sedikit dalam kadar yang bersesuaian dari awal sehingga habis filem.


AIMI: Perkara yang anda suka/tidak suka mengenai filem ini.

PAAN: Jujurnya aku suka keseluruhan filem ini. Walaupun nampak macam cerita berat tapi kadar beratnya tidak terlalu membebankan semasa menonton. Dan aku antara orang dalam jawapan yang aku beri di soalan nombor 1.



Sesi 2: Paan ➡ Aimi

PAAN: Kalau kau perasan Ha Chae Yoon dalam filem ini rundingan dia bersama penjenayah tak pernah berjaya sedangkan kita diberitahu dia seorang perunding yang mahir. Kau rasa kenapa begitu?

AIMI: Sebenarnya, semua orang nampak potensi Inspektor Ha. Namun disebabkan Inspektor Ha menjadi boneka dalam permainan orang atasan, dia gagal untuk menjadikan situasi itu berpihak padanya walaupun telah membuat tindakan yang betul. 

Sebab itu mereka sering berkata pada Inspektor Ha, "jangan resah, awak telah buat dengan baik".


PAAN: Kau rasa Son Ye Jin cantik tak?  Hihi. Dia sesuai ke bawa watak Ha Chae Yoon?

AIMI: Masa awal aku tengok trailer, okay je. Aku pun tak pernah ke Korea jadi tak tahu stereotaip rupa polis atau rakyat Korea sangat.

Ketika pembukaan cerita, saat dia turun dari kereta ... aku mula berfikir, "Eh ini ke watak utama? Lawanya polis!"

Tapi babak pertemuan awal dia dengan Min Tae-gu, Min kata, "Orang selalu kata awak ini cantik orangnya tetapi pada saya awak biasa-biasa saja."

Sesuailah orang lawa dipilih untuk karakter Inspektor Ha ini.

Sebenarnya, kalau tengok ekstra perempuan dalam bilik operasi tu semua pun lawa.


PAAN: Watak yang kau paling suka dalam filem ini. Kenapa?

AIMI: Selain dua watak utama aku memilih - Superintenden Ahn-Hyuk-su. Walaupun pada awal filem kebolehan kepolisiannya nampak diragui tetapi setelah cerita berjalan wataknya mula berfungsi. Tiada lawak slapstick atau aksi huru-hara yang membuang masa. 

Tidaklah jawatan "superintenden" itu menjadi sesuatu yang sia.


PAAN: Pendapat kau, kenapa banyak filem Korea yang bertema "against their governments"?

AIMI: Wah aku tak pasti pula mengenai hal ini. Sebab kalau berdasarkan beberapa kerat filem Korea yang aku tonton sebelum ini, aku rasa mereka mengangkat tema nasonalisme.

Mungkin berkait dengan situasi politik dan undang-undang negara mereka.


PAAN: Kalau suatu masa nanti penggiat filem tempatan mengangkat tema sedemikian dan kita sebagai penonton dilambakkan dengan filem-filem sebegini, apa kau rasa?

AIMI: Bagus sebab selalunya filem mahupun apa-apa isu yang diangkat ke medium video atau gambar akan lebih cepat mendapat perhatian. 

Aku berpendapat kadang-kadang bukanlah orang malas membaca atau ignorance terhadap sesuatu perkara tetapi mereka tidak terdedah mengenai sesuatu hal itu. Jadi, dia tak ada tempat untuk bermula.

Dari pendedahan topik begini melalui filem dapatlah budaya membaca, menulis, perbincangan mahupun wacana boleh diperkembangkan lagi. Melahirkan masyarakat yang cakna isu semasa dan berfikir gituh.

Contohnya: Bila ada filem menyebut "Dari Kisah Benar" - pengkritik filem akan memberikan pandangannya, orang akan mencari kisah benar tersebut, fakta atau auta, undang-undang di sebalik kejadian, pelbagai artikel akan ditulis, thread Twitter dll. Mewujudkan perbincangan dalam masyarakat. 


PAAN: Aku nak suggest satu filem Korea aku baru tonton. Best kelakar - The Dude in Me.

AIMI: Aku minat nak tengok Mal-Mo-E: The Secret Mission pula lepas ini.


***

Dalam menulis aku rasa aku terlalu banyak sangat nak guna perkataan "namun" dan "tapi/tetapi". Aku perlu cari alternatif baru untuk menyatakan pendapat/ayat aku.