12/17/15

24

Back to Back: Love Yourself - Justin Bieber, Cakerawala - Eyza Bahra


I

Hari tu ada sekumpulan pelajar datang melawat tempat kerja aku. 

Aku pun terangkanlah skop kerja aku dan kerja apa aku buat. Bertubi-tubi jugak soalan aku dapat. 

Dengan kerja yang tengah bersusun atas meja, aku steady jawab semua soalan dan jadikan kerja-kerja tu semua sebagai contoh.

Sebelum mereka pulang, aku bagi peluang untuk soalan terakhir. Salah seorang pelajar tampil bertanya, "Tapi kann akak ... Akak umur berapa? Sebab akak nampak muda."


II

Balik kerja aku singgah beli kebab kat sebuah gerai yang femes. 

Haa, gerai tu pernah masuk The Vocket.

Sambil menyediakan Mixed Kebab yang aku minta tadi, abang kedai tu interview aku dengan pelbagai soalan. Sampailah...

"Awak kerja ke belajar?"

"Kerja." Aku jawab dengan tenang sambil melihat abang tu membalut kebab aku. 
Aku dah kecur air liur.

"Eh ... tapi awak nampak muda?!"

"Err ... sebab saya baru kerja ..."

Hari tu kawan-kawan sekolah aku buat birthday suprise untuk aku.
Masa tu aku tak dapat react sangat (lagipun masa tu selsema)
tapi feeling di awang-awangan sampai hari ni. Terima kasih semua!

Orait, aku nak kena tidur dah ni. Nak kekalkan kemudaan aku! Haha!

12/6/15

Rumah Sewa #5: Klinik

Baiklah, masa belajar dulu mungkin terlepas pandang sikit elemen kesihatan dalam faktor pemilihan penempatan ni. Nak pula, universiti ada sediakan perubatan percuma melalui khidmat Pusat Kesihatan.

Aku bertuah sikit sebab ayah aku kerja kawasan sama dengan tempat aku belajar. Jadi, kalau teruk-teruk sangat aku SOS je ayah aku untuk bawa aku balik.

Dan masa tu juga, aku masih di bawah biayaan elaun perubatan syarikat ayah aku kerja.

Baru-baru ni aku dapat medical card dengan buku senarai klinik dan hospital panel.
Aku tak sempat tengok buku tu sampailah bila aku jatuh sakit dan tak larat untuk cari satu-satu kat mana klinik panel tu. Barulah sibuk nak buka buku tu.

Satu malam, aku ada dinner dengan Diah, Paan dan Manda. Aku memang rasa tak sedap badan dari pejabat lagi. Kepala aku sakit, badan aku pula tak tahu sejuk atau panas. Aku tak dapat tentukan suhu biasa atau tak, sebab pejabat aku memang sejuk semacam.

Masa makanan sampai, aku tetapkan hati dan berkata, “Aku memang tak sihat ni. Esok aku nak MC lah.” 

Dengan sedikit background perubatan Manda meletakkan tengannya di dahi aku dan berkata, “Kau demam ni. Kena pergi klinik.”

Dengan tenaga yang sedikit aku berkata, “Weh! Tapi aku lupa gila cucuk duit. Bil klinik sekarang standard berapa?”

Dengan pengetahuan jalan jalan di KL Paan berkata, “Kalau kau nak, hospital ada kat sebelah ni. Aku rasa medical card kau boleh kot.”

Dengan sedikit kemahiran dalam bidang motivasi Diah berkata, “Tak apa, ktorang ada lah.”

Lalu, kami tinggalkan kedai makan dan berjalan kaki ke hospital.
Salah satu sebab aku setuju ke hospital tu sebab aku pernah terdengar akak-akak pejabat sebut nama hospital ni masa anak dorang sakit.

Tiba di kaunter hospital, aku serahkan medical card. Akak kaunter berkata, “Tunggu sekejap. Saya kena check status kad ni dulu.”

Setelah beberapa ketika akak kaunter tadi berkata, “Kenapa adik tak ke klinik depan sana je? Kat sana semua terus free. Tak payah advance and claim macam sini.”

Aku tercengang dan tak dapat berfikir langsung. Lagipun aku tak biasa dengan area (dan juga prosedur ke klinik mahupun hospital) ni, "Saya tak tahu. Saya sakit, saya datang jelah. Saya baru dapat kad ni..."

Keluar dari hospital tu aku masih sempat bergurau dengan kawan-kawan, “Akak tu mesti bisik dalam hati kan ‘Budak ni baru dapat medical card main testing sana-sini pulak’.”

3 hari lepas tu, aku tak bergurau langsung.

Pesanan aku adalah … Selain kenal pasti kedai runcit, kedai makan, shopping mall (tempat terapi), kemudahan pengangkutan, balai polis dan lain-lain, jangan lupa untuk kenal pasti klinik mahupun hospital di kawasan rumah sewa nanti.

Klinik Gigi jangan lupa! Penting!

 Jaga kesihatan semua.


Rumah Sewa: #1, #2, #3, #4

11/30/15

Pang pang Kompang Kompang

Baru-baru ni jabatan aku bergolak. Tak tahulah duk jerit pekik hal apa. Last sekali aku fed up, aku amik helmet sebelah aku dan baling ke tengah-tengah jabatan.  Haa, baru tahu semua diam!

Kah kah, angan-angan je tu.
Aku tak pernah ada helmet pun.
Saja aku nak gempar bos yang curi-curi baca blog aku ni (ini juga khayalan aku).

Aku nak tulis tentang menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan tapi tiba-tiba teringat pula bos yang suka mengusik dengan, "eh awak mohon cuti lama-lama ni nak kahwin ke?", "haa, awak bertunanglah dulu" tanpa angin dan ribut.

Teringat pula masa lepak-lepak dengan Paan, Diah dan Manda. Masa Paan berkata, "Peh, kita ni dah sampai umur untuk bincangkan hal-hal macam ni (kahwin) kan."

Pantas waktu kan berlalu...

Semalam merupakan perkahwinan kawan sekolah aku. Zakiah, namanya. Masa sekolah dulu dia ni presiden persatuan Pandu Puteri. Aku pula AJK. Kiranya salah satu ketua antara kumpulan yang dibahagi dengan nama-nama bunga yang ada. Kami pergi berkhemah sampailah ke peringkat negeri. Setiap kali sesi baru, Zakiah akan perkenalkan diri dan AJK di hadapan ahli persatuan. Lepas tu, aku pula akan cerita kisah Lord Baden Powell dan Olave Baden Powell. Jangan buat aku mula tentang kisah cinta pasangan ini dan macamana tertubuhnya Pandu Puteri.

Perkahwinan Zakiah bukanlah yang pertama dalam kawan-kawan sekolah. Tapi ini adalah majlis akad nikah pertama yang aku hadiri. Kemudian, aku pula kali pertama juga jadi “Dulang Girls”. Masa Mas Whatsapp aku cakap tak dapat datang kenduri, aku kongsilah tentang tugas aku di hari akad nikah Zakiah.

Mas kata, “Tahniah, dapat juga kau jadi yang pakai lawa-lawa tangkap gambar tu. Haha.”

Aku bercanda membalas “Pakai lawa-lawa je ke? Maybe memang lawa.”

Majlis pernikahan sebelah pagi diikuti dengan majlis resepsi di dewan sekolah pada tengah harinya. Atas sebab lokasinya yang dekat, ramailah rakan-rakan sekolah datang berhimpun untuk bersua muka dan meraikan penyatuan dua hati. Masa beratur untuk ambil gambar dengan pengantin atas pentas, terimbau pula memori beratur nak ambil sijil/hadiah atas pentas dulu.

Dan seperti biasalah, bila menghadiri majlis perkahwinan ni lazimnya ada dua soalan umum; “kau kerja kat mana?”, “kau bila lagi?”. Biasanya akan dimulakan dengan, “Amacam sekarang? Sihat?”

Tips; kalau dengan kawan-kawan yang 10 tahun tak jumpa, jawablah dengan betul-betul. Supaya tak menimbulkan kekeliruan. -- Padahal sebenarnya bermula dari situ, bermulanya point gurauan baru macam zaman sekolah.

Kalau dengan yang walaupun tak selalu jumpa, tapi selang raya sempat juga bertemu mesra bolehlah main-main.

Contoh; Amir dengan selambanya berkata, “Aimi, kau ni bahagia ke sekarang? Dah ada double chin pulak.”

Aku in denial, “Eh ye ke? Hmm.”

“A’ah, doh. Double chin.” John menyampuk.

“Haa, kau ni elok jugak datang kenduri. Kerja dah ok ke? Tak ada eyebag pun.” Aku balas John. Haa, “eyebag” tu sebab status-status dia yang selalu kena stay kat ofis buat design.

“Kau jangan tanya aku pasal kerja, darah aku boleh jadi panas.” John membalas. 
Nasib baik dia senyum lagi, kah kah, bimbang juga dewan sekolah tu terbakar dek darah panas tadi.

Tapi yang tak boleh blah sekali, masa duduk dalam bulatan di meja ketika sedang makan. Masing-masing sedang berbalas, “Kau bila lagi? Kau bila lagi?”

Aku diam sambil makan papadom dan cuba merasa selamat.
(Tips; diamkan diri.)

Sampailah bila Mihlyle tersedar dan berkata, “Weh, apahal tak ada orang tanya Aimi?”

Dan semua mata tertumpu pada aku!

***

"Woi!" Satu suara menyusup masuk ke telinga. "Ada lagi tak correction ni?"

Aku tersentak. Aku susun manuskrip yang memenuhi meja, "Sorry, sorry ... Aku berangan tadi."

"Kerja dalam penerbitan ni memang buat kita banyak berangan."

"Tak kerja penerbitan pun, aku memang suka berangan."


***

Song of the Week; When We Were Young - Adele

11/27/15

Aimi dan Manda Pergi Ke FFM 27

Aku ambil masa yang lama untuk tulis tentang hal ni, sampai Polis Evo pun dah habis tayang kat wayang. Lama jugak tayangannya. Sempatlah aku luangkan masa tengok kat wayang. Harimau tidur telah dikejutkan, jadi apa langkah seterusnya?

Setelah aku lapangkan kepala aku dari benda-benda yang datangnya dari pejabat, barulah aku dapat menulis. 

Satu kau kena tahu, aku tulis pos ni sambil berdiri dalam KTM dari KL Sentral ke Shah Alam. 

***
Aku rasa agak bertuah sebab hadir ke satu acara bacaan puisi malam minggu itu. Itu adalah acara yang sama aku berjaya dapatkan buku yang diidamkan; Melihat Api Bekerja. 

Secara tak sengaja, akak pejabat aku telah menawarkan 2 tiket FFM. Macam bermimpi juga sebab ada juga momen aku berfikir, "Takde ke pertandingan aku nak masuk menang tiket free ni?"

Jadi , bila aku dapat tiket tu aku cepat-cepat Whatsapp kawan-kawan terdekat aku. Aku betul-betul harap ada yang dapat pergi.

Ahha, Manda dapat pergi!

Tapi acara tu malam Sabtu. Siang harinya, ada kenduri yang mesti kami hadiri di lokasi masing-masing.  Dua-dua lokasi itu juga, memerlukan 2 jam untuk sampai ke KL. Dan untuk menghormati majlis, kami pun nak jugalah ikut tema "Batik Glamorous" yang tertulis pada kad jemputan (tiket) tu.

Seating bermula 7.30. Acara bermula 8.30.  Jadi aku fikir kalau sampai dalam pukul 8.00 nicelah! Maghrib agak awal masa tu, jadi aku berencana maghrib di rumah sewa saja. Lebih mudah.

Sedikit fakta; (1) dalam kawasan Plenary Hall tu ada surau. (2) untuk sampai ke Plenary Hall boleh lalu laluan yang sama dengan jalan nak ke Aquaria.

Untuk aku yang tak tahu fakta kedua, aku lalu bahagian luar, iaitu taman yang gelap dan semua orang berjalan bertentangan arus dengan aku. Aku macam, betul ke niiii.

Mujur, ada anak panah.

Aku jalan agak laju di taman tadi, jadi agak janggal dengan suasana elegan sebaik sahaja sampai ke dalam dewan.

Acara hampir bermula. Tapi Manda masih belum sampai. Aku agak cemas tapi dikawal dengan bersandar di kerusi sambil memegang Melihat Api Bekerja. Lagipun dia dah mesej, "Doncha Givap on Me!"

Dalam masa yang sama, mata memerhati Mamat Khalid, Izara dan Adib, Nadia Mustafa lalu lalang di hadapan aku. Aku lebih kepada mencari kelibat Manda sebenarnya. 

Beberapa lama kemudian, Manda sampai dengan baju bersayap. Kami pantas berjalan mencari pintu masuk ke dewan. Mula-mula rasa tak percaya juga takkan masuk sama pintu dengan Joe Flizzow dan Sonaone.
Tapi masuk jeleeee. Lambat dah ni.

Seterusnya, kami hampir masuk ke tempat duduk sebaris artis tanah air.

Mak guard pun seakan-akan tak menghalang tindakan kami. Mungkin sebab baju Manda yang glamor. Tapi sebab kami sedar diri, kami menyerah dan tanya pintu yang betul untuk kami. 

Kami akhirnya dapat tempat duduk. Agak tinggi juga (yelaa sebab lambat). Masa tu kami terlepas persembahan pembukaan rasanya. Tapi sepanjang acara kami terhibur.

Tertanya-tanya juga yang dekat rumah rasa tak apa kami rasa.

Bila habis acara, kami cepat-cepat berlari menuju ke stesen LRT. Hanya gambar bersama banner yang sempat kami rakamkan. Artis-artis sedang berjalan santai semua kami potong.

Kami tak bercerita sangat hal FFM dalam LRT. Lebih kepada bercerita hal kehidupan. Mungkin sebab Manda sahaja yang dah tonton Lelaki Harapan Dunia. Aku pula masih tak berkesempatan.

Manda sebenarnya tonton hampir semua filem yang tercalon. Membuatkan dia memang calon tepat dibawa ke majlis itu. 




***

Lepas tengok Fight Club:

"Weh, boleh tak aku nak cakap sikit pasal Fight Club ni?"

"Aimi, what is the first rule of Fight Club?"

" 'You do not talk about Fight Club' ke?"

"Exactly!" Tricky friend is always tricky -_-

"Alaaa, nak cakap jugaaa ... Aku rasa lepas tengok Fight Club ni, aku realize aku tak minat sangatlah cerita yang banyak cakap."

11/6/15

Timbulnya Kapal Impian

"Betul ke ramai penulis dah berubah arah ke Wattpad?"

***

Lanjutan dari pos lepas, aku akhirnya berjaya mendapatkan tiket teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Sesampainya aku di Mid Valley, aku segera menunaikan solat maghrib. Dengan cara itu, barulah hala tuju aku lebih jelas.

Jadi, aku batalkan hasrat aku ke Rock Corner dan makan malam saja di food court Mid Valley.  Aku turut nasihat ayah aku, agar tunggu sahaja hari esok untuk mak aku membuat panggilan telefon ke pihak bank semula.

Setelah aku kaji website tiket online ni, tak ada no telefon diberikan. Tapi di bahagian FAQ,  ada dinyatakan sebarang masalah pembelian bolehlah di-emailkan. Mujur aku sempat printscreen 2 3 bukti pembelian.

Jadi, jam 8.30 pagi aku pantas email kan masalah aku. Sampai 10.30 pagi aku masih berdebar menanti jawapan.  Tiba-tiba aku dapat panggilan dari mak aku.

Mak aku kata, dia dah telefon nombor yang tertera di poster teater, jangan bimbang nanti email aku akan dibalas. Sudah namanya mak, barang hilang pun mudah ditemui apatah lagi benda-benda terpampang di internet. 

Keh keh, macamana lah aku tak jumpa poster bernombor telefon tu.

Selang beberapa minit, email aku dibalas dengan pilihan seat baru.

Maka, dapatlah aku dan kawan-kawan menonton teater ini.

Haa lupa nak khabor, aku debar lebih sikit sebab tolong order kan untuk kengkawan jugak.

Must have photo in IB.

Balik dari teater ni baru lah aku realize selama ni aku salah eja, Van Der Wijck. Aku duk sedap eja "Wjick".

***
"Kita kena jadi penulis!" - Manda

10/11/15

Mimpi Paling Ilmiah

"Aimi yang ni apa makna dia?" Dia tunding pada salah satu catatan dalam salinan nota aku.

Pada catatan itu tertulis 'Dream'.

"Oh ni... Kalau yang aku faham tentang konsep ni, mimpi jadi sebagai salah satu medium untuk menyampaikan apa yang kita nak. Lagi-lagi yang terletak dekat unconscious mind kita," aku pun macam ingat-ingat lupa sebenarnya.

Dah 4 tahun aku tinggalkan subjek tu. Cuma baru-baru ni dia minta nota aku dulu-dulu, mana tahu kalau boleh bagi ilham untuk research proposal master application nanti.

"Oh..." Dia mengangguk-angguk.

"Membantu ke nota-nota ni?" aku tengok dia masih muka berfikir jadi aku ajukan lagi soalan, "Buku hari tu kau dah baca?"

Bersama nota-nota tu aku sertakan buku Derai-derai Cemara, Chairil Anwar.

Masa tu aku digelakkan, "Peh, dakdak AADC!"

"Lecturer aku bagilah!" lantang aku membalas. Bukan apa, berat sangat gelaran "dakdak AADC" tu sebab masa kecil aku lebih kepada Eiffel, I'm in Love.

"Nota kau ni bagi aku sesuatu... Tapi aku tak tahu macamana nak susun," dia bersuara.

"Haa, kau susunlah. Aku pun tak reti sangat subjek ni. Aku baca hampir semua report classmates aku sebelum aku boleh tulis sendiri report aku," jelas lagi betapa gelabahnya aku menulis esei 20 pages tu.

"Buku kau tu, nanti aku pulang. Aku baru sempat selak-selak je."

"Kau take time jelahh baca. Puisi ni kita tak boleh buru-buru baca. Nanti tak sampai."

"Peh deep!"

"Apa benda lagi, gila!" Aku baling kuisyen kecil dari sofa kami duduk.

"Ok lah, aku kena balik ni. Nak g kaji kata-kata Andre Bazin." Dia mula berdiri dan menyikat rambutnya.

"Kunci kat belakang pintu tu." Aku memberikan arahan sahaja kerana sibuk membetulkan sofa dan menyusun kuisyen yang dibaling tadi.

Sebelum melangkah keluar sempat lagi dia berhenti di rak buku aku yang terletak bersebelahan pintu masuk, "Tapi kan Aimi... Aku tak tahu pula kau baca novel-novel macam ni..."

Huh! Tau-tau jelahhh, yang ditunding tu novel-novel cinta zaman tak habis sekolah lagi.

"Haha, diamlah!" tangan aku pantas ingin membaling kuisyen.

Kecuali tiba-tiba hasrat aku dihalang mak aku. Pipi aku ditepuk-tepuk.

"Aimi! Aimi!" nyaring suara mak aku.

Aku terpisat-pisat membuka mata.

"Aimi bangun cepat! Nak ikut g kenduri ke tak?" laung mak aku lagi.


Gila! Ni mungkin mimpi paling ilmiah.

***

Aku dalam train ni. Lapar. Lepas tu ada pulak bau macam Maggi Tom Yam cup.
Haha, aku sabar jeeee niiii.

Ohh! Aku ni on the way nak pergi dapatkan tiket teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck kat kedai selepas usaha aku untuk membeli secara online tak berjaya tadi.

Bank kata "was charged", Red Tix kata "not succeed".

Harap usaha aku yang ini berjaya lah.

***

Omg! Kejap kejap! Ayah call!

Dia kata check balance kat bank, duit dah ditolak.

Apa aku patut buat sekarang?

9/25/15

Wayang Inside Out

Now Playing: Photograph - Ed Sheeran (JuNCurryAhn)


Semenjak Inside Out masuk wayang, selang seminggu ada je kawan-kawan datang kat aku dengan reaksi, "Weh! Weh! Tengok Inside Out weh! Best gila!"

Sama pulak tu dorang punya level of excitement.

Jadi, menjelang cuti sekolah aku bercadang nak ajak adik-beradik aku semua pergi tengok Inside Out. Aku macam ada ragu-ragu juga, dorang nak terima ke idea aku sebab cerita tu dah 3 minggu kat wayang.

Tapi lepas tu, aku relaks je sebab dorang ni baru sampai rumah dari asrama. Jadi, takkanlah dorang dah tengok sebelum aku.

Sedang aku bersantai-santai lepas makan nasi, Ain bersuara, "Aimi, Isyia ajak tengok wayang."

"Cerita apa?" aku balas tenang.

"Maze Runner."

Aku gelak-gelak, "Haa, dah tengoklah!".
Hari pertama tayangan lagi aku dah tengok. Siap tempah tiket online pulak tu.

Tapi cuba lah teka ...

Aku pergi tengok lagi sekali dengan 4 lagi adik aku.

Sempena cuti sekolah juga, aku persembahkan Kek Butter ikut resipi Namee Roslan.
Separuh kek je di-sprinkle coklat, sebab terpengaruh dengan Two-Face dalam Dark Knight.


Belum 2016 lagi tapi aku dah excited nak tunggu Suicide Squad (selepas tengok trailer) dan Now You See Me 2 (selepas tengok poster).

Untuk 2015 pulak, aku tengah tunggu Mockingjay 2. Fuh, jantung berdegup deras tengok trailer-nya. Nak pulak aku memang baca novel-novelnya dan movies yang sebelum ni semuanya memuaskan hati.

Dalam masa terdekat pulak, aku nak sangat pergi tengok Polis Evo. Trailer dia betul-betul menarik perhatian aku. Nak-nak pulak berulang kali trailer tu dimainkan di FFM ke-27. Lepas tu, Shaheizy Sam boleh pulak promosi sebelum bagi anugerah. 

Kalau kau sangka aku nak tengok Hotel Transylvania 2 pun betul jugak.
Tapi Polis Evo dulu.


Oh aku tak cerita lagi pasal aku dengan Manda pergi FFM ke-27 tu, kan?  

9/15/15

Kembara Claim Warranty

Now Playing: Grow Up - Paramore


Ingat lagi entri lepas?
Entri yang aku kata nak pergi kedai telefon dan selesaikan masalah kamera aku dan tuntut hak waranti aku tu. Ini adalah lanjutan dari kisah itu.

Minggu/Percubaan Pertama:

Setelah membina imej gadis kota yang berdikari (haha!) supaya tidak mudah diperkotak-katikkan sesiapa, aku pun berjalan masuk ke kedai tempat aku membeli telefon pintar aku. Tapi semenjak kamera rosak ni, aku pun tak pasti tentang gelaran "telefon pintar" tu. 

Tidak seperti selalu, di mana aku tak sempat pegang display lagi tukang kedai sudah mula bertanya, "ya, cari apa?"

Kali ini aku terus meluru masuk sambil memegang telefon di tangan berjalan ke arah salah seorang pekerja dan berkata, "kamera saya tak boleh buka."

Pekerja itu mengambil telefon dan mula menyentuh beberapa perkara di skrin.

Dalam 3 minit telefon itu diserahkan kembali kepada aku dengan ucapan, "oh, ini kena bawa pergi centre, dekat times square."

Wow, perjalanan hampir 30 minit aku tadi hanya perlukan solusi dalam 3 minit. Di samping usaha tak berbelah bagi pekerja tadi yang hanya menekan, Setting-Apps Running-Disable Camera-Enable Camera.

Aku dah buatlah semua tu!
Aku dah pun baca forum online -__-

Walaupun agak kecewa dengan respon yang aku dapat tapi aku malas nak panjangkan hal ni sebab dia ternyata tak tahu apa-apa tentang masalah "Error Unknown" mahupun "Camera Not Available" di kamera telefon aku. Melainkan dia memberi input, centre itu berada di TS dan jika kedainya hantarkan ada caj RM 60 (baiki telefon = free, caj penghantaran = RM 60).

Aku tak ada RM 60 dalam tangan dan maghrib hampir menjelang lalu aku pun pulang.


Minggu/Percubaan Kedua:

Perjalanan aku ke TS juga mengambil masa 30-45 minit. Bergantung pada waktu kedatangan dan kemampatan monorel.

Sampai sahaja di TS aku terus menuju ke centre itu.

Aku sebenarnya bukan tahu sangat TS ni tapi kaki aku membawa aku ke jalan yang benar. Aku kurang gemar lepak di TS sebab pada aku reka bentuknya mengelirukan di samping beberapa kedai yang kelihatan serupa di beberapa tingkat (yang juga mengakibatkan aku keliru).

3 minit yang sama berulang. Mungkin kurang dari itu.

Ucapan yang aku dapat selepas itu adalah, "akak datang hari Isnin. lepas tu, pergi centre kat plaza berjaya."

Masa tu aku dah mula bermonolog, 'huh, Isnin?! kau ingat aku ni tak kerja ke asyik nak hantar telefon sana-sini.'

Aku tanya lagi sekali, "kat mana tu? luar bangunan ni ke?"

"Haa, akak keluar ni ... bangunan warna putih."

"Hari Sabtu Ahad tak buka ke?" aku kena bertanya soalan yang lebih spesifik memandangkan pekerja ni tak langsung nak terangkan detail. dia cuma jawab sepatah, sepatah.

"Hari Sabtu, buka sampai pukul 2."

"Ok." Aku berlalu keluar kedai.



In a nutshell (dari 2 kejadian), bila kau datang act as potential buyer ataupun nak tengok telefon (kadang-kadang lalu je, tak sempat pun pegang display), dia punya explanation pasal telefon macam rugi betul kalau kau tak beli telefon tu. Sampai satu tahap, kau angkat tangan dan kata "tak apalah, saya nak tengok je." Lepas tu, dia diam.

Bila kau datang bawa masalah, pekerja limit kan perbualan, tekan 2 3 benda lepas tu pulangkan semula pada kita. Aku mula ber-syak wasangka dia tak nak bagi potential buyer dia nampak. Aku ada juga terasa macam Mak Tanggang bawakan makanan untuk Tanggang tapi cepat-cepat dihalau dari kapal masa tu.

Rupanya penerangan dorang tentang telefon tinggi melangit tu, tak disokong dengan pengetahuan tentang masalah yang timbul dalam satu-satu model dan cara menyelesaikannya. 

Nantikanlah lanjutan kes ini. Semoga perspektif aku berubah.


***

Setelah misi tidak berjaya, aku akhirnya pulang ke rumah dan luangkan masa tergelak-gelak menengok 2 budak hyper ni, dengan adik aku yang baru selesai menjalani UPSR.

My Neighbor Totoro (1988)

9/9/15

Sambil-sambil Menunggu di Bus Stop

Aku memang selalu je menunggu di bus stop. Tapi ni first time lah aku nak tulis blog sambil menunggu.

Mungkin sebab apa yang aku tunggu ni pun berbeza. Kawan aku tiba-tiba Whatsapp suruh tunggu sebab dia nak pas masakan dia. Terharu betul!  Sekali hari tu, dia buat aku dengan Diah terharu sebab dia nak hidangkan lamb chop.

Hari ni lagi sekali. Apa pulak hari ni? Hmm hmm hmm.
7.10 PM
***

Hujung minggu hari tu, aku habiskan dengan Manda.  Jadi hujung minggu aku kali ni, style hujung minggu Manda. 

Ktorang pergi tengok bazaar barang antik, kedai CD-DVD, kedai poster, kedai buku dan A&W.

Sampai kat salah satu table jual baju-baju ni aku terhenti. 'Cantik juga cardigan ni,' fikir aku sendiri.

Sambil itu aku mula terbayang dua tiga, baju kurung, blouse, sweatshirt yang aku angankan nak beli bila dapat gaji nanti. Mungkin aku patut lebih berhemah dan tak borong semuanya serentak, sebaliknya, had kan pada 1barang 1bulan.

Bila aku terhenti, Manda turut sama terhenti. 

Kemudian, Auntie / pemilik kedai itu mula mendekati kami. "Beli dik, kain pun tak panas ni. Sekarang pun memang trend orang pakai panjang-panjang."

Kami balas dengan senyuman ringkas. Aku kata,  "Haa, tulaaa...cantik."

Slack kardigan tu sebab kat bahagian lengan tu jarang sikit. Selalu hal-hal macam ni buat aku berfikir dua tiga kali untuk membeli. Kadang-kadang tak fikir terus reject.

Lepas tu,  Auntie tu kata lagi "You guys pernah pergi SS15?"

Manda angguk, aku angguk perlahan. Sebab dah tak ingat bila last pergi SS15 dan tak pasti soalan selanjutnya berkaitan apa.

"Haa, kat sana... Baju macam ni mesti harga 219. Auntie jual murah je. Tadi ada satu student ni dia terkejut dengan harga murah ni terus beli 3."

"Oh ye ke?" reaksi Manda selamba.

"Cuba you guys teka berapa ringgit," Auntie itu menduga kami.

Aku pantas berpaling pada Manda. Mungkin jawapan dan penilaian Manda lebih matang.

Manda gelak-gelak kecil.

"Tekalah," sekali lagi Auntie itu menduga kami.

"Alaaaaaa,  takutlah nak teka," balas Manda akhirnya.

"Oklah harga dia 39."

Kami menghela nafas, "Ohhh."

Selepas berbasa-basi kami pun berlalu dari kedai itu.

"Murah ke weh 39?"

"Ntah, aku tadi nak teka 25."

"Aku lagi terkejut student tu beli 3. Ingatkan RM10."

"Tapi memang kalau SS15 itulah harga Auntie tu cakap."

Nasib aku tak cakap, aku rasa harga kardigan tu RM10. Kalau tak, mungkin dirotan hanger Auntie tu letak harga sasaran terlalu rendah :p

***

Anyway, inilah hasil penantian dekat bus stop tadi.

Alhamdulillah. Terima kasih.


12.10 AM

8/31/15

"Do you have the time to listen to me whine about nothing and everything all at once?"

Now Playing: Basket Cage - Green Day


"Kau tahu macamana nak tahu apa Aimi buat?"

"Macamana?"

"Kau bacalah blog dia."
-- Kawan-kawan berborak.


"Memandai!" Aku menjerit nyaring.

***


Aku berada di fasa semua buku aku baca, aku baca sampai tengah je. Aku tak mampu habiskan bacaan. Sikit pun tak wondering apa ending buku tu. Tak tahu salah pemilihan buku atau aktiviti membaca bukan lagi aktiviti santai yang sesuai untuk aku.

Ada satu novel tu, penceritaannya terbahagi kepada 3 bahagian. Aku dah habiskan 2 bahagian tapi tak rasa nak teruskan ke bahagian ketiga. Sebenarnya, aku kena mengaku Bahagian 1 buku tu pun aku bergelut nak habiskan, Bahagian 2 lebih senang dan lancar. Bahagian 3, aku menguap-nguap juga nak habiskan 1 bab. Wondering ke novel apa? Haa, tekalah!

Memandangkan otak aku tak "mesra teks" sekarang ni, aku lebih kepada aktiviti memerhati poster, cover buku, baju, kasut dan bag. Terutamanya, BAJU! Lepas tu, agak-agak aku perlu kumpul duit dan beli, aku tangkap gambar untuk dijadikan inspirasi bekerja. Aku harap diri aku terkawal dari jadi macam watak dalam Confessions of a Shopaholic tu. Ingat babak barang dia banyak gila sampai almari pecah?

Bercakap tentang tangkap gambar. Kamera aku mula tunjukkan perangai setelah satu percubaan untuk memasang flash pada kamera. Ingatkan mula-mula sistem telefon pintar ni terkejut, tapi kalau sampai 3 hari bukan terkejut lah kot. Nak-nak pula aku dah baca perbincangan dekat forum blabla. Aku ada banyak gambar nak tangkap ni -- random awesome.

(Tapi mungkin juga ada hikmah, sebab Sabtu tu aku naik tren pulang dari kenduri. Tangan aku gatal sangat nak tangkap gambar tentera kuning dalam tren. But yeah, kamera tak berfungsi dan aku takut-takut berani.)

Sebagai seorang yang dilihat gadis kota yang berdikari (haha!) aku akan ke kedai untuk claim warranty dan selesaikan hal ni:




Salam Kemerdekaan!

8/15/15

Aku ada 15 minit sebelum mula bertugas di dapur

"Kau pernah tengok Finding Forrester?"
"Tak."
"Tengoklah. Bagus cerita tu."

Keesokan hari,

"Kau dah tengok Finding Forrester tu?"
"Belum."
"Kau kena tengoklah.Cerita tu ada kat Youtube."
"Nantilah. Tunggu aku balik rumah. Rumah sewa tak ada unifi."


***

Nak cakap dah lama tak tengok movie macam tipu pula. Sebab minggu lepas aku baru tengok Fantastic 4. Minggu sebelum tu, Papertown. Haa, cerita macam Papertown ni lebih in dengan aku dari The Fault in Our Stars. Tapi aku tak pernah baca Papertown. Aku baca The Fault in Our Stars, mungkin sebab tu aku rasa movie tu macam terlompat-lompat. Aku akui part ucapan pre funeral Augustus Waters dalam novel memang sedih tapi aku tak dapat feel yang sama untuk movie tu. Walau bagaimanapun, dalam part yang kesukaan aku dalam trailer dan movie tu adalah yang masa, "I know that love is just a shout into the void, and that oblivion is inevitable, and that we're all doomed. Hazel Grace ...."

Macam "Wah, charmingnyaaaaa!"

Mungkin sebab itu gadis-gadis (termasuk aku) menjerit masa Augustus tiba-tiba muncul dengan senyuman di skrin Papertown. Harap aku tak bongkarkan rahsia besar layar Papertown ni. Hihi.

Lepas habis tengok Papertown tu, aku masuk kedai buku dengan kawan-kawan. Aku masih suka merayap di kedai buku. Melihat-lihat buku yang ada. Antara benda best kat kedai buku adalah; 1. tengok susunan Top Novel/Books kat rak. 2. Pertandingan cover paling cantik antara publishing house sebab title (novel/buku) sama tapi publisher dah tukar.

Masa tu aku dapat rasa betulnya novel/buku dipilih bukan sebab cover sahaja. Sebab kalau tengok cover Harry Potter atau Hunger Games Series yang dulu tak adalah lawa mana. Macam Maze Runner, Twilight tu boleh consider lagilah covernya. Bertenang! Aku akan bagi antara contoh cover tempatan yang lawa juga: Zombijaya (Fixi), Tiga Titik (Lejen Press).

Raikanlah bila kita dapat tengok industri penulisan dan design ni sama naik. Cover sama cantik dengan isi, ngam!

Sekarang ni, aku tengah tengok-tengok buku puisi dari Indonesia oleh M Aan Mansyur dengan tajuk "Melihat Api Bekerja". Cantik weh ilustrasi (oleh Emte) disusun dengan puisi-puisi semua. Lepas dah skrol gambar dengan hashtag #MelihatApiBekerja, aku Google pulak. Haa, terjumpa teaser buku ni dekat Youtube.

Sesuatu yang baru ni untuk aku sebab tak pernah lagi beria aku tengok teaser buku (3 kali replay).

Ok, nak masuk dapur!

Anyway Bunkface, kalau ada t-shirt Darah MudaI nak okay!

***

"You know what the absolute best moment is? Is when you finish your first draft. Read it by yourself..."

Finding Forrester, 2000.

7/12/15

Cuti Raya

Now Playing: Rule the World - Walk Off The Earth.


"Tak cukup lama ke tu?" soal Nana.

Aku senyum sumbing.

"Aku cuti raya sehari je," tambah Nana lagi.

Aku dapat cuti raya seminggu. Tu campur dengan 2 hari cuti tanpa rekod yang company bagi. Pada mulanya, aku berangan untuk cuti 3 minggu. Semuanya disebabkan aku sangkakan kontrak aku tamat pada hari raya pertama. Jadi sekiranya kontrak aku mahu disambung, aku nak mula 1 Ogos.

Rupanya bila aku double check, kontrak aku tamat bulan 8.

Ketika itu aku cuma mampu berkata "Alaa, sedihnya saya! Alaa, sedihnya saya tersalah kira" di hadapan bos. Disulami dengan sedikit malu sebab dah salah.

Berulang kali juga aku ulang, "Alaa, sedihnya salah kira. Saya berangan."

Bos aku akhirnya berkata, "Apa nak sedihnya? Lagi sedih kalau tak sambung kontrak."

Kah kah, padahal aku dah malu sangat salah kira. Lagipun masa tu aku nak sangat cuti 3 minggu tu sebab aku dah capai fasa tak bermotivasi di tempat kerja. Aku rasa seperti berusia 65 tahun dan menanti hari pencen.

Masa tu aku ambil masa untuk tengok sekeliling dan berfikir macamana orang lain boleh kerja berpuluh-puluh tahun. Contoh terdekat ialah ayah kita.

Di salah satu foto aku di Facebook, John berkata, "Kau fikir la ini semua lumrah orang berkerja."

Aku rasa perkara tu betul bila aku dah mula dengar beberapa luahan perasaan orang lain.

Dalam sesetengah situasi aku rasa semakin bertuah. Contoh, bila company ni bagi kad raya (untuk dikirim pada kawan-kawan), sampul duit raya (untuk minta duit raya dari orang lain, keh keh) dan juga 5 balang besar kuih raya (untuk dibawa pulang kepada keluarga). Macam "Wow, gemilangnya raya!". Lagi-lagi bab cuti raya.

Zati juga suruh aku fikir kembali dengan berkata, "Kau tgk sengsara x kawan2 ko yg lain. Dgn cuti skit nye. Ewahhh aku nye ayat kan."

Atau bila Karem kata, "Sibuk pun ... kau tetap boleh balik rumah kan hujung minggu."

Ada banyak lagi suntikan kata-kata dari orang sekeliling seperti ayah aku, housemates, kawan sekolah. Aku tak cakap pun pasal tak ada motivasi kerja kat dorang. Cuma bila aku bercerita, aku sedar aku selalu dapat reaction macam "Oh bestlah macam tu!", "Oh untunglah sebab ..."

***
Aku baru lepas tengok iklan #SyukurSelalu ni.

Keh keh keh. Menengok jadual cuti ni, hari Rabu ada 10 orang je kat pejabat. Tengok nanti motivasi aku macamana.

Selamat Hari Raya in advance.

6/20/15

Fasa Baru Ramadan

Now Playing: 333 Batu - Faizul Sany

1.
Aku dah tak ingat sebelum-sebelum ni hari pertama puasa cuti / tak. Lagipun 3 tahun lepas, hari pertama puasa selalunya berada dalam study week (yang sememangnya cuti).

Jadi, puasa kali ini bila rakan-rakan sepejabat mula bercerita tentang cuti raya. Aku selitkan pertanyaan tentang cuti Ramadan, "Semua orang cuti ke hari Jumaat?"

"Kenapa nak cuti hari Jumaat pulak?" balas senior proofreader.

"Yelaa, kan first day puasa hari Khamis. Manalah tahu sambung terus sambung hari Jumaat. Nanti sedihlah kalau ramai cuti," jawab aku.

"Khamis tu pun bukan cuti."

"Eh ye ke!? Omg! Ingat cuti. Pengalaman pertama kerja kot," aku tepuk dahi.
 
Senior proofreader tu cuti dari Rabu sampai hari ni.

2.
Hari pertama puasa, aku berbuka dengan Diah dekat area rumah dia. Kami decide untuk makan nasi ayam. Memandangkan bulan puasa ni, jadi, waktu pejabat pun tamat awal.

Seawal 6.15 petang kami dah sampai depan gerai. Di seberang jalan pula ada mini bazaar. Tapi tak berapa ada orang.

Melihatkan suasana itu aku berkata, "Betul ke buka kedai ni Diah? Tak ada orang pun. Kebulur kita ni kang."

"Buka lah ..." Diah melihat kiri kanan, "Kita park sini then jalan-jalan kat bazaar tulah."

"Ok."

Kami pun turun dari kereta.
Kami seakan-akan kejutan budaya kerana tak ramai orang, tak perlu berebut dan tidak ada persaingan di kawasan tersebut. Jam 6.50 petang, kami masuk ke kdai nasi ayam. Masih banyak tempat kosong.

"Pelikkan, tak ada orang. Orang kat KL first day buka puasa kat mana? Ni kalau kat Shah Alam, bayang tempat kosong pun dah tak nampak ni."

"Tu ah, sem lepas g bazaar pukul 6.00 tinggal bekas je. Tak ada apa dah nak dibeli," ujar Diah, "Maybe sebab kat Shah Alam tu semua student kot."

"Ha'a. Ni kawasan famili kan. Semua orang kat rumah kot."

3.
Baru hari kedua puasa, pejabat dah edarkan kad raya dan sampul duit raya. Gila awal!
Dengarnya tak lama lagi dapat biskut raya pula.

Aku ada juga berangan dapat duit raya dari rakan-rakan sepejabat. Memandangkan aku paling junior sekali Hahaha! Kekal berangan jelah.

4.
Gembiranya hujung minggu dapat bersahur dan berbuka dengan keluarga di rumah. Alhamdulillah.


Salam Ramadan.
Sama-samalah kita mempertingkatkan amalan (:

6/13/15

Pasca Pesta Buku


1.
Selesai membaca Proletar Dua Menara aku telefon Manda, "Aku dah habis baca Proletar Dua Menara ni. Dia ni tak kisahkan main tulis je pasal Petronas. Kawan-kawan kerja dia tak kisah ke apa dia tulis ni?"

"Dorang tak baca kot," jawab Manda di hujung talian.

"Hmm, mungkin jugak. Selamba je tulis kat blog pun."

Dua esei paling aku relate kat dalam buku ni adalah "Istilah Perniagaan" dan "Office Politics". 

Kemudian perbualan kami berlarutan tentang buku-buku lain yang kami borong di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. Antara yang Manda dah habis baca, Pengembaraan Tanah Jepun. Aku minta dia review. 

Dia pun tulis satu entri di blog nya.



2.
Sebelum pesta buku hari tu, ada task force di pejabat. Sebagai majikan yang prihatin, setiap petang bos akan sediakan makanan untuk staf.

Sekurang-kurangnya, ada 4 kelompok untuk sesi ambil makanan. Kelompok pertama akan bangun dan ajak orang "Dah, dah! Makan! Makan!"

Kelompok kedua akan bangun ambil makanan dan duduk di meja. Masa ni kau akan tahu menu makan petang. Aku dalam kelompok ketiga, bila semua orang dah bangun baru aku pergi.

Kelompok keempat adalah bila sesiapa sahaja dari Kelompok 1, 2, 3 datang untuk menambah makanan. Haha.

Ketika aku sedang kepit roti sardin dari dulang, aku telah disapa dari belakang, "Aimi betul ke apa yang awak tulis ni?"

Hampir terlepas roti sardin yang aku kepit tadi. Macam-macam ada dalam fikiran, 'Tulis apa? Baca kat mana dia ni? Omg! Ada orang dah jumpa blog aku ke? Siapa ni?'

Aku toleh sebelah kiri. Celaka! Kawan designer rupanya. Pandai betul tiru suara bos.



Kah kah, takut bukan main lagi.


3.
Aku tengah berlatih datang awal ke pejabat sempena menyambut bulan puasa nanti. 
Datang awal, balik awal.


4.
Ada beberapa orang mula cakap pada aku, "Bila kau nak menulis balik?", "Harap awak dapat tulis novel" dan sewaktu dengannya.

Kita tengok pesta buku tahun depan macamana.

5/21/15

Muzik di Hatiku

Untuk degree ni, 3 tahun dihabiskan dengan menghadap muka tak cukup tidur, cuak datang kelas lambat, mengah panjat tangga, panik assignments tak sempat print, serabut handle PC depan mata - laptop pula kat riba, menggelabah test tak baca, menggigil kesejukan tidur kat bangku keras library, serabut dan serabai.

Tapi keadaan tak ada lah teruk mana sebab hubungan kawan-kawan tu makin erat. Lagi-lagi kawan muzikal. Setiap classmates yang hadir datang dengan lagu masing-masing.

Kadang-kadang rasa macam tengah sekelas dengan juara-juara karaoke dari daerah masing-masing. Haha!

Macam Azian, penghujung semester 1, ketika aku dan dia sedang stay up mengerjakan assignment subjek Advertising aku tiba-tiba bersuara, “Kita rasa macam nak dengar lagu Sheila On 7 lah.”

Kurang dari 10 minit, aku ada satu album lagu Sheila On 7. Menginjak ke semester berikutnya, aku mulai sedar laptop Azian memang banyak lagu. Tahap kekadang aku ada orang berkaraoke pun pakai laptop dia.

Kaka pula, aku mula kenal dia dengan menggunakan sebaris lirik dari lagu “Primadonna Girl” nyanyian Marina and The Diamond (mana band ni sekarang?) yang dia jadikan tagline di Twitter. Tapi semakin kami kenal, Kaka juga layan lagu-lagu seperti “Ratuku. Ada sekali tu, aku tertangkap dia tengah nak capai key Awie dan Adira serentak. Gila.

Hajjar mungkin terkenal dengan personalitinya yang fanatik K-Pop. Tapi memori aku dengan Hajjar, lebih dekat dengan lagu “Warna-warni Malaysia”. Aku rasalah itu tajuknya. Dalam video klip ada Siti Nurhaliza, Aznil dan Elfira. Aku jumpa lagu ni dalam laptop Hajjar. Berulang kali juga aku pasang. aku buat simbol perpaduan macam tak jadi sangat tapi Hajjar tetap ajar jugak.

Miza jadi back up dan layan aku nyanyi “Aku Cinta Padamu”. Aku nyanyi ‘Gemerlapkan jiwaaaa …’, Miza sahut bunyi bass ke drum ntah ‘Dum, dum, dum’, ‘Semikanlah cinta …’, ‘Dum, dum, dum’. Balasannya di hari yang lain, aku teman dia pergi majlis anjuran majalah K-Pop dan kena buat persembahan lagu K-Pop kat depan. Kah kah! (Padahal aku gatal nak ikut sebab dengar dapat makan Nando’s).

Tu belum tengok orang main The Voice kat talipon. Haha, aku tengok Izyan main The Voice, bukan main lagi komitmen yang dia bagi kat performance “She Will Be Loved” tu. Cuma aku tak ingat time tu judges pusing ke tak. Haha.

Iyan ni seorang yang fasih berbahasa Mandarin. Jadi tak hairanlah, kalau lagu yang buat aku ingat tentang dia adalah lagu Mandarin. Tapi tak, aku lebih ingat dalam bas ke RTM aku minta dia Bluetooth kan lagu-lagu Taylor Swift dalam BB dia kat telefon aku. Lepas tu, koleksi lagi Taylor Swift aku terus banyak.

Awal perkenalan dengan Marwan (turut dikenali sebagai Morn), muzik yang aku tahu dia layan OCK. Macamana ntah lama-lama dia makin layan scene rapping. Ni aku dengar lagi sikit dia nak tukar nama jadi MackleMorn nak gantikan Macklemore.

Boleh dikatakan Naem antara yang mempunyai self-confident yang tinggi dalam kelas. Kadang-kadang dia punya confident, dia pakai tibai je “Ters a lapehhh, starting in ma hatttt” lepas kau dengar punya dengar, baru dapat catch up itu lagu Adele. Kau orang tekalah lagu apa. Tapi ada satu lagu yang dia nyanyi dalam kelas buat aku tercari-cari masa cuti semester, lagu “Get Yourself Back Home” nyanyian Gym Class Heroes ft. Neon Hicth.

Agim selalu juga update lagu yang dia dengar dekat Twitter. Entah borak punya borak macamana ntah, dia cakap kat aku “Weh, dengarlah lagu ‘Pompeii’ – Bastille rasa macam pelangi keluar ikut telinga kot.” Aku dengar first time, tak ada berpelangi apa pun. Kali kedua dengar, penuh pelangi dalam bilik. Lagu Pompeii jadi lagu raya aku tahun tu. Dan aku kekal suka vokal si vokalis Bastille. Nak tahu feel Bastille try lagu baru dorang, Flaws.

Bertitik-tolak dari aku tertangkap Kaka nak capai key Awie dan Adira tu, aku mula sarankan pada Kaka untuk ada rakan duet. Aku cadangkan Sofi. Masa kami semua pergi family day, rancak juga aku bahan supaya Kaka pergi ke depan berduet tapi Sofi nak tak nak je. Tiba-tiba, lagu “Bourgenvilla” nyanyian Spring terpasang. Masa tu dengan jelas Sofi berkata, “Ahha! Ini lagu faveret aku!”

Ada satu masa tu kelas berkeadaan senyap, Faiz mula pasang lagu di dalam playlists di tabnya. Ada satu muzik yang aku tak kenal. Intro nya seakan menyeramkan. Aku pun mula bersuara, “Weh, lagu apa ni? Tak tahu pun”. “Lagu cerita Kak Limah tu lah,” balas Faiz yang pekat berloghat Penang. Haa, masa tu lah baru suara Ezlynn berdialog baru masuk. Engkorang tahu ke lagu apa?
Lagu “Lamunan Terhenti” nyanyian Awie ft. Ezlynn lah.

Aku tak tahu dorang akan ingat aku dengan lagu apa. Semoga dorang tak ingat aku dengan nyanyian yang sumbang dah lah. Sebab ada salah satu hari dalam satu semester tu, setiap ayat yang aku habis cakap aku akan nyanyi “Minum Milo anda bersemangat ju-a-ra!”. 

Aku tujukan lagu "Flashlight" nyanyian Jessie J buat korang. Yeay, kita dah konvo!

Dan esei ini diakhiri dengan: 

So save me in your playlist. So, you wont forget this. When things don't quite go your way. You'll still have me on replay.”

-       Random Awesome, Yuna. 

5/20/15

Lintas Jalan Berpimpin Tangan

Bermula dengan peristiwa tali beg aku bawa ke kelas terputus. Aku beranikan diri untuk mengetuk pintu bilik jiran merangkap classmate aku di kolej. Kaka, namanya.

Aku rasa masa tu baru seminggu lebih aku masuk degree. Aku tak berjaya berkawan baik dengan sesiapa lagi. Nampaknya beg aku tak tahan dengan beban buku teks di level degree.

Aku ketuk pintu bilik Kaka. Mujur dia buka.

“Awak beg kita putus. Tak tahu nak bagitahu siapa,” aku bersuara sebaik saja pintu terbuka.

Bermula dari situ perkenalan kami berlanjutan.

Selepas tiga tahun, banyak benda yang kami kongsi dan guraukan. Yang terkini masa sesi ambil pakaian konvo hari tu.

Selesai mengambil jubah, sempat lagi Kaka mengusik Abang yang bertugas tu dengan berkata “Bang, fitting room kat mana?”

Aku dah tergelak-gelak kat tepi.

Abang tu turut tergelak tanda terhibur tapi masih menjawab, “Kat sini tak ada fitting room. Boleh try kat lorong luar tu”.

Aku senyum sambil berkata, “Sorrylah bang, kawan saya ni suka gurau tak kira masa.”

Kemudian kami berlalu dan mencuba jubah di lorong yang dicadangkan.

Abang tadi kekal menggelengkan kepala sambil tersenyum riang melihat gelagat kami.

Hampir semua orang yang lalu, aku tanyakan elok ke aku pakai jubah saiz XS ni. Mulia betul hati Abang tu bertanggapan aku saiz XS.

Aku cuba pula jubah Kaka yang bersaiz S. Ramai berpendapat ambil S lebih selamat sebab jubah tu berada di bawah lutut. Aku setuju.

Dalam ramai-ramai yang lalu tu, Tar berhenti untuk try jubah bersama kami. Ternyata dia juga perlu menukar saiz jubah.

Pada masa yang sama aku terperasan rambu pada mortar board aku dah tak terurus, aku nak tukar juga. Jadi, aku dan Tar pun pergi berdua.

“Ok ke bang saya pakai yang ni? Tak senteng ke?” aku menyoal Abang tadi sambil menggayakan jubah XS.

“Ok lah,” jawab Abang tadi.

“Ye ke?”

“Kalau nak selamat ambillah S.”

“Ok.”

Sambil-sambil Abang itu mencari jubah S untuk aku dan Tar, aku kata pada Tar, “Weh, tukarkan mortar board aku.”

“Kenapa pula?” soal Tar.

“Aku nak topi ada tocang macam kau ni. Aku punya tak cantik,” jawab aku sambil menunding jari ke arah mortar board Tar.

“Ah! Tukarlah sendiri,” balas Tar.

“Alaa, cakapkanlah …” aku mula merampas mortar board Tar, “Kalau kau tak cakap, kau tak ada topi konvo.”

Abang tadi kembali dengan jubah kami. Sempat juga masa dia cari jubah tadi dia curi lihat gelagat kami.

“Bang, kawan saya ni nak tukar topi,” Tar bersuara.

“Kenapa?”

“Dia nak yang bertocang,” jawab Tar.

Abang tu mulai tertawa.

“Alaa, bang jangan gelak. Kawan saya serius ni,” ujar Tar.

Aku tersenyum-senyum, “Boleh kan tukar?”

Abang itu menghulurkan mortar board baru kepada aku.

Selesai mengucapkan ‘Terima Kasih’ kami berlalu keluar ke lorong. Berjumpa sahaja dengan Kaka, aku ceritakan apa yang terjadi tadi.

Kaka pantas berkata, “Abang tu tak cakap kat awak ke ‘Eleh, budak ni tadi cakap kawan dia suka bergurau. Dia pun sama’?”

“HAHAHAHA, tak ada pula dia cakap macam tu.”

 *** 

Punyalah bergurau, sampai kami tak ada gambar berdua masa hari konvo.

Walaupun begitu, Kaka juga merupakan orang sama berkata, “Awak ni independent tapi tak reti lintas jalan.”

Terima kasih untuk 3 tahun memimpin tangan ketika melintas jalan, Kaka!

Selamat maju jaya di masa hadapan. Semoga berjaya dalam bidang masakan dan jahitan (serta penerbitan). Ketahuilah bidang itu adalah bidang paling ingin dikuasai oleh ramai wanita.

5/7/15

Impian Rutin

Aku rasa macam ... Ewah, intro macam trailer movie adaptasi novel John Green je. You know ...


I believe we have a choice in this world about how to tell sad stories.”
-      The Fault in Our Stars.


The way I figure it, everyone gets the miracle.”
-      Paper Towns.


Bila aku bosan dalam kubikel aku, aku berdiri. Masa tu, aku rasa macam nampak semua orang sedang mengimpikan untuk lari dari rutin. Rasanya kalau langit impian atau angan kita ni orang boleh nampak atas kepala, mungkin boleh berlanggar antara satu sama lain  sebab terlalu besar.

Yelaa, mana aku tau kalau kau ada impian nak berhenti kerja pusing dunia sambil buat art. Saling bertukar pandangan atau ajar melukis seluruh dunia. Balik Malaysia, buat exhibition.

Atau berbasikal ke seluruh dunia, panjat 7 gunung dan rentas 7 lautan, kemudian tulis buku.

Atau dari satu kisah kecil dalam hidup, kau bertekad untuk jadi penulis lirik dan pemuisi ulung. Sekali-sekala kau pentaskan karya kau.

Atau tinggalkan semua kerja, mulakan kehidupan di sebuah rumah mewah di tepi pantai setelah bertahun-tahun kumpul duit.

Atau mungkin, cinta kau terhadap rakan sepejabat akhirnya bersambut. Kau mula merancang untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Mungkin buat business tudung online di rumah. Tapi kemudian terhalang kerana anak CEO juga berkenankan kau dan dia sudah lebih pantas menghantar rombongan. Antara motor Kriss dengan Ferrari 458 Spider mana yang kau pilih? Cincin belah rotan atau cincin bertakhta tiga jenis permata?

Ops, sorry! Bahagian akhir ni, aku terpengaruh dengan lambakan drama tv dan novel.
Hahaha! Terpengaruh ke memang jenis kuat berangan! Ghentikanlahhh.

***

Aku berhenti sekejap dari kekalutan pejabat ni, bila aku terfikir kenapa walaupun kerja part time, aku macam permanent staff. Siap datang hujung minggu. Aku pun dah lupa sebulan lepas aku suka buat apa hujung minggu.

Di tahap ni, bos aku dah tak pesan “rajin-rajin kerja” lagi pada aku lepas sign borang claim gaji. Aku tick semua tarikh kecuali Ahad. OT berderet.

Aku suka kerja ni tapi aku harap aku tak lupa impian aku. Dan kau juga sama.

Orait, aku nak pergi hantar borang claim ni. Chow!


4/26/15

Rutin Berangan

Sejak awal tahun lalu, aku dah beberapa kali singgah ke Kg. Baru untuk sesi makan hidangan western. HR, Pekan Station, Check Mate, you name it! Pekan Station tu aku pergi 2 kali.

Semua ni sebab pengaruh Paan. Anak jati Kg. Baru yang gemarkan hidangan western. Yelaa, Kg. Baru ni aku rasa macam terbahagi 3 kategori; makanan Thai, Western dan Arab. Boleh je dia nak bawa geng dia pergi gerai Thai atau Arab tapi dia akan sentiasa bawa geng dia pergi gerai western setiap kali datang.

Suatu hari ketika sedang memotong daging kambing, Paan berkata "One day, aku nak masak lamb chop macam ni. So, instead of I bring you guys to Pekan, I bring Pekan to you."

Suatu hari yang lain pula, Paan pos gambar lamb chop grill with pasta yang dimasaknya dalam group chat "We Gonna Be Famous" yang ahlinya; aku, Paan, Diah. 
(Haha! aku tipu je pasal nama group chat tu).

Jadi, aku dan Diah mulakan pendekatan mendesak secara halus dengan bertubi-tubi menghantar ayat-ayat seperti: 
"bila nak jemput ktrg paan"
"malam ni dinner rumah paan ke?"
"malam ni ke paan?"
"westeng di chef paang?"
"jap g amik aku kat lrt kg baru."

Paan balas dengan "Aku nak g Kastam ni. Okay esok nak?"

TARAAAAAAAA!
Seronoknya balik kerja dijamu hidangan istimewa oleh kawan.

Aku dengan Diah rasa amaze sangat yang Paan betul-betul masak untuk ktorang.

Aku rasa ktorang dah capai umur di mana, ktorang bukan duduk berangan sahaja di gazebo kolej tapi mula mengejar impian. (Tapi aku masih berangan dalam LRT).


***

"Kau akan jadi famouslah. Bila lagi kau nak menulis?" soal Paan.

"A'ah, aku rasa aku pun akan jadi famous. Dan masa tu aku keluar dengan orang yang famous juga," balas aku bersahaja.

"Hmm ..." Diah seperti memikirkan sesuatu. Mungkin berfikir siapa orang famous itu.

"Korang ... cepatlah jadi famous," aku tertawa sambil dengan pantas mencapai mangkuk pasta untuk ditambah ke dalam pinggan aku.

***

Paan kini mengusahakan bisnes Food Delivery bersama rakan kongsinya di laman berikut: FAS Kitchen

4/11/15

Kebaikan di mana-mana

Tinggalkan sekejap kesibukan di pejabat, politik pejabat serta khayalan di pejabat. Jadi, betul lah orang datang ke KL ni untuk kerja je?

Sekarang musim aku dengan geng sekolah tengah gila hiking. Untuk permulaan kami daki tempat berair terjun macam Lata Medang dan Lepok. Bila stamina dah up, kami naik next level dengan pergi ke Gunung Irau, Cameron Highlands.

Nak kata memang handal aktiviti lasak ni, tak jugalah. Aku ni masa latihan merentas desa last sekali kot sampai kat sekolah. Haha!

Sementara aku berada dalam fasa pencarian kebenaran tentang luputnya sifat baik dalam masyarakat. Di Gunung Irau aku temui jawapannya.

Gunung Irau yang juga dikenali sebagai Mossy Forest dikatakan antara yang tertinggi di Cameron. Perjalanan ke puncak 2.35 km. Dari sudut pandang aku, trek Gunung Irau ni mencabar juga. Aku rasa kalau tak ada warm-up dan latihan kat tempat lain, mungkin pancit teruk. Antara faktor yang patut mempengaruhi adalah tahap stamina, cuaca (sejuk. tambahan pula, masa kami nak balik hujan rintik) hutan tu sendiri (berlumut dan licin seperti yang jelas dinamanya Mossy Forest) dan lapar.

Masa balik aku rasa energy aku dah drain. Stamina yang aku telah jana cuma cukup untuk perjalanan pergi. 1.35 km untuk keluar dari hutan, aku mula ketinggalan. Mujur waktu ini, masih ramai team lain yang ingin turut turun. Jadi, aku ikut mereka.

Trek ini memerlukan seluruh otot tangan dan kaki bekerja. Aku rasa aku ada kekurangan ketika turun, berbanding memanjat ketika mendaki, untuk turun macam payah sikit. Ada beberapa siri aku minta pengertian orang belakang yang aku tengah fikir step, mereka kata “it’s ok, take your time”, “ok, awak ikut saya.”

Bila dah sampai satu tahap, langkah aku makin perlahan. Jadi mereka terpaksa tinggalkan aku. Aku cakap “Tak apa, jalanlah.”

Kemudian, aku bertembung dengan dua orang yang lain pula. Seorang gadis dan seorang jejaka. Aku macam biasa lambat untuk fikir step. (Oh! Untuk Gunung Irau tak perlu runsing fikir trek sebab ada petunjuk jalan mana yang perlu digunakan kalau bertembung dengan simpang). Gadis itu berkata “You ikut i, k?”

Aku cuba ikut hingga ke satu tahap, aku sekali lagi ketinggalan. Dan dia mula hilang dari pandangan. Jejaka yang dari tadi berjalan sebelah aku mula bertanya soalan seperti  “Ok tak?”, “Nak air?”, “Nak coklat?”.

Aku separa teruja menjawab “Nak!”

Tahulah aku, punca tenaga aku sangat rendah adalah kerana aku lapar. Kali terakhir kami makan adalah jam 7 pagi tadi. Mujur aku makan nasi lemak. Pada waktu itu, jam sudah menunjukkan jam 3 petang.

Tak lama berjalan, aku bertembung dengan salah seorang dari geng aku sedang melepak atas dahan yang tumbang. Lalu, aku pun mengucapkan Terima Kasih dan Selamat Jalan kepada jejaka tadi.

Tidak lama duduk di situ, muncul seorang lagi lelaki memakai key di kepala. Kami mula berbual-bual tentang ekspedisi ini, di mana akan menginap, kawan-kawan lain. Bila aku cakap, aku dan geng tak bermalam. Kami mahu terus pulang ke KL, responnya “Gilalah! Penat kot.”

“Tapi ktorang kerja,” balas aku. Kah kah! Ktorang jenis workhaholic kot.

Tiba-tiba kawan aku yang duduk di dahan tu mula mencelah “Ni kawan Aimi ke?”

Aku tertawa. “Mana ada. Ni haa baru berborak.”

Hutan telah menjadikan aku ramah tak semena-mena. Dekat sini tak kira dari geng mana, tapi mesti saling menjaga.

Kemudian, lelaki tadi meneruskan perjalanan.

Tidak lama kemudian, aku bertembung dengan lagi 2 kawan aku. Kami akhiri ekspedisi ini berempat. Bila aku sampai, lelaki tadi berdiri di pintu gerbang tempat ekspedisi bermula.

“Mesti seronok gila kan jumpa tangga?” sapa lelaki tadi.

“Tak terhingga.”

Aku dan kawan-kawan berjalan menuju ke kereta kemudian aku disapa jejaka yang memberikan aku coklat “Steady?”

Aku senyum “Steady! Terima kasih.”

Dia senyum.

Kemudian, kereta aku dan kawan-kawan bertembung dengan team yang bantu aku untuk cari step turun di awalnya. Kami berbalas hon dan mengangkat tangan.



1. Lata Medang


2. Lepok Waterfall


3. Mossy Forest

and remember ...

 "Where there is kindness, there is goodness, 
 and where there is goodness, there is magic."  



Cinderella sangat! Haha, aku dah berabad tak tengok wayang.

Malas nak belanja gambar banyak-banyak. Benda macam ni kena rasa sendiri.
Geng aku tengah planning nak daki Pine Tree Trail, Fraser Hill hujung minggu ni. Geng korang pergi mana?

***

Geng aku je pergi Pine Tree Trail. Aku kat pejabat ni haa buat kerja.

4/6/15

Tiket Percuma

“Kau nak tidur rumah Diah kau bawak baju ke?” Elie.
“Tak. Aku kuruskan badan je supaya muat semua baju Diah.”


Kat rumah Diah, aku baca 20 mukasurat Catatan Mathlufi. Aku harap lepas ni Puteh Press nak publish Catatan Aimi pula. Lagi-lagi lepas ada Anonymous komen kat blog aku, “Kelakar weh kau ni.”

 ***

Dalam kehidupan bekerjaya, ini pertama kali (seingat aku) aku dapat sesuatu percuma untuk aku dan boleh disumbangkan pada kawan-kawan lain. Mungkin ini juga, tiket percuma yang pertama aku dapat.

Percuma di sini tidak termasuk dengan menang pertandingan sebab aku beberapa kali juga menang pertandingan. Ada satu tahap tu, Diah paksa aku masuk pertandingan menang tiket konsert artis K-Pop sebab aku disifatkan memiliki tuah ketika menyertai pertandingan.

Untuk tiket ini, aku bawa Paan, Diah, Ag, dan Elie bersama.

Separuh persembahan aku cepat-cepat ingatkan pada kawan-kawan yang teater ini merupakan One Act Drama supaya mereka lebih bersedia dari segi mental dengan persembahan yang ditonjolkan. Usai persembahan, kami mula bergambar (atau istilah modennya we-fie) sana-sini di dalam dewan.

Sampailah aku terlanggar salah seorang dari rakan sepejabat. "Seronok tengok persembahan Aimi?"

"Saya? Saya seronok."

Sebenarnya, aku tak tahu aku seronok sebab persembahan tu ke sebab kawan-kawan.

Kata Paan, "Sebab ada kawan pandai pilih point, joke kena kat time persembahan tu menghiburkan lebih dari sepatutnya."

Aku dengan Ag kadang-kadang nampak bayangan kawan-kawan kami atas pentas. Kemudian kami pas-pas apa yang kami nampak pada kawan-kawan lain.

Pagi tadi, aku bertembung depan pintu pantri dengan rakan sepejabat yang sama di dalam dewan. Dia kata "Anak saya tertidur dari awal sampai habis persembahan."


*** 

Aku bersuara untuk mulakan sesi pillow talk dengan Diah.

"Tapi tau tak, aku tak pernah tengok One Act Drama. Setiap kali lecturer tayang, aku terkunci luar kelas sebab lambat."

"Haa, yelah. Kan aku kat belakang kau."

Haha!

3/21/15

Pasca Konsert 16 Mac 2015

Jumaat. 4.00 petang. Duduk menghadap bos.

“Saya dah buat keputusan, projek buku khas ni saya serahkan pada awak berdua. Isnin malam mesti ada atas meja saya. So, Selasa pagi saya boleh ambil dan semak sebelum ke Jakarta,” Bos.

Di petang Jumaat yang hectic, kami berpandangan sesama sendiri. Isnin? 16 Mac? Kami kemudian alihkan pandangan pada manuskrip bersaiz A3 yang menurut sasaran aku ada 300 halaman.

Mungkin ramai yang dah terlupa, aku dan kawan designer dah pun membeli tiket Ed Sheeran Live In KL. Tak disangka-sangka juga, tiket konsert tu laku macam pisang goreng cheese panas lalu membuatkan kami rasa bertuah memilikinya.

Malangnya, pertemuan kami dengan bos bukan sahaja telah memadamkan istilah hujung minggu dalam hidup kami tetapi juga menghilangkan rasa bertuah dalam diri.

***

Isnin. 8.00 Malam. Bersandar-sandar di kerusi.

“Kau rasa aku akan dapat ke offer jadi permanent staff tu?” aku bersuara ketika keadaan dah tak berapa tegang. Tinggal 5 page lagi nak dibetulkan.

“Boleh. Kerja kau kena terus performlah.” Jawab kawan designer yang sedang membetulkan beberapa kesalahan ejaan dalam halaman di skrin.

“Kau rasa aku perform tak sekarang?”

“Gila ke tak! Kita dah jual tiket Ed Sheeran kita kat orang untuk kerja ni haa.”

Kami akhirnya jual tiket kami dengan harga RM 300 + RM 295. RM 5 lebih tu untuk kedukaan dan top up untuk promosi saat akhir tiket tu. Jadi, adalah duit lebih sementara nak tunggu gaji masuk 23 hari bulan.

"Hmm ...."

"Eh, sunyi je kan?" kawan designer melanjutkan perbualan.

"Tak sangka pukul 7.00 semua dah balik hari ni."

"Konsert duet ahhhh jom!" kawan designer mula membuka laman Youtube.

Kah kah, aku pantang karaoke Youtube ni. Aku dah ready kan handphone sebagai mic aku.

"Lagu apa dulu ni?" aku menanti penuh debaran.

"Lagu Ed Sheeran lah!"

... I was told to put my job in front of you 
But it won't hold me like you do 
But I do it for the love 
Waiting on the gold rush ...
- Gold Rush

***

Isnin. 9.15 Malam. Berjalan menuju parking lot.

"Kau balik naik apa?" 

"Bas lah macam biasa," aku menunjukkan RapidPass padanya.

"Jom ah aku hantar." Langkah kami sama-sama terhenti depan motornya.

"Tapi ... kau ada satu helmet jeeee."

"Dua lah, aku dah fikir ... Kalau kerja tadi habis pukul 11, kau nak balik cemana."

"Thoughtful jugak," aku senyum. Padahal hari yang lain, kalau pukul 7.00 aku dekat pejabat lagi cukup cuak. Kira ini antara hari paling perform lah.

"Jom g makan dulu!" kawan designer menghulurkan helmet.

"Itu yang aku fikir dari tadi ..."

"Makan mewah-mewah ..."

"Pakai duit tiket konsert tak jadi."

Kami ketawa serentak.

***

Isnin. 10.00 Malam. Bersandar kekenyangan di kerusi Pekan Station, Kg. Baru. 

Ingat tugas mudah ke jadi pembonceng sambil pegang telefon untuk Waze. Aku ajak ke gerai ni atas saranan seorang kawan. Aku dan kawan designer puas hati dengan pilihan kami; Chicken Blue dan Grilled Chicken Pasta pada malam itu.

Mungkin boleh datang lagi untuk cuba menu lain. Dengarnya, gerai ini bakal menyajikan kambing grill diperap dengan sos honey bbq pula.

"Aku rasa kita kena pergi KLCC lah," kawan designer mengutarakan pendapat ketika kami sama-sama mula menongkat dagu di atas meja sambil memerhati trafik di lorong kecil Kg. Baru.

"Buat menda lak? Tengok KLCC tutup lampu? Kat sini pun boleh nampak," jari aku tunding ke KLCC di sebelah kanan.

"Tunggu Ed Sheeran keluar Hall lah."

"Haha, gila!"

"Eleh, tapi kau nak kan?"

Aku diam. "Haa, jom! Tapi nanti singgah stesen minyak nak beli ais krim. Takkan tercangak je kat tangga."

***
Isnin. 11.30 Malam. Bersantai di tangga KLCC.

"Jadi ... macam nilah KL waktu malam?" mata aku ligat memerhati kerenah manusia di sekeliling.

"Yelah kot ... Kau lepak mana selalu?"

"Lepak ...?" aku tergelak sendiri. Aku tahu lepak ke kat KL ni. "Tak pernahlah lepak, balik kerja je dah penat. Bungkus makanan lepas tu balik. Kawan kat KL pun boleh dibilang dengan jari."

"Hujung minggu buat apa?"

"Hujung minggu bila?"

"Yang selalu-selalu lah."

"Balik rumahlah. KL ni tak ada apa untuk aku."

"Oh ...." kawan designer mengangguk-anggukan kepala.

"... Tapi aku tak sangka ...."

"Apa?" kawan designer memandang tepat ke dalam kornea aku.

"Aku ingat orang berhijrah ke KL untuk kerja, datang KL kejar impian, cita-cita tu dalam Drama TV je."

"Ada ramailah yang macam tu."

Tiba-tiba, satu titis air jatuh ke tangan. Aku tadahkan dua tapak tangan aku. Kawan designer ikut sama perlakuan itu. Hujan rintik!

"Jomlah balik."

"Jom! Esok ada impian nak kejar," aku balas dengan senyuman.

Kami berjalan menuju ke motor dengan tenang. Tapi tiba-tiba langkah kami terhenti apabila sekumpulan lelaki berbadan besar melintas di hadapan kami dengan jarak 2 depa. Di tengah-tengahnya berdiri seorang lelaki yang pendek sedikit. Mereka menuju ke arah sebuah limousin.

"Weh, tu bukan Ed Sheeran ke?" bisik kawan designer.

"Kau trylah lambai," aku lagakan bahu aku pada lengan bahu designer.

"Ah, tak nak ah! Kau lah lambai."

Aku lambai pada sepasang mata biru, ginger hair pada malam itu sebelum limousin itu berlalu pergi.





... All I know is we said hello 
So dust off your highest hopes 
All I know is pouring rain 
And everything has changed 
All I know is a new found grace 
All my days, I'll know your face 
All I know since yesterday is everything has changed.